Friday, December 31, 2010

Thursday, December 30, 2010

Perjumpaan TKPPM Bersama Pemimpin Pendidikan Negeri Johor

28 Disember 2010 yang lalu telah diadakan Majlis Perjumpaan Y.Bhg Dato' Norizan Bapoo Hashim, Timbalan KPPM (Operasi dan Dasar Pendidikan) bersama pentadbir-pentadbir pendidikan negeri Johor termasuk pengetua dan guru besar bertempat di Dewan Jubli Intan Tangkak, Muar pada jam 8.00 malam.

Sebelum itu taklimat pengurusan sekolah telah diberikan oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Johor pada jam 5.00 petang untuk menjelaskan perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pengetua dan guru besar sebagai persediaan pembukaan sesi persekolahan tahun 2011.



Selamat Tahun Baru 2011



MPSM Johor mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011 kepada semua ahli. Mudah-mudahan tahun 2011 akan menjanjikan lebih banyak kecemerlangan kepada sekolah-sekolah yang kita pimpin. Insyallah.

Friday, December 24, 2010

Blueprint JPN Johor 2011-2010

Mesyuarat kali ke-2, Panel Blueprint Jabatan Pelajaran Negeri Johor 2011-2010 telah diadakan di SMK Mengkibol Kluang pada 21 Disember 2010 yang lalu. Beberapa orang pengetua negeri Johor turut terlibat dalam pembinaan blueprint ini. Mesyuarat dipengerusikan oleh Tuan Haji Md Kassim bin Md Noah, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pelajaran Negeri Johor.

Thursday, December 16, 2010

PPKPM BIL 6/2005 - WAKTU BEKERJA DAN CUTI REHAT PENGETUA

Dipaparkan pekeliling berkaitan waktu bertugas pengetua dan cuti rehat pengetua untuk makluman dan rujukan ahli-ahli MPSMJ.

Sila klik untuk muaturun.

Pek Waktu Kerja Pengetua

1Murid 1Sukan 2011


Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa Kementerian Pelajaran akan melaksanakan enam strategi selaras pelaksanaan Dasar 1Murid 1Sukan yang diumumkan Februari lalu mulai tahun depan, bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dasar berkenaan akan turut memfokuskan untuk mengembalikan kemeriahan sukan di sekolah dengan penyertaan seorang murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan sepanjang tahun itu. Antara enam strategi dipersetujui ialah memberi bantuan kewangan sukan kepada sekolah, mewajibkan pembabitan pelajar dalam aktiviti sukan, mengenal pasti program sukan sekolah untuk dilaksana sepanjang tahun, menubuhkan Bahagian Sukan secara berasingan, elemen sukan dimasukkan dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia dan mengenal pasti lima Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk melatih guru sukan. Melalui Dasar 1Murid 1Sukan ini, lengkaplah skop pembangunan sukan di sekolah kerana program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) yang khusus bagi membangunkan atlit sekolah cemerlang sudah dilaksanakan sejak Julai 2008.

Muhyiddin berkata, selaras transformasi pendidikan, sudah sampai masa kementerian mempunyai kerangka penilaian yang lebih komprehensif dalam mengukur keberkesanan pelaksanaan setiap agenda pendidikan termasuk kegiatan sukan. Jika setiap tahun kita mampu memberi penilaian terhadap prestasi akademik murid dalam pencapaian mereka, maka sewajarnya kita juga mampu memberi laporan prestasi dalam bidang lain termasuk sukan.

