Saturday, May 21, 2011

PROSPEK menggantikan PTK 1 Julai?

Penjawat awam akan dinilai mengikut mekanisme baru mulai 1 Julai 2011 yang disebut sebagai PROSPEK menggantikan PTK yang telah dimansuhkan. Apa pun mekanisme yang akan digunai pakai, hendaknya kaedah yang akan dilaksanakan adalah yang terbaik, bersifat adil, tidak menyusahkan, tidak menambah beban kerja sedia ada dan bersifat menyeluruh di samping benar-benar menilai kompetensi tugas yang sebenar - bukan hanya menilai berdasarkan keupayaan intelektual sebagaimana PTK yang berdasarkan peperiksaan sama seperti murid sekolah rendah, menengah dan universiti. Kita tunggu perincian penilaian baru ini seperti yang telah diumumkan oleh KPPA sebagaimana petikan berita akhbar di bawah.


PUTRAJAYA: Kaedah penilaian baru bagi kakitangan awam untuk menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan Januari lalu, tidak lagi berasaskan peperiksaan, tetapi ditentukan panel penilai berwibawa dianggotai oleh ketua jabatan dan kakitangan pelbagai peringkat.

Panel penilai itu akan bertukar setiap tahun bagi mengelakkan elemen berat sebelah dan unsur pilih kasih.

Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) menggantikan PTK yang dilaksanakan mulai 1 Julai depan, membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

Bagaimanapun, falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan skopnya diperluaskan meliputi pembangunan kompetensi dan potensi.

Hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi cemerlang dan berpotensi tinggi; memenuhi kompetensi dan berpotensi atau memerlukan pembangunan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata selain dimensi asas seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap, sistem baru itu juga mengambil kira dimensi tambahan, iaitu kreativiti dan inovasi selaras penekanan kerajaan pada masa ini.

“Pegawai yang melalui proses penilaian dan pembangunan serta memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan berpeluang menikmati ganjaran dalam bentuk pembangunan diri dan kemajuan kerjaya,” katanya pada majlis menandatangani persetujuan bersama sistem baru itu dengan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, malam tadi. CUEPACS diwakili Presidennya, Datuk Omar Osman.

Beliau berkata, penilaian potensi sebagai nilai tambah kepada penilaian baru itu bertujuan memantapkan lagi fungsi pengurusan bakat dalam perkhidmatan awam.

Faedah pembangunan diri, termasuk peluang mengikuti pelbagai program pembangunan untuk meningkatkan kompetensi dan potensi seseorang kakitangan serta pengiktirafan lain seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang.

Sementara itu, faedah kemajuan kerjaya termasuk pertimbangan kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan masing-masing dan peluang mengikuti latihan dalam atau luar negara.

Pegawai yang berada dalam gred kenaikan pangkat pula akan mengikuti program pembangunan kompetensi dan potensi yang ditetapkan mengikut gred berkenaan.

“Kaedah pembangunan boleh berbentuk program seperti Pembangunan Kompetensi Berterusan dan Latihan Berteraskan Kompetensi.

“Ketua perkhidmatan dan jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan aspek dan kaedah penilaian dan pembangunan sesuai dengan keperluan kompetensi jawatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersedia berunding dari semasa ke semasa untuk melakukan penambahbaikan terhadap sistem penilaian baru itu.

Pengumuman pemansuhan PTK diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011 pada Oktober 2010 berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Ujian PTK diperkenalkan pada 2003 berikutan pelaksanaan Skim Saraan Malaysia (SSM) pada Oktober 2002 menggantikan Skim Saraan Baru (SSB) yang diguna pakai bagi menilai prestasi kakitangan awam sejak 1990.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan mulai 1 Julai depan, prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan sebuah panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru.

Konsep baru itu akan digunakan untuk menilai tahap kecekapan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam bagi menggantikan PTK di bawah SSM.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Johor 2011 - Kulaijaya

Jangan sekadar makan gaji


ABDUL Ghani Othman (kanan) dan Mohd. Nor A. Ghani (kiri) bersama Jamian Jaffar (dua dari kiri) dan Zakaria A. Syukor di Dewan Putra, Kulaijaya, Johor, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

KULAIJAYA 19 Mei – Pengetua di negeri ini diingatkan supaya tidak mempunyai mentaliti makan gaji sahaja sebaliknya berusaha meningkatkan pencapaian sekolah masing-masing. Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, mereka mempunyai peranan dan tanggungjawab yang amat besar dan jawatan yang diberikan itu adalah satu amanah dan ibadah yang perlu dilaksana dengan ikhlas tanpa mengenal penat.

“Mereka mempunyai peranan penting untuk menggerakkan para guru supaya menghasilkan pelajar yang cemerlang dan bermutu. Pelaksanaan tanggungjawab dan kerja tidak seharusnya disempurnakan hanya kerana ia dipantau atau arahan Kementerian Pelajaran.

“Sebaliknya ia perlu terbit atas rasa kesedaran dan keinsafan untuk membangunkan generasi masa depan,” katanya pada sidang akhbar selepas sambutan Hari Guru peringkat Johor di Dewan Raya Putra, di sini hari ini.Turut hadir Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Mohd. Nor A. Ghani dan Timbalannya, Md. Hasidin Zaini.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kerisauan terhadap beberapa sekolah yang tidak mengendahkan soal pembangunan jati diri yang berasaskan budaya dan agama.
“Kalau kita dapat melahirkan generasi berilmu sekalipun tetapi tanpa jati diri, masyarakat dan negara akan tetap pincang,” tegasnya.

