Wednesday, November 24, 2010

Misi Qurban dan Kemanusiaan JPNJ Ke Kemboja

Wakil MPSM Johor iaitu Haji Ayob Jantan, Haji Mohamad Mahadi dan En. Azman Adnan telah mengikuti Misi Ibadat Qurban dan Bantuan Kemanusiaan Melayu Muslim Champa anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) dengan kerjasama Pertubuhan Kegiatan Dakwah Sekolah-Sekolah (PEKDIS) pada 18-21 November 2010 yang lalu. Rombongan seramai 28 orang diketuai oleh Tuan Haji Markom bin Giran, Pengarah Pelajaran Johor dan turut disertai oleh Tuan Haji Sufaat Tumin, Mantan Pengarah Pelajaran Johor. Misi pada kali ini membawa amanah qurban sebanyak 59 ekor lembu sumbangan warga pendidikan Johor untuk diqurbankan di beberapa buah kampung di Kemboja. Selain melakukan ibadah qurban misi kali ini juga memberi sumbangan/bantuan kemanusiaan khususnya dalam membantu memberikan keselesaan anak-anak Islam Kemboja di bawah kelolaan Yayasan Al Rahmah Kemboja dari segi kemudahan pendidikan.










Sunday, November 14, 2010

Majlis Malam Sinar Bintang Kejora - Meraikan Tuan Haji Sufaat bin Tumin





Pada 12 November 2010 yang lalu di Hotel M Suite Johor Bahru, seramai 100 orang pengetua mewakili MPSM Johor telah hadir dalam majlis meraikan Mantan Pengarah Pelajaran Johor, Tuan Haji Sufaat bin Tumin. Majlis yang dihadiri oleh 300 orang tetamu dari kalangan pegawai JPNJ, PPD, MPSM, MGB dan wakil-wakil persatuan pendidikan negeri Johor. Turut hadir ialah YB Dato' Maulizan Bujang, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, Tuan Haji Markom bin Giran (Pengarah Pelajaran Johor) dan En. Md Nor Ghani (Timbalan Pengarah Pelajaran Johor).

Jamuan makan malam diserikan dengan persembahan oleh Vibration Top 5, Jabatan Pelajaran Negeri Johor dan persembahan tarian dan nyanyian oleh pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah di samping penyampaian cenderamata.

Berikut adalah ucapan Tuan Haji Sufaat bin Tumin dalam majlis berkenaan untuk dikongsi bersama pengetua-pengetua negeri Johor. Terima kasih kepada Tuan Haji Abu Talib (Timbalan Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Akademik) yang sudi memberikan salinan kepada MPSMJ.

TEKS UCAPAN TUAN HAJI SUFA’AT BIN TUMIN

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.

Yang Berhormat Dato’ Maulizan bin Bujang, Pengerusi J/K Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi Negeri Johor

Yang Berbahagia Tuan Hj Markom bin Giran, Pengarah Pelajaran Johor,

Yang Berusaha Encik Mohd Nor bin A Ghani, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor,

Yang dihormati Ketua Nazir Johor, Pengarah-pengarah IPGM, Ketua-ketua Sektor, Pegawai-pegawai Pelajaran Daerah, KPP BTPN

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Syukur ke hadirat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat-Nya, saya dapat bersama-sama di malam permai ini. Terima kasih atas undangan ke majlis ini.

YB Dato, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Dalam perjalanan saya mendaki tangga kepimpinan pendidikan Johor, saya sentiasa dianugerahi dengan rakan dan sahabat seperti tuan-tuan dan puan-puan, yang dapat saling memahami dan saling bekerjasama. Tuan-tuan dan puan-puan telah menjadi pasukan pendidikan Johor yang sentiasa berada bersama-sama saya sewaktu kita dalam senang dan sukar, bak kata perbilangan ;

Ke bukit sama didaki
Ke lurah sama diturunkan
Ke laut sama direnangkan
Yang berat sama dipikul
Yang ringan sama dijinjing
Hati gajah sama dilapah
Hati kuman sama dicecah

