Sunday, May 29, 2011

Urusan Pemangkuan PPPS DG52 dan DG54 (KUP) Tahun 2011

Semua Ketua Jabatan / Bahagian
Kementerian Pelajaran Malaysia
Semua Pengarah Pelajaran
Jabatan Pelajaran Negeri


Y. Bhg. Datuk/ Dato’ / Datin / Tuan / Puan,

 URUSAN PEMANGKUAN PENGETUA CEMERLANG PEGAWAI  PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) GRED DG52 DAN GRED DG54 SECARA KHAS UNTUK PENYANDANG (KUP) TAHUN 2011 DI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


 Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa saya telah diarah menarik perhatian Y. Bhg. Datuk / Dato’ / Datin / Tuan / Puan mengenai perkara di atas.

 2.  Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia akan melaksanakan urusan pemangkuan Pengetua Cemerlang dari Gred DG48 hakiki ke Gred DG52 (KUP) dan bagi Gred DG52 (KUP)/ hakiki ke Gred DG54 (KUP) tahun 2011.

 3. Permohonan adalah terbuka kepada semua Pengetua Gred DG48 dan Pengetua Gred DG52 (KUP) / hakiki yang berkelayakan. Selain daripada itu, Ketua Jabatan juga boleh mencalonkan mana-mana Pengetua Gred DG48 ataupun Pengetua Gred DG52 (KUP) / hakiki untuk urusan pemangkuan ini.

4.  Calon-calon mestilah memenuhi syarat-syarat umum dan syarat-syarat khusus bagi urusan pemangkuan ini.
 4.1       Syarat-Syarat Umum
4.1.1   Mencapai tahap prestasi yang ditetapkan berdasarkan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) tiga (3) tahun terakhir bagi tahun 2008, 2009 dan 2010;
 4.1.2   Bebas daripada tindakan tatatertib;         
                         4.1.3   Telah mengisytiharkan harta;
 4.1.4   Lulus Tapisan Keutuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM);
 4.1.5   Bebas daripada senarai Peminjam Tegar Institusi Pinjaman Pendidikan;  
            4.1.6   Diperakukan oleh Ketua Jabatan.
 4.2       Syarat-syarat Khusus
4.2.1
Bagi pemangkuan ke Gred DG52 (KUP):

(a)
Telah dinaikkan pangkat ke Gred DG48;

(b)
Telah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga (3) tahun sebagai Pengetua di Gred DG48 hakiki (dilantik sebelum atau pada 31 Disember 2008); dan

4.2.2
Bagi pemangkuan ke Gred DG54 (KUP):
(a)     Telah dinaikkan pangkat ke Gred DG52 (KUP) / hakiki       
          sebagai Pengetua.
  5.         Borang Permohonan
 5.1    Pegawai-pegawai yang memohon untuk dipertimbangkan dalam urusan pemangkuan ini ataupun pegawai-pegawai yang telah dicalonkan oleh Ketua Jabatan masing-masing untuk urusan pemangkuan ini hendaklah mengisi Borang Permohonan Pengetua Cemerlang BPPC/11 yang disertakan. Borang Permohonan yang telah lengkap diisi dengan maklumat yang betul hendaklah dikemukakan melalui Ketua Jabatan masing-masing dengan melampirkan satu (1) salinan dokumen sokongan seperti berikut:

5.1.1     Kad Pengenalan;
5.1.2     Surat kenaikan pangkat Gred DG48 atau Gred DG52 yang dikeluarkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP);
5.1.3     Kelulusan akademik di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran (Ph.D);
5.1.4     Kelulusan ikhtisas;
5.1.5     Kenyataan Perkhidmatan terkini;
5.1.6     Kenyataan oleh Ketua Jabatan (seperti di Lampiran B);
5.1.7     Surat Akuan Pinjaman Pendidikan Institusi / Tabung Pendidikan (seperti di Lampiran C);
5.1.8     Borang Tapisan Keutuhan SPRM (seperti di Lampiran T1); dan
5.1.9     Laporan Audit Kewangan Sekolah yang terkini di  bawah   kawalan calon.