Sementara itu, Tokoh Pendidikan Negeri Johor 2011, Zakaria A. Syukor, 59, berkata, golongan pendidik masa kini perlu mengikut peredaran semasa supaya kekal relevan dan tidak ketinggalan.
“Jika guru-guru gagal berbuat demikian, mereka akan ketinggalan dengan pelajar-pelajar lebih terkehadapan dengan pelbagai sumber maklumat dan teknologi masa kini,” kata bekas Pengarah Institut Perguruan Temenggong Ibrahim yang bersara pada 2008.

Tokoh Guru Negeri Johor 2011, Jamian Jaffar, 59, pula menggesa murid dan pelajar agar memanfaatkan kemudahan teknologi untuk meningkatkan pencapaian akademik.
Katanya yang bersara sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Johor pada 2008, generasi masa kini amat bertuah dan kemudahan itu tidak seharusnya disia-siakan.

-Utusan Malaysia Online

Berita di atas adalah dipetik daripada berita yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia. MPSM mengambil ingatan terhadap seruan YAB Menteri Besar terhadap harapan kepada semua Pengetua dan Guru Besar yang mengemudi sekolah-sekolah menengah dan rendah di negeri Johor. Mudah-mudahan ingatan ini akan sentiasa tersemat di hati dan sanubari semua pemimpin pendidikan bahawa tanggungjawab kita bukanlah sekadar tanggungjawab untuk memperoleh ganjaran bulanan.

Berdasarkan sejarah pendidikan di negara kita yang cukup panjang, MPSM percaya bahawa golongan guru bukanlah kumpulan yang hanya sekadar bekerja untuk mendapat gaji sebaliknya golongan yang terlalu banyak berkorban untuk kemenjadian murid-murid di peringkat mana juga. Terlalu banyak yang telah dibicarakan tentang guru ini dari soal gaji, beban tugas, tanggungjawab di luar batas sempadan kerja, tanggungjawab menjana modal insan dan sebagainya. Cukuplah kalau kita imbas dan lihat kembalai sajak "Guru Oh Guru" nukilan Usman Awang. Bait-bait puisi itu sebenarnya telah menjelaskan segala-galanya. Malah kini golongan guru terus berhadapan dengan pelbagai cabaran pendidikan abad 21 yang lebih kompleks dan mencabar.

Kepada golongan guru, ayuh kita teruskan perjuangan yang masih panjang ini demi kemajuan anak bangsa.

Wednesday, May 18, 2011

Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Johor 2011


Tarikh            : 19 Mei 2011
Tempat           : Dewan Raya Putra, Bandar Putra, Kulaijaya. Johor

ATUR CARA MALIS HARI GURU PERINGKAT NEGERI JOHOR TAHUN 2011

8.30 pagi    : Ketibaan tetamu jemputan
8.45 pagi    : Ketibaan Yang Berbahagia En. Mohd Nor bin A. Ghani , Pengarah Pelajaran Johor
9.00 pagi    : Ketibaan YAB Dato' Haji Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor
                    : Nyanyian Lagu Bangsa Johor
                    : Lagu Selangkah Di Hadapan
                    : Bacaan Doa
                    : Ucapan Alu-aluan oleh En. Mohd Nor bin A. Ghani, Pengarah Pelajaran Johor
                    : Ucapan Perasmian oleh YAB Dato' haji Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor
                    : Nyanyian Lagu Tema
                    : Ikrar
                    : Nyanyian Lagu Guru Malaysia
                    : Penyampaian Anugerah Pertandingan
                    : Penyampaian Anugerah Tokoh Guru
                    : Penyampaian Anugerah Tokoh Kepimpinan
                    : Nyanyian Lagu Negaraku
                    : Bersurai

Monday, May 16, 2011

Insentif Buat Guru oleh YAB PM.......Terima kasih PM.....

PERUTUSAN KHAS PERDANA MENTERI SEMPENA HARI GURU 
 
PUTRAJAYA: Berikut adalah perutusan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sempena sambutan Hari Guru, Isnin.

Dalam perutusannya itu, perdana menteri telah mengumumkan beberapa kaedah baru kenaikan pangkat untuk guru cemerlang dan juga kenaikkan pangkat untuk lebih 1,200 guru dari Gred DG48 ke Gred DG52. Terima kasih YAB PM.

BismilLahirRahamanirahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.
Para guru yang dirai dan dimuliakan sekalian,

1. Pada hari yang bermakna ini, saya ingin mengambil peluang sebagai Perdana Menteri Malaysia juga bagi pihak kerajaan, rakyat, diri saya dan isteri untuk mengucapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada para guru. Hari ini merupakan hari kita meraikan serta memberi pengktirafan kepada mereka.
2. Sesungguhnya, jasa mereka yang begitu besar, budi mereka yang ditabur serta khidmat bakti mereka kepada negara tidak mungkin akan dapat diimbal dengan seadilnya. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu memberikan ganjaran setimpal.

3. Hakikatnya, sejarah pembangunan Malaysia dilakar melalui kalam para guru, ia disuburkan hasil jerih payah dan pengorbanan warga pendidik di bilik-bilik darjah dan padang-padang permainan. Sebetulnya lagi, sebuah negara yang maju, sebuah tamadun yang hebat, tidak mungkin terbina tanpa insan yang bergelar guru.

4. Hari ini, di setiap ceruk rantau negara, para guru tanpa mengenal penat lelah senantiasa membawa cahaya harapan kepada anak-anak Malaysia. Para gurulah yang membuka pintu gedung ilmu pengetahuan, membolehkan penerokaan khazanah minda seterusnya mengoptimumkan potensi modal insan negara.