Izinkan saya mengungkap kisah angsa yang cukup popular dalam kalangan kita. Gerakan angsa yang terbang dalam kumpulan ini banyak memberi pengajaran kepada kita. Apabila musim dingin tiba, angsa akan terbang dalam kumpulan berpindah ke kawasan lebih panas. Cuba kita perhatikan, tatkala seekor angsa menutup sayapnya, ia menghasilkan tolakan ke atas kepada angsa yang mengekorinya Dengan terbang dalam formasi “V”, kawanan angsa tersebut menambah jarak sebanyak 71% berbanding sekiranya angsa tersebut terbang sendirian. Hakikat ini mengajar kita bahawa individu yang berkongsi arah yang sama dan memiliki rasa kebersamaan berupaya ke matlamatnya lebih cepat dan mudah kerana mereka saling sokong menyokong.

Seterusnya, apabila seekor angsa terkeluar daripada formasi, ia dapat dapat merasakan heretan dan tekanan terbang bersendirian. Dengan cepat ia kembali kepada formasi untuk mengambil peluang kuasa tolakan ke atas angsa yang berada di hadapannya. Hakikat ini pula menunjukkan bahawa bersatu dan seiring dalam kumpulan, memudahkan usaha ke arah mencapai matlamat. Setiap ahli sedia menerima dan menolong.

Apabila angsa yang di hadapan penat, ia ke belakang formasi dan angsa berikutnya mengambil alih sebagai ketua. Ini menunjukkan bahawa perkongsian kepimpinan (distributed/sharing) mengekalkan momentum pergerakan ke arah matlamat. Setiap ahli dalam organisasi saling bergantung kepada keunikan keupayaan dan kemahiran yang dimiliki.

Kita juga dapati, angsa yang berada dalam formasi akan mengewek untuk mendorong yang di hadapan mengekalkan kelajuan mereka. Tandanya, kita perlu memastikan suara kita dapat mendorong orang lain. Dalam organisasi yang ada pendorong, pengeluaran sentiasa meningkat. Kuasa dorongan adalah kualiti suara yang perlu ada pada kita.

Apbila seekor angsa sakit, cedera atau ditembak, dua ekor angsa akan keluar formasi, mengekori dan mengawasinya. Kedua-dua angsa itu akan menunggu sehingga ia mati atau berupaya terbang semula dan mengejar semula yang lain. Peristiwa ini menunjukkan bahawa dalam apa juga keadaan, setiap ahli dalam pasukan perlu diberi pertolongan jika dalam kesukaran. Dengan kata lain, sama ada dalam keadaan kuat atau dalam keadaan sukar dan lemah, kumpulan perlu sentiasa bersama-sama. Setiap ahli akan memahami dan menghargai perkongsian dan persahabatan.

Kisah angsa ini banyak persamaannya dengan kita.

Begitu banyak yang dapat kita lakukan bersama-sama. Tidak mungkin dapat diungkap dalam masa yang singkat ini. Bukan sedikit masa, tenaga dan wang yang kita curahkan untuk memastikan hasrat murni kita tidak tinggal hanya impian. Kita telah bertekad untuk mengangkat kualiti pendidikan Johor ke tahap yang sewajarnya agar hasilnya dapat dirasai oleh semua murid di Johor. Sebagai pelanggan kita yang utama, murid-murid Johor sewajarnya menikmati kualiti pendidikan yang sesuai dengan tahap pembangunan negeri Johor. Namun kami di Jabatan ketika itu, sedar bahawa bukan mudah untuk membuat perubahan. Pasti banyak halangan yang terpaksa ditempuhi.

Dengan berbekalkan kepakaran yang ada, keyakinan dan kesabaran, kita telah menghasilkan perancangan strategik (PS) tahun 2006 – 2008 dan menjadikan ‘Johor Top 5’ dalam semua peperiksaan awam sebagai motto kita. Kita mulakan gerakan kita dengan membangunkan keterampilan semua pemimpin sekolah dalam kepimpinan instruksional, melaksanakan audit akademik, headcount , dan menyatukan tenaga kepakaran yang ada.