Dasar 1 Murid 1 Sukan ini secara umumnya menekankan penglibatan setiap murid dalam sukan. Penglibatan ini lebih menjurus kepada penyertaan, penglibatan, pemahaman dan pengetahuan mengenai sukan berkenaan tanpa mementingkan prestasi mereka.
Oleh itu, bermula tahun 2011, semua murid dan pelajar diwajibkan mengambil sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Pekeliling pun sudah dikeluarkan oleh pihak kementerian untuk dijadikan rujukan semua.

pekeliling satu murid satu sukan

Sunday, December 12, 2010

2 Guru 1 Kelas


Sumber :
Berita Harian 13/12/2010

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran merancang menempatkan guru pembantu dalam kelas melebihi 35 murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah serta melantik jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak bagi mengurangkan beban tugas guru.
Cadangan itu adalah antara 28 perakuan yang dikemukakan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Dalam laporannya, jawatankuasa itu mengenal pasti 14 faktor yang menyumbang kepada peningkatan beban tugas guru, termasuk penyertaan dalam terlalu banyak kegiatan kokurikulum dan sukan hingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata satu pelan operasi latihan juga sedang dibangunkan untuk dilaksanakan tahun depan bagi mengurangkan kekerapan guru meninggalkan kelas untuk berkursus.

Malah, katanya, antara perakuan yang sudah diambil tindakan ialah memohon agensi Pusat menempatkan 100 jawatan pembantu tadbir N17 melalui urusan pindah butiran perjawatan di 50 sekolah gred A yang mempunyai enrolmen melebihi 1,500 murid untuk mengurangkan tugas perkeranian yang terpaksa dilakukan guru.

Beliau berkata, semua perakuan itu dikemukakan selepas isu beban tugas guru dibangkitkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.
Katanya, jawatankuasa itu dalam laporannya turut mendedahkan ada guru memegang dan melaksanakan sehingga 30 tugasan di sekolah serta peringkat daerah dan negeri.

Sehubungan itu, katanya, satu jawatankuasa pelaksanaan ditubuhkan dan akan bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk menyemak status pelaksanaan semua perakuan yang kemukakan jawatankuasa berkenaan.

Mengenai aduan aktiviti sekolah pada Sabtu, Mohd Puad berkata, pekeliling sudah dikeluarkan dengan membenarkan hanya dua Sabtu dalam sebulan dibenarkan aktiviti sekolah dan kegagalan mematuhinya perlu dilaporkan kepada kementerian.

Sementara itu, Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata jawatankuasa berkenaan turut memaklumkan kepada pihaknya berhubung kajian yang dilakukan di beberapa sekolah di Johor dan Melaka, termasuk cadangan mengurangkan peperiksaan dan ujian yang diganti dengan penilaian.

“NUTP difahamkan mulai Januari depan, penilaian itu akan diamalkan setiap bulan yang menjurus kepada ujian pendek dengan soalan disediakan guru.

“Ini bermakna beban guru semakin bertambah lagi dan tiada pengurangan, kita berharap kerajaan akan mengkaji semula perkara ini,” katanya.


INFO: Antara beban tugas guru

# Kekerapan guru keluar berkursus
# Kokurikulum/sukan
# Tugas hujung minggu
# Tugas rencam
# Tugas tidak jelas
# Penempatan guru
# Rantaian arahan (chain of command)
# Ujian/peperiksaan
# Silap padanan (mismatch)
# Saiz kelas
# Sebaran kurikulum.

INFO: Antara perakuan tangani isu beban tugas guru

# Menambah staf sokongan untuk tugas perkeranian
# Pengwujudan jawatan pembantu bengkel di semua sekolah menengah
# Menambah jawatan Pembantu Perpustakaan N17
# Gabungan jawatankuasa pada peringkat sekolah tidak melebihi 10 jawatankuasa
# Pelan Operasi Latihan Tahunan
# Aktiviti Sabtu berjadual tidak melebihi 2 kali sebulan
# Jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak
# Mewujudkan jawatan Jurulatih Utama Kurikulum
# Pengenalan kurikulum secara atas talian
# Penganjuran kursus yang berasaskan sekolah diperluas
# Guru pembantu bagi kelas melebihi 35 murid untuk sekolah rendah dan 40 pelajar di sekolah menengah
# Kajian semula bilangan enrolmen pelajar di sesebuah kelas supaya lebih kondusif
# Pembinaan lebih banyak sekolah di kawasan padat untuk tujuan sekolah satu sesi
# Pengurangan ‘mismatch’ melalui pelabelan guru serta iktiraf guru melalui latihan.
# Lebih ramai guru lelaki di kawasan pedalaman dan bandar raya
# Tempoh perkhidmatan di pedalaman ditetapkan lima tahun
# Pasangan suami isteri bertugas di pedalaman ditempatkan di sekolah sama atau berhampiran
# Kemudahan dan persekitaran kerja kondusif
# Perlindungan insurans takaful semasa menjalankan tugas rasmi di luar sekolah
# Penyediaan khidmat guaman kepada guru bagi kes berkaitan tugas rasmi.