6.         Pegawai yang memenuhi syarat-syarat umum dan khusus seperti di para 4.1 dan 4.2 di atas sahaja layak memohon. Semua pemohon diingatkan supaya mengisi borang permohonan BPPC/11 dengan lengkap dan betul, disertakan bersama dengan dokumen sokongan seperti yang dikehendaki. Pemohon hendaklah memastikan permohonan mereka dikemukakan kepada Ketua Jabatan  masing-masing  sebelum  atau  pada   jam  5.00 petang, 15 Jun 2011.
 7.         Peranan Ketua Jabatan
7.1       Kerjasama Ketua Jabatan adalah dipohon untuk melaksanakan perkara-perkara berikut:

7.1.1   Menghebah dan memaklumkan urusan pemangkuan ini kepada semua pegawai di bawah penyeliaan masing-masing yang layak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan di para 4.1 dan 4.2 di atas;

7.1.2   Menyemak serta memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat yang diberikan oleh calon berdasarkan Buku Perkhidmatan Kerajaan (BPK);

7.1.3     Memastikan calon mencapai tahap prestasi yang ditetapkan berdasarkan LNPT tiga (3) tahun terakhir bagi tahun 2008, 2009 dan 2010. Manakala bagi pegawai yang cuti belajar, cuti tanpa gaji atau cuti sakit berpanjangan melebihi 180 hari pada tahun berkenaan, Ketua Jabatan diminta mengemukakan markah LNPT pada tahun sebelumnya;

7.1.4     Menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Calon Pengetua Cemerlang Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Pengarah JPN bagi negeri masing-masing.

7.1.5     Jawatankuasa Pemilihan Calon Pengetua Cemerlang dikehendaki membuat penilaian ke atas calon-calon berdasarkan kriteria-kriteria penilaian dan pemantauan yang telah ditetapkan;

            7.1.6   Memastikan bahawa semua maklumat dalam Borang BPPC/11 telah lengkap diisi oleh calon;

 .1.7   Mengisi maklumat mengenai calon dalam Lampiran B, Kenyataan Oleh Ketua Jabatan;

7.1.8   Menyenaraikan calon-calon yang telah dipilih mengikut keutamaan/ ranking keseluruhan markah iaitu LNPT tiga (3) tahun terakhir (mengikut wajaran), markah penilaian dan pemantauan  mengikut format seperti di Lampiran D1 bagi Gred DG52 (KUP) dan Lampiran D2 bagi Gred DG54 (KUP) dalam bentuk hard copy dan soft copy;

7.1.9   Mengemukakan senarai calon beserta dokumen sokongan yang lengkap kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), seperti alamat berikut sebelum atau pada jam 5.00 petang,
4 Ogos 2011:-

Pengarah
Bahagian Pengurusan Sekolah Harian
Kementerian Pelajaran Malaysia
Aras 4, Blok E2, Kompleks E
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 PUTRAJAYA

 8.         Permohonan yang tidak lengkap tidak akan diproses. Pemohon yang tidak menerima sebarang jawapan dalam tempoh sembilan (9) bulan selepas iklan ditutup hendaklah menganggap permohonan mereka adalah tidak berjaya. Untuk makluman, walaupun pegawai telah dinilai oleh Panel Penilai Kementerian Pelajaran Malaysia, keputusan muktamad pemilihan pegawai dalam urusan  pemangkuan sebagai Pengetua Cemerlang  adalah berdasarkan keputusan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP).



9.         Sebarang pertanyaan mengenai perkara ini bolehlah dirujuk kepada  Encik  Saiful Bahari bin Mohd Tauhid  dari BPSH, KPM di talian 03-88849349.

Sekian. Terima kasih.

 “BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

 Saya yang menurut perintah,

 DATUK HAJI ISA BIN HAJI ABU

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian
b.p
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Kementerian Pelajaran Malaysia

 Catatan :

Iklan dan borang-borang berkaitan boleh dimuat turun di sini.

Program Pengarah Turun Padang

Pengarah Pelajaran Johor telah mengadakan siri jelajah Pengarah Turun Padang bagi tahun 2011 di setiap daerah negeri Johor mulai MEI 2011. Semua pengetua sekolah terlibat dalam program berkenaan. Antara pengisian program sehari berkenaan ialah ucap utama Pengarah Pelajaran Johor, bengkel persediaan dan strategi peningkatan NKRA bagi setiap sekolah berdasarkan model GROW dalam bidang akademik, Hal Ehwal Murid dan kokurikulum serta ucapan penutupan rasmi oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Johor.

Saturday, May 28, 2011

Mengapa PHD sahaja diberi fast track - Penjelasan KPM?

Isu ini sering menjadi tanda tanya guru-guru di sekolah yang memiliki ijazah sarjana. Adakah KPM memberi insentif yang sama kepada pemegang Sarjana seperti yang diberi kepada pemegang Phd? Diturunkan petikan penjelasan Bahagian Sumber Manusia, KPM yang diambil daripada sumber Portal KPM.