Alhamdullillah, sokongan yang diterima dalam kalangan warga pendidikan, komuniti setempat serta pemimpin masyarakat cukup kuat untuk kita meneruskan agenda perubahan kita ke fasa kedua. Pada 16 Disember 2008, perancangan strategik 2008 – 2011 telah dilancarkan. PS fasa ke-2 ini membuktikan komitmen kita kepada perkhidmatan yang berkesan dan berkualiti. Melalui 6 matlamat strategik dan 30 inisiatif yang kita hasilkan, fokus kita lebih menyeluruh, holistik dan ke arah masa depan, sesuai dengan visi KPM dan NKRA pendidikan. Pendeknya, perancangan kita menepati semua kehendak pelanggan dan pihak yang berkepentingan dalam pendidikan.

Secara peribadi, saya bukanlah layak untuk membuat pengakuan bahawa semua usaha kita telah membuahkan hasil sebagaimana yang kita hasratkan. Penentunya ialah semua warga pendidikan, tuan-tuan dan puan-puan dan semua pelanggan kita. Tambahan pula kesannya hanya dapat dilihat dalam jangka masa panjang. Kita percaya kalau kita tidak menanam pada hari ini, sudah pasti tidak ada apa-apa yang hendak kita tuai pada masa hadapan.

Sepanjang kita bersama, kita telah berusaha membina satu pasukan pendidikan Johor yang kuat agar semua program dan aktiviti yang dirancang berdasarkan PS dapat dilaksanakan dan semua KPI dapat dicapai dalam tempuh masa yang ditetapkan. Saya selalu menyebut bahawa pembinaan pasukan pendidikan Johor telah melalui beberapa fasa, bermula dengan fasa ‘pembentukan’ (forming), diikuti dengan fasa ‘keributan’ (storming), dan pada tahun lalu kita telah berada pada fasa ‘penormaan’ (norming).

Tahun ini kita mula merasai kesan daripada usaha yang kita laksanakan antaranya kejayaan kita dalam peperiksaan UPSR dan kejayaan kita menghasilkan sekolah-sekolah yang cemerlang di peringkat negeri dan di peringkat kebangsaan. Oleh itu, umumnya bolehlah saya katakan bahawa kita sedang melalui fasa ke-4, iaitu fasa ‘persembahan’(performing). Peringkat ini, peringkat kita telah dapat bekerja sebagai satu pasukan, menyelesaikan masalah bersama, membuat keputusan bersama, berkongsi kepimpinan dan tanggungjawab. Kita telah menjadi lebih kreatif dan inovatif dan bersedia untuk berhadapan dengan cabaran baru.

Tahun hadapan dan tahun-tahun berikutnya, saya percaya tuan-tuan dan puan-puan akan dapat meraikan lebih banyak kejayaan, insya Allah. Seandainya itu terjadi, sebagai satu pasukan, tuan-tuan telah memasuki fasa akhir, fasa kita meraikan kejayaan yang disebut ‘mereformasi’ (re-form). Walaupun saya tidak lagi bersama-sama dalam pasukan pendidikan Johor, saya tetap bersama-sama tuan-tuan dalam pasukan yang lebih besar.

YB Dato, sidang hadirin sekalian,

Ketika saya diarahkan bertugas semula di Johor sebagai Timbalan Pengarah pada awal tahun 2008, saya dapat rasakan kehadiran saya di Johor sebagai menyempurnakan amanah yang belum selesai. Tetapi pendidikan Johor bukanlah asing buat saya. Saya telah bersama-sama kepimpinan pendidikan Johor ketika di dalam PKPSM (sekarang MPSM) Johor dulu. Oleh itu sedikit sebanyak saya dapat memahami suasana pendidikan Johor ketika itu. Sebagai pemimpin, tugas saya menjadi lebih mudah. Tuan-tuan tahu apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak patut dilakukan. Keyakinan dan kepercayaan saya kepada tuan-tuan sentiasa tinggi. Sebaliknya banyak juga yang saya belajar daripada pengalaman berada di sini yang tentunya dapat saya gunakan untuk memperkaya ilmu dan kemahiran saya. Saya sedar, ketika memasuki semula pasukan pendidikan Johor pada tahun 2008, harapan tuan-tuan terhadap saya memang tinggi. Saya telah cuba melakukan apa yang terbaik yang mampu saya lakukan. Selainnya saya serahkan kepada Allah swt.