Thursday, December 9, 2010

e-Penyata Gaji



Sukacita dimaklumkan bahawa Sistem ePenyata Gaji dan eLaporan telah dibangunkan melalui Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 1 Tahun 2010. Dengan berkuatkuasanya pekeliling ini, mulai Oktober 2010 Penyata Gaji Bulanan, Penyata Pendapatan Tahunan dan Laporan Bulanan Pejabat Perakaunan(Laporan Filmsi) diakses oleh pengguna melalui laman web Jabatan Akauntan Negara Malaysia (www.anm.gov.my)

Sistem ePenyata-setiap individu (guru/kakitangan sekolah) perlulah mendaftar di sistem ePenyata Gaji dan eLaporan bagi mendapatkan 'PENYATA GAJI BULANAN dan PENYATA PENDAPATAN'. Sehubungan dengan itu, setiap kakitangan dan pegawai di sekolah supaya mendaftar di laman web JANM untuk mencetak sendiri penyata gaji sebagai simpanan individu seperti tatacara yang telah dilampirkan ini. Perkara ini adalah diwajibkan kepada setiap individu yang dibayar gaji melalui sistem "payroll".

Muaturun :

Borang ePenyata
Tatacara(ePenyataGaji).pdf
Pekeliling Akauntan Negara Bil 3/2010

Wednesday, December 8, 2010

Majlis Kunjung Hormat MPSM dan MGB Bersama PPJ dan TPPJ




MPSMJ dan MGB Johor telah mengadakan Majlis Kunjung Hormat Bersama Pengarah Pelajaran Johor dan Timbalan Pengarah Pelajaran Johor pada 8 November 2010 bertempat di Restoran Singgah Selalu, Jalan Skudai Johor Bahru. Seramai 20 ahli jawatankuasa MPSM Johor dan 35 orang ahli jawatankuasa hadir dalam majlis berkenaan. Turut hadir ialah isteri Pengarah Pelajaran Johor, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor dan Tuan Haji Jasni Omar, Timbalan Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Johor.

Majlis kunjung hormat ini diadakan bertujuan untuk merapatkan hubungan antara pimpinan MPSM dan MGB negeri Johor dengan kepimpinan baru JPN Johor. Tuan Haji Markom bin Giran telah dilantik sebagai Pengarah Pelajaran Johor menggantikan Tuan Haji Sufa'at bin Tumin yang bertukat ke Lembaga Peperiksaan Malaysia sebagai Pengarah dan En. Md Noor bin A Ghani dilantik mengisi kekosongan jawatan Timbalan Pengarah Pelajaran Johor.

Dalam ucapannya Tuan Haji Markom mengharapkan MPSMJ dan MGBJ dapat bergerak sederap untuk membangunkan pendidikan Johor dalam usaha merealisasikan Johor Top 5 dan memartabatkan profesion perguruan di negeri ini.

"Melalui program B-Gun yang sedangkan kita canangkan juga saya mengharapkan semua pemimpin pendidikan di sekolah dapat memanjangkan hasrat pimpinan negara kepada semua guru dan kakitangan pendidikan di semua peringkat tentang peranan warga pendidikan untuk bersama membangunkan negara kita," katanya.

Beliau juga menyeru semua pimpinan pendidikan khususnya ahli-ahli MPSM dan MGB agar mempraktikkan amalan "turun padang" semasa menjalankan tugas dalam organisasi masing-masing bagi menjadikan matlamat B-Gun ini menjadi realiti.