5. Setiap kejayaan nasional dari transformasi negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, tercatat di celah-celah lipatan kudratnya para guru. Begitu juga lompatan transformasi berikutnya ke arah negara maju berpendapatan tinggi memerlukan sentuhan para guru sesuai dengan tema sambutan tahun ini “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”.

6. Lantaran itu, menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang telah dibuat para guru, maka kerajaan telah memutuskan untuk menambahbaik skim perkhidmatan Guru Malaysia. Sehubungan itu, sukacita saya maklumkan kerajaan telah bersetuju bahawa:

7. Sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam Perkhidmatan Perguruan dan dalam memartabatkan profesyen keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya time-based perlu diberi nafas baru.

8. Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun. Makanya, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.

9. Oleh yang demikian, Kerajaan memperkenalkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran atau PDP yakni Guru Wibawa dan Pendeta Guru di mana guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan Pertamanya: Guru Biasa, keduanya: Guru Kanan, ketiganya: Guru Wibawa dan keempat: Pendeta Guru. Jelasnya, pewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

10. Selain itu, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

11. Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan, mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara. Namun, untuk guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan. Untuk ini, Kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100% dengan menambah jumlah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

12. Selanjutnya, sebagai membuktikan lagi kesungguhan Kerajaan dalam memartabatkan profesyen keguruan, Kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan. Manakala, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 akan melibatkan 6,585 jawatan. Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.

13. Khabar gembiranya Insyaallah, tarikh kuat kuasa pelaksanaan semua perubahan yang dinyatakan tadi akan bermula pada 1 hb Januari 2012.
Para guru yang dimuliakan sekalian,

14. Begitulah, betapa pihak kerajaan amat memandang tinggi profesyen keguruan di negara ini. Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kiralah sama ada beliau seorang Pemimpin, Pentadbir, Doktor, Peguam, Akauntan, Jurutera, Ahli Sukan atau apa jua pun kerjayanya, telah terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru.
Pujangga bermadah:
Guru umpama kandil yang terang menyala,
Suluh cahayanya penerang jalan,
Sepatah kata dijadikan pelajaran,
Segumpal pesan dijadikan pedoman,
Ilmu dicurah mengorak alam terkembang.

15. Akhir kata, mudah-mudahan para guru sekalian terus ikhlas dan bersemangat menabur jasa serta khidmat bakti kepada anak-anak watan demi sebuah Malaysia.
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Berita gembira hari guru 2011. Yang ditunggu-tunggu..........

Berita baik yang kita tunggu-tunggu semasa Pelancaran Hari Guru 2011 hari ini.

Antara yang diumumkan Perdana Menteri :
  1. Kaedah Kenaikan Pangkat Time Based diberi nafas baru…
  2. Kaedah baru kenaikan pangkat dengan memperkenalkan 4 kategori guru iaitu Guru Biasa,Guru Kanan,Guru Wibawa dan Guru Pendeta.
  3. Peningkatan yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.
  4. Gred Khas C bagi guru P&P dinaikkan 100% dari 36- 72 jawatan.
  5. Menaikkan gred pengetua  SMK daripada  DG 48 kepada DG 52.
  6. Menaikkan gred guru Penolong Kanan Pentadbiran,
    PK HEM dan PK Kokurikulum SM daripada DG 44 ke DG 48.
  7. Guru Besar dan PK Pentadbiran, PK HEM dan PK Kokurikulum Sekolah Rendah dinaikkan gred daripada DG 32 ke DG 34.
Berkuatkuasa 1 Januari 2012….

Tahniah diucapkan kepada  Tokoh Pendidik/ guru  tahun 2010 ialah :
  1. Datuk ( DR ) Haji Nor Bin Daim ( Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2001 ).
  2. Dato’ Prof Dr.Abd Rahim Bin Selamat ( Tokoh Guru )
  3. Dato’ Siva Subramaniam ( Tokoh Guru )
  4. Cik Hamedah Binti Awang ( Tokoh Guru )
  5. Datuk Hajah Rita T Jaafar @ Rita Bagong ( Tokoh Guru )
  6.  
TEKS UCAPAN PENUH MENTERI PELAJARAN SEMPENA HARI GURU
 
KUCHING: Berikut adalah teks ucapan penuh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Guru 2011 yang berlangsung di Borneo Convention Centre di sini pada petang Isnin.

Dalam ucapannya itu, Muhyiddin telah mengumumkan beberapa keputusan penting tentang jawatan dan profesion perguruan.

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia;

Yang Amat Berhormat Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak;
Yang Berhormat Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia;
Yang Berhormat Dr Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Datuk Dr Rosli Mohamad, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Datuk Abdul Ghafar Mahmud,Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
Pengarah Jabatan Pelajaran Sarawak, Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran Malaysia;
Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri;

Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puan-puan dan para guru yang saya hormati sekalian.

1. Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berhimpun pada hari ini untuk menyambut Hari Guru sebagai tanda pengiktirafan kita yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru sekalian.

2. Selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, saya ingin mengambil kesempatan pada hari yang amat bermakna ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru, sama ada yang masih berkhidmat atau pun yang telah bersara. Saya bagi pihak kerajaan ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan di atas segala pengorbanan dan sumbangan besar guru-guru dalam meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa dan memajukan negara kita.
Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

3. Pemilihan tema Hari Guru tahun ini iaitu “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” pada hemat saya adalah amat bertepatan dengan peranan guru sebagai penggerak utama proses transformasi pendidikan, yang menjadi penentu kepada kejayaan transformasi negara kita. Sentuhan keramat guru telah melahirkan ramai cendakiawan, golongan profesional, usahawan, peniaga dan seluruh warga pekerja yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kemajuan negara kita selama ini.