TAWARAN FAST TRACK


Subjek: Pelanggan adalah seorang guru yang memiliki Ijazah / Master dalam Pendidikan ingin bertanyakan berkenaan tawaran Fast Track bagi guru yang memegang PHD. Mengapa pihak Kementerian hanya membuat tawaran tersebut kepada pemegang PHD? Bagaimana pula tawaran untuk guru-guru yang memiliki Ijazah / Master?

Maklum balas:
Sukacita saya merujuk emel yang dihantar oleh pihak tuan kepada KP KPM berhubung dengan isu mengapa pegawai PHD sahaja yang diberi ruang kenaikan pangkat dan bagaimana nasib pegawai yang memiliki Master.

Untuk makluman tuan, buat masa ini kementerian hanya memberi ruang kepada pegawai atau PPPS yang berkelulusan PHD sahaja kerana berdasarkan faktor berikut:

1.   Tenaga pakar dan pemikir pegawai yang berkelulusan PHD amat diperlukan di KPM.
2.   Mereka sering menjadi pakar rujuk untuk pembangunan pendidikan Negara.
3.   KPM telah membuat pelaburan yang tinggi dengan memberi biasiswa kepada PPPS yang melanjutkan pelajaran sehingga peringkat PHD.
4.   Kepakaran mereka perlu diiktiraf memandangkan mereka telah melalui sekurang-kurangnya 10 tahun pengajian iaitu 4 tahun di peringkat Sarjana Muda, 2 tahun di peringkat Sarjana, dan 4 tahun di peringkat PHD.
5.   Bilangan yang berkelulusan PHD di KPM hanya 0.09% daripada jumlah keseluruhan guru. Oleh itu, mereka perlu dipertahankan kerana mereka adalah aset dan harta intelek KPM.
6.    Seramai 39 orang pegawai yang berkelulusan PHD telah meninggalkan sistem KPM. Fenomena ini jika dibiarkan akan merugikan kepada KPM kerana mereka adalah golongan yang dapat membantu membangunkan kualiti pendidikan Negara.

Berdasarkan hujah di atas, kementerian ini wajar memberi laluan kenaikan pangkat secara fast-track kepada PPPS yang berkelulusan PHD.

Walau bagaimanapun, PPPS yang berkelulusan Sarjana tidaklah diabaikan nasib mereka. Ini adalah kerana mereka berpeluang untuk memohon kenaikan pangkat ke gred yang lebih tinggi melalui laluan kenaikan pangkat yang sedia ada seperti berikut:
1.    Laluan kenaikan pangkat Guru Cemerlang dari gred DG44, DG48, DG52, DG54, dan Gred Khas C.
2.    Laluan kenaikan pangkat Pengetua Cemerlang dari gred DG48, DG52, DG54, dan Gred Khas C.
3.    Laluan kenaikan Pegawai Cemerlang gred DG52, DG54, dan Gred Khas C.
4.    Laluan kenaikan pangkat Hakiki dari gred DG44, DG48, DG52, DG54, dan Gred Khas C.
5.    Laluan kenaikan pangkat secara time-based gred DG44 dan DG48.

Semua laluan kenaikan pangkat di atas telah diperjuangkan oleh Kementerian Pelajaran untuk guru-guru termasuk tuan. Kementerian berharap supaya tuan sentiasa berfikiran terbuka dan menerima hakikat bahawa pegawai berkelulusan PHD adalah rakan seperjuangan dan mereka wajar diberikan pengiktirafan sebaik-baiknya. Dan jika tuan berhajat mendapat pengiktirafan seperti mereka, kementerian sentiasa memberi sokongan sepenuhnya kepada tuan agar dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat PHD dengan harapan keisitmewaan di atas dapat juga dinikmati tuan pada masa akan datang.

Semoga tuan berpuas hati dengan penjelasan di atas, dan berharap agar isu ini tidak dipanjangkan dan dipolemikkan.
Sekian, terima kasih.


Che Lah bin Che Ghani

Ketua Unit, Unit Pengurusan Sumber Manusia.

Resolusi Beban Tugas Guru - Isu Yang Belum Beres

Berita Harian bertarikh 4 Mei 2011 – MANA RESOLUSI RINGANKAN BEBAN GURU?


Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Mienami, Puchong, Selangor”, dalam ruangan Surat Kepada Pengarang akhbar Berita Harian bertarikh 4 Mei 2011 – Mana resolusi ringankan beban guru?
Bagi menangani isu beban tugas guru, KPM telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKMIBTG). JKMIBTG telah mengenal pasti 14 faktor yang menyebabkan guru-guru terbeban dan telah mencadangkan 28 perakuan untuk menangani isu beban tugas guru ini. Daripada 28 perakuan tersebut, ada yang boleh dilaksanakan dalam jangka masa pendek dan ada yang memerlukan jangka masa panjang untuk dilaksanakan.
Satu Jawatakuasa Kerja Pelaksana yang terdiri daripada Bahagian-bahagian di KPM juga telah ditubuhkan untuk memastikan perakuan-perakuan tersebut dilaksanakan. Jawatankuasa ini bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali setiap sebulan di mana status pelaksanaan perakuan-perakuan ini akan dilaporkan.
Antara perakuan yang telah diambil tindakan adalah:
i.   Edaran surat siaran oleh KPM bagi menjelaskan serta menegaskan bahawa perancangan dan pelaksanaan aktiviti pada hari Sabtu hendaklah diadakan secara berjadual serta tidak melebihi dua kali sebulan; dan

ii.   Satu kajian eksperimental sedang dijalankan mulai Januari sehingga Disember 2011 bagi melihat keberkesanan penambahan jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) dalam mengurangkan beban tugas guru khususnya tugas-tugas perkeranian yang selama ini dilakukan oleh guru. Sehubungan itu, KPM telahpun membuat pengisian 100 jawatan tambahan PT (P/O) di 50 buah sekolah gred A yang mempunyai enrolmen murid melebihi 1,500 orang bagi tujuan kajian eksperimental tersebut. Dapatan kajian ini akan membantu KPM dalam menangani isu beban tugas guru.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Mesyuarat Pengetua Sekolah Asrama dan Benchmarking

Pada 24-26 MEI 2011 semua pengetua sekolah asrama harian negeri Johor telah menghadiri mesyuarat pengetua sekolah asrama dan lawatan benchmarking ASAT di Glory Beach Resort, Port Dickson dan Asrama Puteri Melayu Seremban Negeri Sembilan. Antara input profesional yang disampaikan dalam mesyuarat berkenaan ialah "Pengurusan Kewangan Asrama" oleh Cik Nazrina Samian, Akauntan, JPNJ, "Pengurusan Asrama Sekolah" oleh Haji Mohamad Samaon dari JPNJ dan "Pengurusan Disiplin Murid" oleh Haji Aminudin Adam, Timbalan Pengarah, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM. Mesyuarat Agung, Majlis Perhubungan Pengetua Sekolah Asrama Harian Johor turut diadakan pada 26 MEI 2011.

Thursday, May 26, 2011

Haluan Kerja Pendidikan - KPPM

Judul : Haluan Kerja Pendidikan–Merealisasikan Agenda Transformasi Negara
Penulis: Dato’ Abd. Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Jumlah halaman : 124
Tahun terbitan : 2011
ISBN: 978-983-43018-3-5
Penerbit: Kementerian Pelajaran Malaysia
Pengurus penerbitan dan pengedaran: Majlis Buku Kebangsaan Malaysia 

Buku ini wajib dibaca oleh semua wara pendidik khususnya ahli MPSMJ dan boleh dimuaturun  dengan klik gambar buku di sebelah. 

ULASAN BUKU
Sumber : Blog Azman2020.blogspot.com


Haluan Kerja Pendidikan mengandungi idea inovatif Dato’ Abd. Ghafar bin Mahmod sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) untuk menjana dan menggembleng semua resos professional pendidikan khususnya golongan pendidik, bagi menjulang idea besar dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan impian Wawasan 2020 serta agenda operasional  1Malaysia. Tulisan beliau turut mempamerkan kepada masyarakat bahawa penyumbang terbesar dan terbaik kepada agenda transformasi negara ialah kaum pendidik dan jentera pendidikan kebangsaan.

Buku Haluan Kerja Pendidikan secara keseluruhannya bukanlah catatan impian atau sekadar tulisan retorik Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Sebaliknya Haluan Kerja Pendidikan mengemukakan kerangka tindakan responsif terhadap fenomena baharu sejagat, acuan untuk menempa juara perubahan, resepi bekerja aras cemerlang, program untuk menterjemah agenda ‘rakyat didahulukan’, dan inovasi pengajaran dan pembelajaran untuk melaksanakan agenda ‘pencapaian diutamakan’.