"Guru juga seharusnya menjadi suara kerajaan untuk menyalurkan maklumat dan menjadi rujukan masyarakat. Guru perlu dilihat sebagai "agen perubahan" yang mampu memartabatkan profesion pendidikan di negara ini ke tahap dunia," tambah beliau.

Friday, December 3, 2010

Wednesday, December 1, 2010

Roadshow Pengarah Pelajaran Johor




Kulaijaya - Tuan Haji Markom bin Giran, Pengarah Pelajaran Johor telah memulakan siri roadshownya bertemu semua pemimpin pendidikan negeri Johor khususnya Pengetua dan Guru Besar di semua daerah negeri Johor. Daerah Kulaijaya adalah daerah pertama siri roadshow beliau yang telah diadakan pada 29 Disember 2010 lalu bertempat di Dewan Makan Asrama SMK Tuanku Abdul Rahman Putra.

Dengan tema ucap utama "Sederap Memperkasa Pendidikan Johor", beliau menyeru seluruh pemimpin pendidikan negeri johor untuk bersama beliau bangkit memacu, memaju dan merealisasikan impian menjadikan 'Johor Top 5' selaras dengan visi dan misi jabatan Pelajaran Negeri Johor.

Menurut beliau, "4 cabaran yang sedang kita hadapi ialah meningkatkan profesionalisme dan jati diri guru, menjelaskan program dan dasar-dasar kerajaan kepada guru, membangunkan guru sebagai agen perubahan dan meningkatkan sokongan guru kepada dasar-dasar dan pendekatan kerajaan dalam membangunkan modal insan melalui mekanisme pendidikan untuk mempercepatkan pencapaian matlamat wawasan 2020".

Sehubungan itu beliau melihat faktor pemimpin pendidikan, warga pendidikan, PIBG dan komuniti sebagai satu lagi strategi tambahan selain 5 strategi sedia ada JPN Johor iaitu kepimpinan, sumber manusia, sistem pengurusan, kemudahan pendidikan, penilaian dan pentaksiran dan insan berkualiti untuk memastikan impian 'Johor Top 5' menjadi realiti.

Beliau turut menggariskan 6 Prinsip Kerja Pengarah Pelajaran Johor yang perlu dijadikan panduan kepada semua pengurus pendidikan negeri Johor iaitu patuh kepada kepimpinan, berfokus dalam melaksanakan dasar, bijaksana dalam tindakan, bersungguh walaupun berseloroh, turun padang dan bekerja dengan niat yang betul.

Beliau juga telah memperkenalkan program "B-GUN (Bangkit Guru Untuk Negara)" sebagai satu strategi untuk memastikan warga guru dibugarkan dan seterusnya dapat memainkan peranan untuk membantu menjadikan negara ini negara maju dan selaras dengan matlamat PIPP iaitu melahirkan guru berkualiti, memastikan guru kekal dalam sistem dan guru kekal berkualiti sepanjang tempoh perkhidmatannya.

"Sekiranya kita dapat membangunkan kualiti guru, pastinya akan memberikan impak besar kepada kemajuan pendidikan di negeri Johor dan di negara ini," tegas beliau.

Melalui prgram B-Gun, usaha yang perlu dilakukan ialah untuk membangkitkan patriotisme dan jati diri guru dan menjadikan guru sebagai agen perubahan. Guru pula perlu sentiasa memartabatkan profesion keguruan sebagai profesion yang mulia, sentiasa berusaha meningkatkat tahap profesionalisme guru, menjadikan guru sebagai sumber rujukan utama dan menjadikan guru sebagai insan yang terus dihormati dalam masyarakat. Semua usaha ini dibuat untuk menjaga dan mengekalkan perpaduan dalam masyarakat dan seterusnya guru dapat berfungsi sebagai tulang belakang dalam mendepani survival bangsa dan negara.

Muat Turun Ucapan PPJ