4. Maka, pada saat negara kita sedang berada di ambang peralihan daripada sebuah negara membangun kepada sebuah negara maju berpendapatan tinggi, peranan guru menjadi lebih penting lagi. Di pundak guru-guru letaknya harapan kita semua untuk melihat kualiti pendidikan negara melonjak ke tahap yang terbaik, dan dengan itu memastikan sistem pendidikan negara kita dapat melahirkan modal insan yang berkualiti untuk memacu transformasi negara ke tahap yang lebih tinggi. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa seluruh harapan dan cita-cita rakyat untuk menjayakan proses transformasi negara dipertaruhkan kepada saudara dan saudari yang bergelar guru.

5. Kerajaan sememangnya telah membuat perencanaan yang amat rapi untuk menjayakan proses transformasi pendidikan negara. Ini termasuklah pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan yang merupakan mekanisme utama untuk menjayakan agenda penting ini. Namun, kita juga akur bahawa perencanaan yang rapi sahaja tidak menjamin keupayaan kita untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan. Lebih penting ialah pengorbanan dan daya juang para guru dalam menjayakan setiap perencanaan yang dilakar oleh kerajaan. Untuk itu, saya ingin mengambil kesempatan pada hari yang amat bermakna ini untuk merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan tahniah kepada para guru di atas jerih perih anda semua dalam mencapai sasaran-sasaran penting yang ditetapkan di bawah NKRA pendidikan, dan juga di bawah dasar-dasar serta program lain yang sedang dilaksanakan di Kementerian Pelajaran.

6. Dari segi pencapaian sasaran NKRA Pendidikan, Alhamdulillah, berkat curahan jasa dan bakti para guru sekalian, kita telah berjaya meningkatkan kadar penyertaan prasekolah kepada 72.42 peratus, iaitu melebihi sasaran 72 peratus yang ditetapkan untuk tahun 2010. Kadar literasi murid juga telah meningkat daripada 64 peratus kepada 85 peratus, manakala kadar numerasi meningkat daripada 73 peratus kepada 91 peratus. Kita juga telah mengumumkan senarai 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun 2010 dan untuk tahun 2011 sebanyak 23 buah sekolah lagi telah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi.

7. Lebih membanggakan kita, jasa guru untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan tidak mengenal batasan geografi. Guru-guru di pedalaman pun berupaya untuk melonjakkan prestasi sekolah. Ini dibuktikan misalnya dengan kejayaan SK Ulu Lubai, sebuah sekolah di kawasan pedalaman Sarawak, mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun ini. Di samping itu, inisiatif Tawaran Baru juga telah menunjukkan hasil yang amat positif apabila guru-guru daripada 1,400 buah sekolah telah berjaya melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan untuk sekolah masing-masing, dan dengan itu layak untuk menerima bayaran insentif di atas perkhidmatan mereka yang cemerlang.

8. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan pelbagai inisiatif di bawah empat sub-NKRA pendidikan. Alhamdulillah, segala perit jerih guru-guru sekalian telah membuahkan hasil apabila Kementerian Pelajaran mendapat markah tertinggi dalam pencapaian KPI bagi tahun 2010. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada guru-guru dan semua pegawai Kementerian yang telah membantu saya menerajui Kementerian Pelajaran dengan baik sehingga kita berjaya mencapai kejayaan yang cemerlang ini. Untuk itu, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada guru-guru sekalian! Kejayaan yang amat bermakna ini adalah milik anda semua!
Sumbangan dan Sokongan Padu Guru

9. Walaupun telah banyak pencapaian yang dihasilkan dalam bidang pendidikan, masih banyak lagi yang perlu dilakukan oleh kita semua untuk memastikan supaya proses pemantapan kualiti pendidikan negara dapat berlaku secara berterusan. Atas kesedaran inilah, saya selaku Menteri Pelajaran telah menggagaskan beberapa dasar penting untuk dilaksanakan di setiap peringkat persekolahan.

10. Pertama, menyedari betapa mustahaknya anak-anak kita mempunyai tahap kesihatan dan kecergasan yang tinggi untuk membolehkan mereka menjadi manusia yang cerdas, maka saya telah memperkenalkan Dasar 1Murid 1Sukan. Dasar ini memberi peluang kepada setiap murid untuk melibatkan diri dalam acara sukan yang digemari dengan tujuan untuk meningkatkan tahap kecergasan dan kecerdasan mereka. Seperti kata pepatah Arab, “Al-‘aqlu al-salim, fi al-jismi al-salim”, yang bermaksud akal yang sihat terletak pada badan yang sihat.

11. Kedua, saya juga telah memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kita sedar bahawa penguasaan bahasa Melayu adalah amat penting untuk memastikan setiap murid dapat menguasai ilmu yang diajar dalam bahasa Melayu, iaitu bahasa Kebangsaan negara kita dan bahasa pengantar di sekolah. Usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu dimulakan di sekolah lagi supaya anak-anak kita mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada bahasa Kebangsaan yang merupakan bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara kita.

12. Pada masa yang sama, kita juga sedar bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid adalah amat penting untuk membolehkan mereka berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa utama di dunia. Maka, di bawah dasar MBMMBI ini, Kementerian Pelajaran telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menambahbaik pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah. Ini termasuklah dengan menggunakan khidmat kepakaran guru penutur jati bahasa Inggeris yang ditempatkan di Institut Pendidikan Guru dan di zon-zon tertentu untuk melatih guru-guru meningkatkan ilmu dan kemahiran mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris.

