Wednesday, October 27, 2010

Mesyuarat Penyediaan Blueprint Pendidikan 2011-2020


11 orang pengetua negeri Johor telah terlibat dalam Jawatankuasa Penyediaan Blueprint Pendidikan Johor 2011-2020 yang bertanggungjawab menyediakan Blueprint berkenaan untuk tempoh 10 tahun. Mesyuarat pertama telah diadakan pada 26-28 Oktober 2010 di Kukup Golf Resort, Pontian.Tuan Haji Sufaat bin Tumin, Pengarah Pelajaran Johor turut hadir dalam mesyuarat berkenaan. Dalam ucapannya beliau menyatakan bahawa Perancangan Strategik jabatan pelajaran Johor semasa akan berakhir pada tahun 2011. Sehubungan itu adalah menjadi satu keperluan kepada Jabatan Pelajaran Johor untuk memikirkan perancangan jangka panjang berkaitan pembangunan pendidikan negeri ini untuk tempoh 10 tahun akan datang dengan mengambilkira cabaran-cabaran dalam abad ke-21. Melalui perancangan jangka panjang ini diharapkan pendidikan negeri Johor dapat dipacu mengikut landasan yang betul oleh pemimpin pendidikan kini dan akan datang. Rujuk Ucapan Pengarah Pelajaran Johor.

Pengetua daripada MPSM Johor yang terlibat ialah Tuan Haji Ayob bin Jantan, En. Azman bin Adnan, En. Shamsudin bin Haron, Haji Abd Rahman bin Md Noor, Haji Mohamad bin Mahadi, En Yeoh Kok Leh, En. Choa Song Choy, Pn. Sallina Hussain haji Kassim bin Mahadi, Hjh Saliha bt Kahar dan En. Abdullah bin Abd Hamid.

Friday, October 22, 2010

Selamat Bersara KPPM


MPSM Cawangan Johor mengucapkan selamat bersara kepada Yang Berbahagia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia yang akan bersara pada 4 November akan datang. Seluruh ahli MPSMJ merakamkan ucapan terima kasih yang Tan Sri atas khidmat bakti yang telah dicurahkan untuk membangunkan pendidikan di negara ini.

Daripada Yang Dipertua, ahli jawatankuasa dan ahli-ahli MPPSMJ

Petikan akhbar Utusan Malaysia : 21 Oktober 2010

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang akan bersara bulan depan berkata beliau bersyukur dan bangga menjadi seorang pendidik selama 34 tahun.

“Saya tidak pernah bermimpi untuk menjadi Ketua Pengarah Pelajaran apabila menjadi guru mulai 1976 tetapi guru adalah kerjaya pilihan saya,” katanya ketika berucap pada majlis anugerah perkhidmatan cemerlang Jabatan Pendidikan Perlis di sini hari ini,

Alimuddin, yang menjadi Ketua Pengarah Pelajaran sejak Ogos 2007 berkata, apa yang penting bagi setiap guru ialah melaksanakan tugas yang diamanahkan dan tidak merungut dengan beban tugas yang menjadi sebahagian daripada tanggugnjawab mereka.

Katanya, terdapat guru yang mengadu kepada akhbar bahawa mereka telah dibebani dengan tugas dan beliau hairan kerana wujudnya sikap seperti itu.

Beliau berkata, sepatutnya mereka tidak merungut umpamanya dalam hal-hal berkaitan dengan pertukaran.

"Saya dan 15 kali bertukar sekolah dan lima kali bertukar tempat bertugas semasa berada di jabatan dan kementerian,” Alimuddin yang berasal dari Ayer Tawar, Perak. – Bernama

Wednesday, October 20, 2010

Jurnal dan BuletinTerbitan MPSMJ



Untuk makluman semua ahli, MPSMJ telah menerbitkan Jurnal Pendidikan Edisi 2010, Jurnal Kajian Tindakan Edisi 2010 dan Buletin MPSM Tahun 2010. Setiap sekolah telah dibekalkan dengan 5 naskah Jurnal Pendidikan, 5 naskah Jurnal Kajian Tindakan dan 5 naskah Buletin MPSM Johor yang telah diedarkan kepada semua pengetua/wakil melalui MPSM daerah masing-masing semasa Persidangan Pengurusan Pendidikan Kali Ke-49 di Hotel Selesa Johor Bahru beserta inbois bayaran. Bayaran bagi kedua-dua jurnal dan buletin berkenaan hendaklah dijelaskan kepada syarikat pencetak iaitu Bintang Printing Sdn Bhd mengikut jumlah yang telah ditetapkan. Harap maklum.

Monday, October 18, 2010

Terima Kasih


MPSMJ mengucapkan terima kasih kepada semua ahli yang telah memberikan kerjasama yang amat baik dalam menjayakan Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Negeri Johor Kali Ke-40 pada 13-14 Oktober 2010 yang lalu di Hotel Selesa Johor Bahru.

Terima kasih juga kepada Pengarah Pelajaran Johor yang sudi memberikan ucapan dan seterusnya menyempurnakan perasmian penutup persidangan ini pada hari kedua persidangan di samping penghargaan kepada semua pembentang kertas kerja serta jawatankuasa pengelola yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam menjayakan persidangan ini.