Saya percaya sokongan seluruh warga pendidikan Johor telah banyak memudahkan tugas saya sebagai Pengarah Pelajaran. Saya juga percaya tuan-tuan dan puan-puan akan memberikan sokongan yang sama kepada Tuan Haji Markom bin Giran, yang menggantikan saya sebagai Pengarah Pelajaran Johor. Sebagai manusia biasa, saya bukannya sempurna. Namun kesilapan dan kegagalan bukan penghalang. Malah kegagalan hendaklah dijadikan titik tolak untuk kita meneruskan usaha lebih gigih seperti kata bijak pandai:

“In order to succeed, you must first be willing to fail”

Teruskanlah usaha untuk membawa pendidikan Johor meraih lebih banyak kejayaan terutama dalam merealisasikan ‘Johor Top 5’ kita. Kuatkan pasukan kerja masing-masing agar pasukan pendidikan Johor menjadi mantap, berwibawa serta dapat dijadikan model kejayaan dalam pengurusan pendidikan di peringkat kebangsaan. Amalkan corak kepimpinan ‘we centric’. Tanamkan nilai-nilai positif dalam kalangan warga pendidikan agar pasukan pendidikan Johor dapat mendepani cabaran akan datang yang lebih hebat dan lebih besar.

Gerakan yang kita pelopori bersama-sama telah menghasilkan momentum yang diharapkan. Dengan semangat kesatuan yang padu, kepimpinan yang positif, kreatif dan inovatif diiringi dengan keikhlasan, ketekunan dan keazaman, insya Allah akan tiba detik dan ketikanya, Johor akan muncul menjadi juara dalam bidang pendidikan.

Pelantikan saya sebagai Pengarah Lembaga Peperiksaan saya terima dengan rasa rendah diri dan bersedia untuk berhadapan dengan tugas baru yang bukan juga asing bagi saya. Saya sangat syukur ke hadirat Allah swt kerana saya diberi peluang memegang jawatan yang sesuai dengan minat dan perjuangan saya. Mudah-mudahan saya diberi kekuatan dan kebijaksanaan untuk memimpin organisasi yang besar dan penting ini dan dapat memenuhi aspirasi semua pelanggan kita serta pihak yang berkepentingan dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Sebagai salah seorang warga pendidikan yang lama berkhidmat di Johor ini, sedikit sebanyak rasa kehilangan itu wujud juga. Memang sukar untuk meninggalkan tempat yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya. Di sini saya mengenal kehidupan pahit manis seorang guru. Di sini juga saya mengenal makna kepimpinan sekolah, daerah dan akhirnya negeri. Pendeknya, di negeri ini saya menjadi dewasa sebagai seorang pendidik dan sebagai seorang pemimpin pendidikan. Begitu banyak sumbangan, pertolongan dan kerjasama yang saya terima. Semuanya itu akan menjadi ingatan mesra dan ikatan tali kasih antara kita. Saya mengambil kesempatan ingin merakam ucapan terima kasih dan penghargaan kepada YB Dato, Maulizan, Pengarah Pelajaran Johor, Timbalan Pengarah Pelajaran, Ketua-ketua Sektor, Pegawai-pegawai Pelajaran Daerah, Ketua Jemaah Nazir, Pengarah IPGM, KPP BTPN, semua pegawai dan staf di JPN dan PPD, rakan-rakan dalam kesatuan dan persatuan guru, rakan-rakan strategik, para pengetua, guru-guru besar, serta semua guru-guru dan murid di Johor atas sokongan yang diberikan semasa menjadi Pengarah di Jabatan Pelajaran Johor.

Sebagai manusia biasa saya tidak lepas daripada melakukan kesilapan, kadang-kadang saya sedar, kadang-kadang tidak saya sedari. Bak kata orang, laut mana tidak berombak, bumi mana tidak ditimpa hujan.

Kalau ada jarum yang patah
Jangan simpan di dalam peti
Kalau ada silap sepatah
Jangan simpan di dalam hati

Singapura dilanggar todak,
Lekat jongor todaknya mati,
Kiranya dibalas, kiranya tidak,
Budi dikenang di dalam hati.

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita bersama mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

Sekian, wabillahitaufik wal hidayah wassalamualaikum wbt.