Bab 1 disajikan dengan 3 hala tuju pendidikan 2010-2012 berdasarkan ucapan YAB Timbalan Perdana Menteri iaitu merealisasikan matlamat asas pendidikan membentuk sahsiah insan, merealisasikan hasrat membentuk modal insane dan merealisasikan asirasi 1Malaysia di samping ingatan beliau terhadap golongan pendidik tentang cabaran daya saing dalam menjana modal insan, membantu Negara dalam ekonomi berpendapatan tinggi dan menjamin soal kelestarian jati diri bangsa Malaysia.

Bab ke-2, beliau menggarap misi jentera pendidikan di segenap peringkat – KPM, IAB, IPG, JPN, PPD, sekolah dan lain-lain untuk merealisasikan falsafah “1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” sebagai hala tuju dan perancangan baharu kerajaan untuk menjayakan wawasan 2020.

Dalam bab 3 belau menggariskan 4 karaktor pendidik untuk menjuarai perubahan – peka persekitaran yang berubah, tidak puas dengan tahap pencapaian dan keberhasilan, karaktor paradigm breaker, peneroka penyelesaian baharu terhadap isu-isu yang mendatangkan kekusutan pekerjaan dan profesyen dan sentiasa menjadi juara perubahan iaitu sentiasa belajar, berusaha menguasai pengetahuan, mengintai peluang, menyediakan diri mahami dan mencerna idea baru. Sehubungan itu beliau telah membentangkan Prinsip Kerja X-PLUS :

“Inilah prinsip kerja kaum profesional era GTP dan ETP: memaksimumkan impak penyampaian perkhidmatan dalam bentuk keberhasilan kerja aras cemerlang (excellence), berteraskan pengetahuan, latihan, usaha dan semangat sepasukan. Prinsip kerja X-PLUS.” (Muka surat 43.)

Beliau seterusnya mengajak kaum guru merealisasikan gagasan 1Malaysia menerusi GTP, kepimpinan berwawasan, mengupayakan modal insan, membudayakan inovasi, dan mencegah sindrom kompetensi terbiar. Jelas dalam buku ini Dato’ Abd Ghaffar mengajak dan merangsang daya juang golongan pendidik sebagai barisan depan menggalas tanggungjawab transformasi negara menerusi mekanisma pendidikan.

Dalam bab keempat beliau turut menggariskan 4 pendekatan untuk mengangkat profesionalisme kaum guru iaitu melalui watak profesional guru, professional guru mengajak murid berfikir, professional guru belajar sepanjang hayat dan ketua guru/pengetua dan guru besar yang berkelayakan dan terlatih.

Dato’ Abd. Ghafar menamatkan catatan gagasan pemikiran Haluan Kerja Pendidikan dengan ungkapan yang mengandungi pesanan yang cukup mendalam terhadap warga pendidik seperti di bawah :

“Sesungguhnya kerja besar menterjemahkan agenda besar transformasi negara ini bukan alang kepalang beratnya dan bukan calang-calang orang mampu menyempurnakannya. Justeru kerja pendidikan ini melibatkan jutaan murid yang berlainan paras rupa dan berbeza usia, jutaan ibu bapa yang berlainan cita rasa, ribuan cendekiawan yang bijak bermain bahasa dan ribuan orang yang pandai berkata-kata, maka guru, pengurus guru dan ketua guru hendaklah sentiasa menjaga air muka, mengawal amarah rasa, menyantunkan kata bicara, dan sentiasa bersabar dalam kerja usaha.” (hlm 124)
Kesimpulannya, buku ini amat menarik untuk dibaca oleh semua golongan guru dan kandungannya memerlukan kita berfikir aras tinggi dan penghayatan serta tindak ikut operasional di segenap peringkat berdasarkan kapasiti di mana kita berada untuk membantu kerajaan menjayakan aspirasi dan idea besar yang digariskan sebelum ini.  Lebih menarik dalam buku ini menerusi prakatanya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin telah memberi ulasan tentang buku ini iaitu :
“Inilah inti pati gagasan pemikiran dan tekad bekerja Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Abd. Ghafar Mahmud, yang dibentangkan dalam buku Haluan Kerja Pendidikan – Merealisasikan Agenda Transformasi Negara. Gagasan pemikiran bagi menyatukan tumpuan dan tujahan warga profesional Kementerian Pelajaran Malaysia supaya berupaya bangun sederap dan bergerak seiringan dengan agenda besar transformasi negara menerusi pembinaan tunas modal insan berpengetahuan aras tinggi, berpemikiran aras kreatif, berkemahiran aras inovatif, berjiwa patriotik dan bersahsiah mulia.”


Haluan Kerja Pendidikan - Kppm

Saturday, May 21, 2011

PROSPEK menggantikan PTK 1 Julai?