HAJI AYOB BIN JANTAN
Yang Dipertua
MPSM Cawangan Johor

Pengetua Bersara 2010


MPSMJ mengucapkan selamat bersara kepada 29 orang pengetua negeri Johor yang telah dan akan bersara sepanjang tahun 2010. MPSM juga mengucapkan penghargaan terima kasih dan tahniah atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada pembangunan pendidikan di negeri Johor dan komitmen yang tinggi dalam program-program yang dianjurkan oleh MPSM negeri dan daerah.

Sebagai tanda penghargaan MPSMJ telah mengadakan majlis makan malam meraikan semua pesara dan bakal pesara pada 13 Oktober 2010 lalu di Hotel Selesa sempena Persidangan Pengurusan Pendidikan Kali Ke-49. Pengarah Pelajaran Johor, Tuan Haji Sufaat bin Tumin hadir sebagai tetamu kehormat. Turut hadir Dato' Azam Md Atan , YDP MPSM Kebangsaan, En. Md Hasidin Hj Zaini, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, En. Md Nor bin Ghani, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Akademik dan Tuan Haji Ayob bin Jantan YDP MPSM Johor.

SELAMAT BERSARA.

Kunjungan MPSMJ



MPSMJ yang diketuai oleh Haji Ayob bin Jantan telah mengunjungi Puan Hjh Inshah bin Mansor, Pengetua SMK Tuanku Abdul Rahman Putra di Jabatan Pelajaran Negeri Johor pada 11 Oktober 2010 yang lalu sebagai sokongan MPSMJ terhadap ahlinya. Semoga kunjungan ini akan memberikan sokongan moral kepada Pn Hjh Inshah untuk terus memberi sumbangan bakti kepada pembangunan pendidikan di sekolah yang dipimpinnya.

Perhimpunan Guru 1 Malaysia Bersama PM



Pada 16 Okt 2010 (Sabtu) 3 orang wakil MPSMJ - En. Azman bin Adnan (Pengetua SMK Bandar Putra, Haji Abdul Rahman Mohd Nor (Pengetua SMK Bandar T6) dan En. Mastura Aladin bin Masro (Pengetua SMK Air Baloi) berpeluang menghadiri Perhimpunan Guru 1 Malaysia bersama YAB Perdana Menteri yang diadakan di Stadium Bukit Jalil. Seramai 14,000 orang guru dari seluruh negara telah menghadiri perhimpunan ini. Berikut intipati ucapan oleh YAB PM dan YAM TPM @ Menteri Pelajaran. Terima kasih atas keprihatinan kerajaan kepada golongan pendidik. Walaupun tidak dapat apa yang dihasratkan, keupayaan kerajaan memberi kemudahan yang diumumkan paling tidak menyuntik semangat guru untuk terus memainkan peranannya menjana modal insan negara ini.

UCAPAN YAB PERDANA MENTERI

"Jika ikutkan hati, memang saya mahu berikan bonus sebulan gaji kepada 1.2 juta penjawat awam pada pembentangan Bajet 2011 tetapi sebagai Menteri Kewangan bertanggungjawab, saya tak boleh berbelanja lebih daripada pendapatan, Sebab itu, sehabis-habis baik ialah dapat memberi Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada kakitangan awam Gred 54 ke bawah".

kerajaan memberikan ganjaran lain yang memberi faedah kepada penjawat awam seperti cuti bersalin tidak melebihi 90 hari.

PM mahu empat perkara diberi perhatian dalam pelaksanaan sistem pendidikan negara, termasuk melahirkan masyarakat yang fasih dan mahir dalam dwibahasa, kerana setiap rakyat wajib dapat bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik dan juga perlu fasih dan mahir dalam bahasa Inggeris.

Sistem pendidikan juga perlu mampu membangunkan keintelektualan generasi muda, iaitu tahu berfikir secara kreatif serta inovatif dan bukan menghafal serta memberi jawapan dalam peperiksaan.


UCAPAN YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI @ MENTERI PELAJARAN

Matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 amat bergantung kepada keupayaan warga pendidik menyedia dan menyampaikan pendidikan berkualiti.

Pembentukan insan secara holistik hanya dapat dicapai melalui pembangunan daya inovasi dan kreativiti pelajar semasa proses pembelajaran dan pengajaran yang akan menghasilkan modal insan berilmu, kreatif, inovatif, berketrampilan serta berupaya memacu ekonomi berteraskan pengetahuan dan mencipta kekayaan baru bagi negara.

Guru perlu melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh, jujur dan ikhlas dalam mendidik anak bangsa supaya menjadi insan sempurna peribadi.

Guru sebagai ejen pelaksana dan ejen perubahan perlu memainkan peranan pada semua peringkat demi mencapai dan merealisasikan hasrat kerajaan untuk membina negara bangsa sesuai dengan semangat 1Malaysia.

Guru perlu mempunyai nilai kepemimpinan yang tinggi, kekuatan minda yang profesional, ketangkasan daya fikir dan daya cipta serta kemantapan idealisme yang harus dibangunkan untuk melahirkan persekitaran pendidikan yang cemerlang berlandaskan kepada nilai dan etos ‘learning society’.