13. Ketiga, selaras dengan keperluan untuk melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif untuk memacu kemajuan negara, Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang memberi penekanan kepada pemupukan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Saya yakin transformasi kurikulum yang dilaksanakan pada tahun ini akan membuka lembaran baru kepada guru-guru untuk meneroka kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang lebih kreatif untuk mengasah bakat dan daya kreativiti murid secara lebih berkesan.

14. Keempat, untuk memastikan pendidikan negara mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, maka saya telah memberi tumpuan khusus kepada program transformasi pendidikan teknik dan vokasional. Sebagai langkah untuk memastikan murid mendapat pendidikan vokasional dan kemahiran yang berkualiti, maka KPM akan mengambil guru vokasional dan kemahiran baru yang diiktiraf dari pasaran terbuka seperti pusat latihan kemahiran tinggi dan universiti teknikal awam. Proses pengambilan guru-guru tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka mencecah 10,000 orang menjelang penghujung 2015. Dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan untuk memperkasa pendidikan teknik dan vokasional, insyaAllah, kita akan berjaya meningkatkan peratusan pelajar aliran teknikal dan vokasional daripada 10 peratus kepada 20 peratus menjelang tahun 2015.

15. Kesemua dasar dan program yang saya sebutkan ini memerlukan sokongan padu para guru. Tanpa sokongan guru-guru sekalian, agak sukar untuk kita mencapai segala cita-cita murni yang dihasratkan melalui pelaksanaan dasar-dasar ini. Dasar akan tinggal dasar, perancangan akan tinggal perancangan. Untuk itu, saya berharap agar guru-guru sekalian dapat berada dalam satu saf bersama-sama saya dan seluruh kepimpinan Kementerian Pelajaran dalam melaksanakan setiap dasar ini dan seterusnya menjayakan agenda transformasi pendidikan demi masa depan negara kita.

Memartabatkan Profesion Keguruan
16. Sungguhpun jasa dan bakti guru sukar untuk dibalas, namun sebagai imbalan yang wajar kepada jasa-jasa guru, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada usaha untuk memartabatkan profesion keguruan. Dalam hubungan ini, pelbagai program latihan dalam perkhidmatan telah dilaksanakan oleh Kementerian untuk meningkatkan profesionalisme keguruan. Ini termasuklah program pensiswazahan guru yang mensasarkan bilangan guru siswazah sebanyak 60 peratus di sekolah rendah dan 90 peratus di sekolah menengah menjelang tahun 2015.

17. Dari segi peluang kenaikan pangkat pula, kerajaan telah memperuntukkan pelbagai faedah kepada perkhidmatan perguruan yang tidak dinikmati oleh perkhidmatan-perkhidmatan lain. Perkhidmatan perguruan adalah satu-satunya perkhidmatan yang diperuntukkan dengan lima (5) kaedah kenaikan pangkat iaitu:
(i) kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan,
(ii) kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP),
(iii) kenaikan pangkat secara time-based,
(iv) kenaikan pangkat untuk Pengetua atau Guru Besar cemerlang dan
(v) kenaikan pangkat Guru Cemerlang.

18. Di samping itu, perkhidmatan perguruan juga menikmati satu lagi bentuk imbuhan berasaskan prestasi yang tidak dinikmati oleh mana-mana perkhidmatan awam lain iaitu Bayaran Insentif Tawaran Baru kepada pengetua, guru besar dan warga sekolah yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing. Alhamdulillah, insentif Tawaran Baru ini telah membuahkan hasil yang amat baik apabila jumlah guru dan pemimpin sekolah yang berjaya mendapat ganjaran adalah jauh melebihi sasaran awal yang ditetapkan. Ini bermakna, guru-guru kita mempunyai motivasi yang amat tinggi untuk melonjakkan prestasi sekolah. Saya berharap agar pencapaian cemerlang ini akan menjadi pencetus semangat kepada guru-guru untuk meneruskan usaha murni meningkatkan pencapaian di peringkat sekolah.

19. Selain itu, kerajaan juga telah meluluskan Bayaran Insentif Sekolah Berprestasi Tinggi bagi menghargai jasa guru dan kakitangan sokongan yang berkhidmat di Sekolah Berprestasi Tinggi. Insentif ini adalah tanda pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan guru-guru dalam melahirkan sekolah-sekolah yang berpencapaian cemerlang di negara kita. Dengan usaha berterusan guru-guru di seluruh negara untuk melonjakkan prestasi sekolah, saya berkeyakinan bahawa sasaran mewujudkan 100 buah Sekolah Berprestasi Tinggi menjelang tahun 2013 akan dapat dicapai.

20. Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar para guru kepada negara, kerajaan juga sentiasa berusaha untuk menambahbaik skim perkhidmatan pendidikan. Terbaru ialah pengumuman YAB Perdana Menteri hari ini mengenai beberapa penambahbaikan dalam skim perkhidmatan pegawai pendidikan yang pastinya disambut baik oleh guru-guru sekalian.

21. Saya selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada YAB Perdana Menteri yang telah memberikan tumpuan istimewa kepada profesyen keguruan dengan mengumumkan hadiah Hari Guru paling bermakna buat guru-guru di seluruh negara pada hari ini. Saya tahu YAB Perdana Menteri sentiasa mendengar keluhan guru-guru yang terpaksa mengambil masa terlalu lama untuk menikmati peluang kenaikan ke gred yang lebih tinggi.

22. Kerana itulah, walaupun dalam keadaan kerajaan perlu mengawal defisit negara, YAB Perdana Menteri masih bersedia untuk menawarkan penambahbaikan skim perkhidmatan pendidikan, dengan memberi nafas baru kepada kaedah kenaikan gred, khususnya secara time-based. InsyaAllah, dengan pengumuman yang telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri, ramai guru akan menikmati manfaat kenaikan gred yang lebih cepat selepas ini.

