Majlis Kunjung Hormat MPSM Johor bersama En. Mohd Nor bin A Ghani, Pengarah Pelajaran Johor dan En. Md Hasidin bin Haji Zaini, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor telah diadakan pada 11 MEI 2011 jam 8.30 malam di Dewan Permata 3, Hotel Puteri Pan Pacific Johor Bahru. Majlis ini diadakan bertujuan untuk meraikan pelantikan PPJ dan TTPJ yang baru.
Tuan Haji Ayob Jantan, Yang Dipertua MPSM Johor dalam ucapannya menzahirkan ucapan tahniah seluruh warga MPSM Cawangan Johor atas pelantikan En. Mohd Nor dan En. Md Hasidin dan mengharapkan gandingan mereka berdua akan dapat terus memacu pendidikan negeri Johor dalam landasan yang betul untuk memastikan matlamat strategik JPNJ dan pendidikan di negeri Johor ini dapat direalisasikan.
" MPSMJ akan tetap seiring bersama kepimpinan yang baru ini dalam membantu menggerakkan kecemerlangan berdasarkan kapasiti sebagai badan yang menyatukan pengetua selaku pemimpin operasional di sekolah-sekolah menengah negeri Johor," ujarnya lagi.
En. Mohd Nor A Ghani pula dalam ucapannya mengharapkan MPSMJ dapat menjalankan fungsi-fungsinya dalam membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan di negeri Johor khususnya dalam membangunkan kapasiti sekolah sebagai pemangkin pendidikan negara kerana kecemerlangan pendidikan di negeri ini adalah bermula di sekolah.
"Kita perlu melihat semula kepada kerja utama kita, back to basic dengan memberi fokus terhadap elemen-elemen yang menjadi faktor kecemerlangan sekolah iaitu pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, kepatuhan kepada prosedur dan peraturan, menjalankan fungsi masing-masing tanpa pertindihan, mengutamakan perkhidmatan kepada murid-murid dan amalan-amalan kepimpinan terbaik pengetua termasuk mengaplikasi ciri-ciri kepimpinan instruksional, kepimpinan teragih dan kepimpinan transformasional," katanya lagi.
"Saya dan pasukan saya juga akan sentiasa berusaha membantu pengetua-pengetua di negeri Johor dan meletakkan haluan pendidikan di negeri ini dalam landasan yang betul supaya visi dan misi yang telah kita bangunkan ini dapat dijadikan realiti," ujarnya.
Majlis yang dihadiri oleh semua ahli jawatankuasa MPSM Cawangan Johor dan kepimpinan MPSM daerah-daerah turut dihadiri oleh kepimpinan Majlis Guru Besar (MGB) dan Persatuan Pengelola Negeri Johor.