Penjawat awam akan dinilai mengikut mekanisme baru mulai 1 Julai 2011 yang disebut sebagai PROSPEK menggantikan PTK yang telah dimansuhkan. Apa pun mekanisme yang akan digunai pakai, hendaknya kaedah yang akan dilaksanakan adalah yang terbaik, bersifat adil, tidak menyusahkan, tidak menambah beban kerja sedia ada dan bersifat menyeluruh di samping benar-benar menilai kompetensi tugas yang sebenar - bukan hanya menilai berdasarkan keupayaan intelektual sebagaimana PTK yang berdasarkan peperiksaan sama seperti murid sekolah rendah, menengah dan universiti. Kita tunggu perincian penilaian baru ini seperti yang telah diumumkan oleh KPPA sebagaimana petikan berita akhbar di bawah.


PUTRAJAYA: Kaedah penilaian baru bagi kakitangan awam untuk menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan Januari lalu, tidak lagi berasaskan peperiksaan, tetapi ditentukan panel penilai berwibawa dianggotai oleh ketua jabatan dan kakitangan pelbagai peringkat.

Panel penilai itu akan bertukar setiap tahun bagi mengelakkan elemen berat sebelah dan unsur pilih kasih.

Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) menggantikan PTK yang dilaksanakan mulai 1 Julai depan, membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

Bagaimanapun, falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan skopnya diperluaskan meliputi pembangunan kompetensi dan potensi.

Hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi cemerlang dan berpotensi tinggi; memenuhi kompetensi dan berpotensi atau memerlukan pembangunan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata selain dimensi asas seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap, sistem baru itu juga mengambil kira dimensi tambahan, iaitu kreativiti dan inovasi selaras penekanan kerajaan pada masa ini.

“Pegawai yang melalui proses penilaian dan pembangunan serta memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan berpeluang menikmati ganjaran dalam bentuk pembangunan diri dan kemajuan kerjaya,” katanya pada majlis menandatangani persetujuan bersama sistem baru itu dengan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, malam tadi. CUEPACS diwakili Presidennya, Datuk Omar Osman.

Beliau berkata, penilaian potensi sebagai nilai tambah kepada penilaian baru itu bertujuan memantapkan lagi fungsi pengurusan bakat dalam perkhidmatan awam.

Faedah pembangunan diri, termasuk peluang mengikuti pelbagai program pembangunan untuk meningkatkan kompetensi dan potensi seseorang kakitangan serta pengiktirafan lain seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang.

Sementara itu, faedah kemajuan kerjaya termasuk pertimbangan kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan masing-masing dan peluang mengikuti latihan dalam atau luar negara.

Pegawai yang berada dalam gred kenaikan pangkat pula akan mengikuti program pembangunan kompetensi dan potensi yang ditetapkan mengikut gred berkenaan.

“Kaedah pembangunan boleh berbentuk program seperti Pembangunan Kompetensi Berterusan dan Latihan Berteraskan Kompetensi.

“Ketua perkhidmatan dan jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan aspek dan kaedah penilaian dan pembangunan sesuai dengan keperluan kompetensi jawatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersedia berunding dari semasa ke semasa untuk melakukan penambahbaikan terhadap sistem penilaian baru itu.

Pengumuman pemansuhan PTK diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011 pada Oktober 2010 berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Ujian PTK diperkenalkan pada 2003 berikutan pelaksanaan Skim Saraan Malaysia (SSM) pada Oktober 2002 menggantikan Skim Saraan Baru (SSB) yang diguna pakai bagi menilai prestasi kakitangan awam sejak 1990.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan mulai 1 Julai depan, prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan sebuah panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru.

Konsep baru itu akan digunakan untuk menilai tahap kecekapan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam bagi menggantikan PTK di bawah SSM.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Johor 2011 - Kulaijaya

Jangan sekadar makan gaji


ABDUL Ghani Othman (kanan) dan Mohd. Nor A. Ghani (kiri) bersama Jamian Jaffar (dua dari kiri) dan Zakaria A. Syukor di Dewan Putra, Kulaijaya, Johor, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

KULAIJAYA 19 Mei – Pengetua di negeri ini diingatkan supaya tidak mempunyai mentaliti makan gaji sahaja sebaliknya berusaha meningkatkan pencapaian sekolah masing-masing. Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, mereka mempunyai peranan dan tanggungjawab yang amat besar dan jawatan yang diberikan itu adalah satu amanah dan ibadah yang perlu dilaksana dengan ikhlas tanpa mengenal penat.