23. Begitu juga dengan pertambahan jumlah jawatan Gred Khas C daripada 36 kepada 72 jawatan untuk guru-guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran. Pertambahan sebanyak 100 peratus ini akan memperluaskan peluang guru-guru di bilik darjah untuk memegang gred tertinggi dalam perkhidmatan awam tanpa perlu menjawat jawatan pentadbiran. Pewujudan jawatan Guru Wibawa dan Pendeta Guru yang bakal memegang gred tertinggi dalam perkhidmatan awam juga merupakan satu isyarat jelas bahawa kerajaan amat serius dalam memartabatkan profesyen keguruan.

24. Selain itu, kenaikan gred Pengetua daripada DG48 kepada DG52 dan Penolong Kanan daripada DG44 kepadaDG48 adalah satu pengiktirafan kepada jawatan Pengetua dan Penolong Kanan sekolah menengah. Kenaikan gred ini adalah setimpal dengan pertambahan bebabanan yang terpaksa ditanggung oleh para pengetua dan penolong kanan. InsyaAllah, kenaikan ini akan menambah minat guru-guru untuk memegang kedua-dua jawatan ini yang amat penting dalam kepimpinan sekolah.

Kerjasama Dengan Kesatuan Guru dan Ibubapa
25. Usaha memartabat profesyen keguruan adalah satu proses yang berterusan. Untuk itu, kerajaan sentiasa berusaha untuk menyediakan pelbagai bentuk insentif kepada guru-guru dan menambahbaik keseluruhan perkhidmatan pendidikan dari masa ke semasa, termasuk penambahbaikan dalam Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD). Dalam hubungan ini, saya akan bekerjasama dengan kesatuan-kesatuan guru untuk melihat isu-isu yang berkaitan dengan profesyen keguruan secara lebih terperinci dan menyeluruh, serta mencari kaedah terbaik untuk terus memartabatkan profesyen keguruan agar setara dengan darjat kemuliaannya. Pihak Kementerian juga akan terus mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menyelesaikan beberapa perkara berkaitan dengan perjawatan guru yang telah dibawa kepada perhatian Kementerian sebelum ini. Pihak Kementerian juga akan mempergiatkan program pensiswazahan guru untuk memartabatkan profesyen keguruan di samping memastikan semua guru dapat menikmati pelbagai faedah yang disediakan untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah.

26. Selain itu, dalam usaha kita untuk menjayakan agenda pendidikan negara, peranan ibubapa tidak kurang pentingnya. Malah, ibubapa adalah insan yang paling penting dalam menentukan kecemerlangan pendidikan anak-anak. Justeru, saya juga ingin mengajak ibubapa supaya menjadikan sekolah sebagai milik masyarakat. Ibubapa boleh memberikan sumbangan secara langsung kepada sekolah melalui pelbagai kegiatan sukarela yang dapat membantu melonjakkan prestasi sekolah. Dalam hubungan ini, Persatuan Ibubapa dan Guru boleh memainkan peranan yang proaktif dalam menggalakkan ibubapa untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan sekolah, yang pastinya akan membantu anak-anak untuk meningkatkan pencapaian dalam pendidikan.

Penutup

27. Saya yakin dengan adanya guru-guru yang berdedikasi, kepimpinan kesatuan guru yang proaktif dan ibubapa yang prihatin, InsyaAllah, kita akan dapat menjayakan proses transformasi pendidikan di negara kita dengan cemerlang. Atas segalanya, guru-guru merupakan pemimpin dan penjana utama transformasi negara. Dengan keringat gurulah kita melahirkan insan yang mulia; dengan kudrat gurulah kita membina masa depan yang sejahtera.

28. Dengan amanah besar ini, guru-guru menduduki satu darjat yang paling dimuliakan dalam masyarakat. Bak kata pujangga:
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
29. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada guru-guru yang telah terpilih sebagai tokoh guru sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini. Kepada semua guru, sekali lagi saya mengucapkan Selamat Hari Guru. Semoga para guru sekalian akan terus diberi kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus menabur jasa kepada nusa dan bangsa.
“Selamat Hari Guru”. “Terima Kasih Cikgu”.
Wabillahi al-taufik wa al-hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

    Saturday, May 14, 2011

    Nota Bicara Pendidikan - Transformasi KPM

    Transformasi KPM                                                                                                   

    Hari Guru 2011

     Dipaparkan lagu tema dan perutusan sempena hari guru tahun 2011 yang boleh dimuaturun oleh semua ahli MPSMJ

     Lagu Tema Hari Guru 2011
    Vokal
    Instrumental
    Minus One
    Senikata

    Perutusan

    TEMA-TEMA HARI GURU
    2011 Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
    2010 Guru Pembina Negara Bangsa
    2009 Guru Pembina Negara Bangsa
    2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
    2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang
    2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
    2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
    2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
    2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
    2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
    2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
    2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
    1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
    1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
    1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
    1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
    1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
    1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
    1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
    1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
    1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
    1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
    1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
    1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
    1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
    1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
    1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
    1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
    1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
    1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
    1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
    1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
    1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
    1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
    1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
    1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
    1975 Guru dan Pembangunan Negara
    1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
    1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
    1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

    Berita gembira hari guru 2011. Tunggu..........

    Khabar gembira pada sambutan hari guru isnin ini?



