TAWARAN FAST TRACK
Subjek: Pelanggan adalah seorang guru yang memiliki Ijazah / Master dalam Pendidikan ingin bertanyakan berkenaan tawaran Fast Track bagi guru yang memegang PHD. Mengapa pihak Kementerian hanya membuat tawaran tersebut kepada pemegang PHD? Bagaimana pula tawaran untuk guru-guru yang memiliki Ijazah / Master? Maklum balas: Sukacita saya merujuk emel yang dihantar oleh pihak tuan kepada KP KPM berhubung dengan isu mengapa pegawai PHD sahaja yang diberi ruang kenaikan pangkat dan bagaimana nasib pegawai yang memiliki Master. Untuk makluman tuan, buat masa ini kementerian hanya memberi ruang kepada pegawai atau PPPS yang berkelulusan PHD sahaja kerana berdasarkan faktor berikut: 1. Tenaga pakar dan pemikir pegawai yang berkelulusan PHD amat diperlukan di KPM. 2. Mereka sering menjadi pakar rujuk untuk pembangunan pendidikan Negara. 3. KPM telah membuat pelaburan yang tinggi dengan memberi biasiswa kepada PPPS yang melanjutkan pelajaran sehingga peringkat PHD. 4. Kepakaran mereka perlu diiktiraf memandangkan mereka telah melalui sekurang-kurangnya 10 tahun pengajian iaitu 4 tahun di peringkat Sarjana Muda, 2 tahun di peringkat Sarjana, dan 4 tahun di peringkat PHD. 5. Bilangan yang berkelulusan PHD di KPM hanya 0.09% daripada jumlah keseluruhan guru. Oleh itu, mereka perlu dipertahankan kerana mereka adalah aset dan harta intelek KPM. 6. Seramai 39 orang pegawai yang berkelulusan PHD telah meninggalkan sistem KPM. Fenomena ini jika dibiarkan akan merugikan kepada KPM kerana mereka adalah golongan yang dapat membantu membangunkan kualiti pendidikan Negara. Berdasarkan hujah di atas, kementerian ini wajar memberi laluan kenaikan pangkat secara fast-track kepada PPPS yang berkelulusan PHD. Walau bagaimanapun, PPPS yang berkelulusan Sarjana tidaklah diabaikan nasib mereka. Ini adalah kerana mereka berpeluang untuk memohon kenaikan pangkat ke gred yang lebih tinggi melalui laluan kenaikan pangkat yang sedia ada seperti berikut: 1. Laluan kenaikan pangkat Guru Cemerlang dari gred DG44, DG48, DG52, DG54, dan Gred Khas C. 2. Laluan kenaikan pangkat Pengetua Cemerlang dari gred DG48, DG52, DG54, dan Gred Khas C. 3. Laluan kenaikan Pegawai Cemerlang gred DG52, DG54, dan Gred Khas C. 4. Laluan kenaikan pangkat Hakiki dari gred DG44, DG48, DG52, DG54, dan Gred Khas C. 5. Laluan kenaikan pangkat secara time-based gred DG44 dan DG48. Semua laluan kenaikan pangkat di atas telah diperjuangkan oleh Kementerian Pelajaran untuk guru-guru termasuk tuan. Kementerian berharap supaya tuan sentiasa berfikiran terbuka dan menerima hakikat bahawa pegawai berkelulusan PHD adalah rakan seperjuangan dan mereka wajar diberikan pengiktirafan sebaik-baiknya. Dan jika tuan berhajat mendapat pengiktirafan seperti mereka, kementerian sentiasa memberi sokongan sepenuhnya kepada tuan agar dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat PHD dengan harapan keisitmewaan di atas dapat juga dinikmati tuan pada masa akan datang. Semoga tuan berpuas hati dengan penjelasan di atas, dan berharap agar isu ini tidak dipanjangkan dan dipolemikkan. Sekian, terima kasih. Che Lah bin Che Ghani Ketua Unit, Unit Pengurusan Sumber Manusia. |