Friday, November 12, 2010

Tahniah KPPM, Pengarah LPM, PPJ dan TPPJ



Jawatankuasa dan ahli-ahli MPSM Cawangan Johor ingin mengucapkan TAHNIAH kepada Yang Berbahagia Dato' Abd Ghafar Mahmud yang telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tuan Haji Sufaat bin Tumin, Mantan Pengarah Pelajaran Johor yang dilantik sebagai Pengarah, Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Tuan Haji Markom bin Giran, Mantan Timbalan Pengarah Pelajaran Johor yang dilantik sebagai Pengarah Pelajaran Johor yang baru. Tidak lupa juga Tahniah kepada En. Md Nor bin Ghani, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Johor yang telah dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pelajaran Johor yang baru.

MPSM Johor menyanjung tinggi dan menghargai sumbangan keempat-empat tokoh pendidikan ini dan sentiasa mendoakan agar terus cemerlang dalam memacu kualiti pendidikan negara ini dan negeri Johor. Tahniah.

Daripada :

Haji Ayob bin Jantan (YDP MPSMJ,
Ahli Jawatankuasa MPSMJ dan ahli-ahli MPSMJ.

Wednesday, November 3, 2010

Selamat Hari Deepavali


Di kesempatan ini MPSMJ ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali@ Dewali kepada semua ahli MPSMJ, guru-guru dan pelajar-pelajar yang beragama Hindu. Semoga perayaan pada kali ini dapat mengeratkan lagi perpaduan dan tali persahabatan di kalangan kita.

Daripada :

Yang Dipertua MPSMJ
dan ahli Jawatankuasa MPSMJ

Taklimat Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)


Semua pengetua 6 daerah (Kulai, Kota Tinggi, Pasir Gudang, Kluang, Pontian dan Mersing) telah menghadiri Mesyuarat Promosi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster (BPSBPSK), Kementerian Pelajaran Malaysia pada 1-3 November 2010 bertempat di Hotel New York Johor Bahru.

Perasmian telah dilakukan oleh Puan Ashah binti Shamah, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster (BPSBPSK). Taklimat turut dihadiri oleh semua Ketua Sektor JPNJ, Pegawai Pelajaran Daerah negeri Johor.

Semua ahli mesyuarat telah didedahkan dengan taklimat berkaitan dasar, syarat permohonan, piawai dan ganjaran berkaitan SBT oleh pegawai pegawai BPSBPSK di samping bengkel berkaitan dengannya.

Rujuk lebih lanjut berkaitan SBT :

Portal BPSBPSK

Majlis Persaraan Tan Sri KPPM


Majlis meraikan persaraan Tan Sri Dato' Haji Alimuddin bin Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) oleh pemimpin pendidikan negeri Johor telah diadakan pada 3 November 2010 jam 3.00 petang bertempat di Kelab Tasek Putrajaya, Putrajaya yang lalu.

Majlis keraikan berkenaan turut dihadiri oleh Dato' Noorizan (TKPPM), Dato' Asariah (TKPPM) dan Tuan Haji Sufaat bin Tumin (PPJ). Seramai 30 orang wakil pemimpin pendidikan dari negeri Johor iaitu Ketua-Ketua Sektor, Pegawai-Pegawai Pelajaran Daerah dan wakil-wakil kesatuan meawakili warga pendidik negeri Johor hadir dalam majlis berkenaan. MPSM Johor diwakili oleh Tuan Haji Ayob bin Jantan (Pengetua SMK Seri Kenangan), En. Azman bin Adnan (Pengetua SMK Bandar Putra) dan Tuan Haji Sulaiman(Pengetua SMK Mohd Khalid).

Dalam ucapannya Tan Sri KPPM mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga pendidik negeri Johor yang telah berjaya membawa kecemerlangan negeri Johor dalam semua aspek pendidikan dan mengharapkan kecemerlangan ini dapat dipertahankan dan diteruskan pada masa-masa akan datang.

MPSM Johor sekali mengucapkan selamat bersara kepada Yang Berbahagia Tan Sri....

Daripada :

Haji Ayob bin Jantan
(YDP MSPM Johor), ahli jawatankuasa MPSMJ dan seluruh ahli MPSM Johor.