    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan khabar gembira buat warga pendidik bersempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini. Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut, sebaliknya berkata: “Insya-Allah, tunggulah...”. Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama warga pendidik Pahang di sini hari ini, Muhyiddin berkata, cabaran baru warga pendidik kini amat mencabar dalam usaha kerajaan mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. "Paling utama ialah soal menyediakan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran selari dengan sasaran menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020,” katanya.      Bernama 14/5/2011

    Petikan di atas merupakan kenyataan YABM kita yang kita nanti-nantikan sempena perayaan hari guru pada 16 MEI pada tahun ini. Marilah kita sama-sama berdoa agar pengumuman beliau nanti adalah pengumuman yang memberikan kegembiraan, kelegaan, pengiktirafan dan penghormatan kita sebagai guru dan profesion pendidikan di negara ini.  Mudah-mudahan jika iaya berupa insentif atau apa sahaja akan semakin memotivasikan kita menjadi pendidik yang hebat, agar ungkapan guru menjana tranfsformasi pendidikan negara akan menjadi realiti, Insyallah.

    Guru jana transformasi pendidikan - Apa kata Dato' KPPM ?

    PERANAN guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan dan memajukan bidang pendidikan di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.Fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan.

    Oleh yang demikian, pemilihan tema hari guru pada tahun ini iaitu "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara" adalah amat bertepatan sekali.

    Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga guru atas jasa bakti tidak kenal erti jemu dalam usaha mendidik anak-anak bangsa yang amat memerlukan ilmu bagi memajukan diri, agama, bangsa dan negara.

    "Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

    Menurut beliau, Kementerian Pelajaran telah merencanakan pelbagai dasar, polisi dan pembaharuan pendidikan bagi memantapkan proses dan pengendalian pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah.
    "Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang selepas ini akan diikuti pula oleh Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) juga tidak akan berjaya tanpa komitmen dan sokongan jitu para guru.

    "Peranan guru juga besar dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan Satu Murid Satu Sukan (1M1S).
    "Semua dasar dan pembaharuan pendidikan ini tidak akan memberi makna tanpa warga pendidik sebagai golongan yang berada di barisan hadapan dalam memacu arus pendidikan agar sentiasa dinamik dan progresif," jelas beliau.

    Terang beliau lagi, Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi pelan hala tuju Malaysia menjelang 2020 yang dilancarkan pada awal tahun lalu menggariskan beberapa pelan tindakan berkaitan sistem pendidikan negara.

    "Sasaran utama adalah untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar dan bidang yang menjadi tumpuan adalah prasekolah, kemahiran asas literasi dan numerasi, Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan peningkatan prestasi Pengetua dan Guru Besar.

    "Namun demikian, tanpa komitmen dan usaha gigih para guru, semua pelan yang direncanakan pasti sukar untuk dijayakan dan ia jelas menunjukkan betapa besar peranan para guru yang berupaya mencorak dan membentuk generasi masa muka," tambahnya.

    Abd. Ghafar berkata, transformasi dalam pendidikan akan terus berlaku kerana ia selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi negara maju dengan acuan tersendiri yang mengambil kira kepercayaan, budaya dan nilai setempat yang terpelihara sekian lama.

    "Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada guru dan tumpuan sepenuhnya perlu diberikan terhadap tanggungjawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum, kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didik.
    "Justeru, saya menyeru agar warga pendidik sentiasa bersedia untuk menyambut sebarang perubahan pendidikan bagi diterjemahkan semasa proses P&P dalam bilik darjah," ujarnya.

    Beliau menambah, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif dan inisiatif bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin.

    "Keprihatinan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha seperti menubuhkan jawatankuasa mengkaji beban tugas guru, cadangan wujudkan jawatan pembantu guru, menambah baik infrastruktur sekolah, menyediakan peluang melanjutkan pelajaran dan menambah kuota pengetua serta guru cemerlang sehingga peringkat JUSA C," terang beliau.

    Abd. Ghafar berkata, cadangan penstrukturan semula pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan bagi guru-guru di Sabah dan Sarawak membuktikan bahawa bidang pendidikan, guru-guru dan murid-murid walau di mana sahaja berada menjadi keutamaan dalam agenda semasa kerajaan.

    "Konsep pendemokrasian pendidikan sentiasa dipraktiskan oleh pihak kementerian bagi memastikan peluang mengikuti pendidikan berkualiti dapat dikecapi secara sama rata di seluruh negara tanpa mengira batas geografi, gender, tahap sosio ekonomi, bangsa dan fahaman politik," jelasnya.

    Katanya lagi, pelbagai inisiatif diambil bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir seperti penyediaan Sekolah pendidikan khas dan kelas integrasi pendidikan khas bagi kanak-kanak kelainan upaya
    "Kementerian Pelajaran juga telah mengambil langkah memperkemas dan menambah baik syarat dan kriteria pengambilan guru pelatih bagi kursus pra perkhidmatan.

    "Langkah untuk meningkatkan profesionalisme guru akan meningkatkan martabat keguruan untuk terus dihormati, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat," terangnya.

    Menurut Abd. Ghafar, usaha memartabatkan profesion keguruan tidak akan mencapai sasaran jika dirancang dan dilaksanakan pada peringkat kerajaan atau kementerian sahaja.

    Katanya, warga pendidik sendiri selaku agen perubahan perlu memainkan peranan berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing.

    "Guru janganlah jemu berusaha untuk menambah baik amalan pengajaran semasa dan sentiasa berfikiran proaktif, kreatif serta inovatif.

    "Guru-guru juga disarankan supaya mengaplikasi dan mengamalkan kaedah P&P terkini seiring dengan proses globalisasi agar kekal relevan dan mampu menarik minat murid-murid untuk menimba ilmu," jelasnya.

