Jangan sekadar makan gaji
“Mereka mempunyai peranan penting untuk menggerakkan para guru supaya menghasilkan pelajar yang cemerlang dan bermutu. Pelaksanaan tanggungjawab dan kerja tidak seharusnya disempurnakan hanya kerana ia dipantau atau arahan Kementerian Pelajaran.
“Sebaliknya ia perlu terbit atas rasa kesedaran dan keinsafan untuk membangunkan generasi masa depan,” katanya pada sidang akhbar selepas sambutan Hari Guru peringkat Johor di Dewan Raya Putra, di sini hari ini.Turut hadir Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Mohd. Nor A. Ghani dan Timbalannya, Md. Hasidin Zaini.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kerisauan terhadap beberapa sekolah yang tidak mengendahkan soal pembangunan jati diri yang berasaskan budaya dan agama.
“Kalau kita dapat melahirkan generasi berilmu sekalipun tetapi tanpa jati diri, masyarakat dan negara akan tetap pincang,” tegasnya.
Sementara itu, Tokoh Pendidikan Negeri Johor 2011, Zakaria A. Syukor, 59, berkata, golongan pendidik masa kini perlu mengikut peredaran semasa supaya kekal relevan dan tidak ketinggalan.
“Jika guru-guru gagal berbuat demikian, mereka akan ketinggalan dengan pelajar-pelajar lebih terkehadapan dengan pelbagai sumber maklumat dan teknologi masa kini,” kata bekas Pengarah Institut Perguruan Temenggong Ibrahim yang bersara pada 2008.
Tokoh Guru Negeri Johor 2011, Jamian Jaffar, 59, pula menggesa murid dan pelajar agar memanfaatkan kemudahan teknologi untuk meningkatkan pencapaian akademik.
Katanya yang bersara sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Johor pada 2008, generasi masa kini amat bertuah dan kemudahan itu tidak seharusnya disia-siakan.
-Utusan Malaysia Online
Berita di atas adalah dipetik daripada berita yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia. MPSM mengambil ingatan terhadap seruan YAB Menteri Besar terhadap harapan kepada semua Pengetua dan Guru Besar yang mengemudi sekolah-sekolah menengah dan rendah di negeri Johor. Mudah-mudahan ingatan ini akan sentiasa tersemat di hati dan sanubari semua pemimpin pendidikan bahawa tanggungjawab kita bukanlah sekadar tanggungjawab untuk memperoleh ganjaran bulanan.
Berdasarkan sejarah pendidikan di negara kita yang cukup panjang, MPSM percaya bahawa golongan guru bukanlah kumpulan yang hanya sekadar bekerja untuk mendapat gaji sebaliknya golongan yang terlalu banyak berkorban untuk kemenjadian murid-murid di peringkat mana juga. Terlalu banyak yang telah dibicarakan tentang guru ini dari soal gaji, beban tugas, tanggungjawab di luar batas sempadan kerja, tanggungjawab menjana modal insan dan sebagainya. Cukuplah kalau kita imbas dan lihat kembalai sajak "Guru Oh Guru" nukilan Usman Awang. Bait-bait puisi itu sebenarnya telah menjelaskan segala-galanya. Malah kini golongan guru terus berhadapan dengan pelbagai cabaran pendidikan abad 21 yang lebih kompleks dan mencabar.
Kepada golongan guru, ayuh kita teruskan perjuangan yang masih panjang ini demi kemajuan anak bangsa.