“Mereka mempunyai peranan penting untuk menggerakkan para guru supaya menghasilkan pelajar yang cemerlang dan bermutu. Pelaksanaan tanggungjawab dan kerja tidak seharusnya disempurnakan hanya kerana ia dipantau atau arahan Kementerian Pelajaran.

“Sebaliknya ia perlu terbit atas rasa kesedaran dan keinsafan untuk membangunkan generasi masa depan,” katanya pada sidang akhbar selepas sambutan Hari Guru peringkat Johor di Dewan Raya Putra, di sini hari ini.Turut hadir Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Mohd. Nor A. Ghani dan Timbalannya, Md. Hasidin Zaini.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kerisauan terhadap beberapa sekolah yang tidak mengendahkan soal pembangunan jati diri yang berasaskan budaya dan agama.
“Kalau kita dapat melahirkan generasi berilmu sekalipun tetapi tanpa jati diri, masyarakat dan negara akan tetap pincang,” tegasnya.

Sementara itu, Tokoh Pendidikan Negeri Johor 2011, Zakaria A. Syukor, 59, berkata, golongan pendidik masa kini perlu mengikut peredaran semasa supaya kekal relevan dan tidak ketinggalan.
“Jika guru-guru gagal berbuat demikian, mereka akan ketinggalan dengan pelajar-pelajar lebih terkehadapan dengan pelbagai sumber maklumat dan teknologi masa kini,” kata bekas Pengarah Institut Perguruan Temenggong Ibrahim yang bersara pada 2008.

Tokoh Guru Negeri Johor 2011, Jamian Jaffar, 59, pula menggesa murid dan pelajar agar memanfaatkan kemudahan teknologi untuk meningkatkan pencapaian akademik.
Katanya yang bersara sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Johor pada 2008, generasi masa kini amat bertuah dan kemudahan itu tidak seharusnya disia-siakan.

-Utusan Malaysia Online

Berita di atas adalah dipetik daripada berita yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia. MPSM mengambil ingatan terhadap seruan YAB Menteri Besar terhadap harapan kepada semua Pengetua dan Guru Besar yang mengemudi sekolah-sekolah menengah dan rendah di negeri Johor. Mudah-mudahan ingatan ini akan sentiasa tersemat di hati dan sanubari semua pemimpin pendidikan bahawa tanggungjawab kita bukanlah sekadar tanggungjawab untuk memperoleh ganjaran bulanan.

Berdasarkan sejarah pendidikan di negara kita yang cukup panjang, MPSM percaya bahawa golongan guru bukanlah kumpulan yang hanya sekadar bekerja untuk mendapat gaji sebaliknya golongan yang terlalu banyak berkorban untuk kemenjadian murid-murid di peringkat mana juga. Terlalu banyak yang telah dibicarakan tentang guru ini dari soal gaji, beban tugas, tanggungjawab di luar batas sempadan kerja, tanggungjawab menjana modal insan dan sebagainya. Cukuplah kalau kita imbas dan lihat kembalai sajak "Guru Oh Guru" nukilan Usman Awang. Bait-bait puisi itu sebenarnya telah menjelaskan segala-galanya. Malah kini golongan guru terus berhadapan dengan pelbagai cabaran pendidikan abad 21 yang lebih kompleks dan mencabar.

Kepada golongan guru, ayuh kita teruskan perjuangan yang masih panjang ini demi kemajuan anak bangsa.

Wednesday, May 18, 2011

Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Johor 2011


Tarikh            : 19 Mei 2011
Tempat           : Dewan Raya Putra, Bandar Putra, Kulaijaya. Johor

ATUR CARA MALIS HARI GURU PERINGKAT NEGERI JOHOR TAHUN 2011

8.30 pagi    : Ketibaan tetamu jemputan
8.45 pagi    : Ketibaan Yang Berbahagia En. Mohd Nor bin A. Ghani , Pengarah Pelajaran Johor
9.00 pagi    : Ketibaan YAB Dato' Haji Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor
                    : Nyanyian Lagu Bangsa Johor
                    : Lagu Selangkah Di Hadapan
                    : Bacaan Doa
                    : Ucapan Alu-aluan oleh En. Mohd Nor bin A. Ghani, Pengarah Pelajaran Johor
                    : Ucapan Perasmian oleh YAB Dato' haji Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor
                    : Nyanyian Lagu Tema
                    : Ikrar
                    : Nyanyian Lagu Guru Malaysia
                    : Penyampaian Anugerah Pertandingan
                    : Penyampaian Anugerah Tokoh Guru
                    : Penyampaian Anugerah Tokoh Kepimpinan
                    : Nyanyian Lagu Negaraku
                    : Bersurai

Monday, May 16, 2011

Insentif Buat Guru oleh YAB PM.......Terima kasih PM.....

PERUTUSAN KHAS PERDANA MENTERI SEMPENA HARI GURU 
 
PUTRAJAYA: Berikut adalah perutusan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sempena sambutan Hari Guru, Isnin.

Dalam perutusannya itu, perdana menteri telah mengumumkan beberapa kaedah baru kenaikan pangkat untuk guru cemerlang dan juga kenaikkan pangkat untuk lebih 1,200 guru dari Gred DG48 ke Gred DG52. Terima kasih YAB PM.

BismilLahirRahamanirahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.
Para guru yang dirai dan dimuliakan sekalian,

1. Pada hari yang bermakna ini, saya ingin mengambil peluang sebagai Perdana Menteri Malaysia juga bagi pihak kerajaan, rakyat, diri saya dan isteri untuk mengucapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada para guru. Hari ini merupakan hari kita meraikan serta memberi pengktirafan kepada mereka.
2. Sesungguhnya, jasa mereka yang begitu besar, budi mereka yang ditabur serta khidmat bakti mereka kepada negara tidak mungkin akan dapat diimbal dengan seadilnya. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu memberikan ganjaran setimpal.

3. Hakikatnya, sejarah pembangunan Malaysia dilakar melalui kalam para guru, ia disuburkan hasil jerih payah dan pengorbanan warga pendidik di bilik-bilik darjah dan padang-padang permainan. Sebetulnya lagi, sebuah negara yang maju, sebuah tamadun yang hebat, tidak mungkin terbina tanpa insan yang bergelar guru.

4. Hari ini, di setiap ceruk rantau negara, para guru tanpa mengenal penat lelah senantiasa membawa cahaya harapan kepada anak-anak Malaysia. Para gurulah yang membuka pintu gedung ilmu pengetahuan, membolehkan penerokaan khazanah minda seterusnya mengoptimumkan potensi modal insan negara.

5. Setiap kejayaan nasional dari transformasi negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, tercatat di celah-celah lipatan kudratnya para guru. Begitu juga lompatan transformasi berikutnya ke arah negara maju berpendapatan tinggi memerlukan sentuhan para guru sesuai dengan tema sambutan tahun ini “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”.

6. Lantaran itu, menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang telah dibuat para guru, maka kerajaan telah memutuskan untuk menambahbaik skim perkhidmatan Guru Malaysia. Sehubungan itu, sukacita saya maklumkan kerajaan telah bersetuju bahawa:

7. Sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam Perkhidmatan Perguruan dan dalam memartabatkan profesyen keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya time-based perlu diberi nafas baru.

8. Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun. Makanya, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.

9. Oleh yang demikian, Kerajaan memperkenalkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran atau PDP yakni Guru Wibawa dan Pendeta Guru di mana guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan Pertamanya: Guru Biasa, keduanya: Guru Kanan, ketiganya: Guru Wibawa dan keempat: Pendeta Guru. Jelasnya, pewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

10. Selain itu, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

11. Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan, mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara. Namun, untuk guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan. Untuk ini, Kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100% dengan menambah jumlah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

12. Selanjutnya, sebagai membuktikan lagi kesungguhan Kerajaan dalam memartabatkan profesyen keguruan, Kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan. Manakala, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 akan melibatkan 6,585 jawatan. Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.

13. Khabar gembiranya Insyaallah, tarikh kuat kuasa pelaksanaan semua perubahan yang dinyatakan tadi akan bermula pada 1 hb Januari 2012.
Para guru yang dimuliakan sekalian,

14. Begitulah, betapa pihak kerajaan amat memandang tinggi profesyen keguruan di negara ini. Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kiralah sama ada beliau seorang Pemimpin, Pentadbir, Doktor, Peguam, Akauntan, Jurutera, Ahli Sukan atau apa jua pun kerjayanya, telah terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru.
Pujangga bermadah:
Guru umpama kandil yang terang menyala,
Suluh cahayanya penerang jalan,
Sepatah kata dijadikan pelajaran,
Segumpal pesan dijadikan pedoman,
Ilmu dicurah mengorak alam terkembang.

15. Akhir kata, mudah-mudahan para guru sekalian terus ikhlas dan bersemangat menabur jasa serta khidmat bakti kepada anak-anak watan demi sebuah Malaysia.
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.