    Majlis Kunjung Hormat PPJ dan TPPJ

    Majlis Kunjung Hormat MPSM Johor bersama En. Mohd Nor bin A Ghani, Pengarah Pelajaran Johor dan En. Md Hasidin bin Haji Zaini, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor telah diadakan pada 11 MEI 2011 jam 8.30 malam di Dewan Permata 3, Hotel Puteri Pan Pacific Johor Bahru. Majlis ini diadakan bertujuan untuk meraikan pelantikan PPJ dan TTPJ yang baru.

    Tuan Haji Ayob Jantan, Yang Dipertua MPSM Johor dalam ucapannya menzahirkan ucapan tahniah seluruh warga MPSM Cawangan Johor atas pelantikan En. Mohd Nor dan En. Md Hasidin dan mengharapkan gandingan mereka berdua akan dapat terus memacu pendidikan negeri Johor dalam landasan yang betul untuk memastikan matlamat strategik JPNJ dan pendidikan di negeri Johor ini dapat direalisasikan.

    " MPSMJ akan tetap seiring bersama kepimpinan yang baru ini dalam membantu menggerakkan kecemerlangan berdasarkan kapasiti sebagai badan yang menyatukan pengetua selaku pemimpin operasional di sekolah-sekolah menengah negeri Johor," ujarnya lagi.

    En. Mohd Nor A Ghani pula dalam ucapannya mengharapkan MPSMJ dapat menjalankan fungsi-fungsinya dalam membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan di negeri Johor khususnya dalam membangunkan kapasiti sekolah sebagai pemangkin pendidikan negara kerana kecemerlangan pendidikan di negeri ini adalah bermula di sekolah.

    "Kita perlu melihat semula kepada kerja utama kita, back to basic dengan memberi fokus terhadap elemen-elemen yang menjadi faktor kecemerlangan sekolah iaitu pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, kepatuhan kepada prosedur dan peraturan, menjalankan fungsi masing-masing tanpa pertindihan, mengutamakan perkhidmatan kepada murid-murid dan amalan-amalan kepimpinan terbaik pengetua termasuk mengaplikasi ciri-ciri kepimpinan instruksional, kepimpinan teragih dan kepimpinan transformasional," katanya lagi.

    "Saya dan pasukan saya juga akan sentiasa berusaha membantu pengetua-pengetua di negeri Johor dan meletakkan haluan pendidikan di negeri ini dalam landasan yang betul supaya visi dan misi yang telah kita bangunkan ini dapat dijadikan realiti," ujarnya.

    Majlis yang dihadiri oleh semua ahli jawatankuasa MPSM Cawangan Johor dan kepimpinan MPSM daerah-daerah turut dihadiri oleh kepimpinan Majlis Guru Besar (MGB) dan Persatuan Pengelola Negeri Johor.

















    Sunday, May 1, 2011

    Taklimat Penambahbaikan Pentaksiran Kebangsaan





    Semua pengetua negeri Johor telah menghadiri  Taklimat Penambahbaikan Sistem Pentaksiran kebangsaan bagi PMR mulai Tahun 2012 di Dewan Seminar Jabatan Pelajaran Johor pada 27 April 2011 yang disampaikan oleh Tuan Haji Sufa'at bin Tumin, Pengarah Peperiksaaan, Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia.

    Bahan taklimat berkenaan boleh dimuaturun seperti di bawah :

    TAHNIAH TIMB. PENGARAH PELAJARAN JOHOR YANG BARU

    MPSMJ mengucapkan tahniah kepada Penasihat MPSMJ, En. Md Hasidin bin Haji Zaini yang telah dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pelajaran Johor yang baru. Mudah-mudahan dengan pelantikan ini, pendidikan Johor akan lebih gemilang dalam semua aspek.
    TAHNIAH tuan.

    Friday, April 22, 2011

    TAHNIAH PENGARAH PELAJARAN JOHOR YANG BARU

    MPSM Johor mengucapkan tahniah kepada En. Md Nor bin A Ghani, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor yang telah dilantik sebagai Pengarah Pelajaran Johor yang baru menggantikan Tuan Haji Markom bin Giran yang telah bersara wajib mulai 20 APRIL 2011 yang lalu.

    Semoga negeri Johor akan terus cemerlang di bawah teraju tuan. MPSM Johor akan sentiasa memberikan sokongan padu kepada agenda Pengarah Pelajaran Johor untuk terus memastikan pendidikan Johor cemerlang.

    Selamat Bersara Tuan Haji Markom bin Giran

    MPSM mengucapkan selamat bersara kepada pemimpin yang kita sayangi, Tuan Haji Markom bin Giran, Pengarah Pelajaran Johor yang telah menamatkan perkhidmatan wajibnya mulanya 20 APRIL 2011. Sepanjang menerajui JPNJ beliau telah banyak memberikan sumbangan dalam menambahbaik pencapaian pendidikan negeri Johor secara keseluruhannya. Beliau juga sentiasa memberikan panduan dan bimbingan kepada MPSMJ dalam menjalankan fungsi-fungsinya dalam membantu Jabatan Pelajaran Negeri Johor.

    Beliau telah diraikan dalam satu majlis penuh meriah oleh warga pendidikan Johor pada 19 APRIL yang lalu bertempat di Hotel Paragon, Johor Bahru. 

    Dalam ucapannya beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada seluruh warga pendidikan Johor yang telah memberikan sokongan padu menjayakan prorgram dan agenda pendidikan di negeri Johor sepanjang beliau menjadi Pengarah Pelajaran Johor. Beliau mengharapkan sokongan ini terus diberikan kepada pengganti beliau demi kemajuan dan kecemerlangan pendidikan negeri Johor.

    Turut hadir dalam majlis ini ialah En. Md Hasidin Haji Zaini, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, ketua-ketua sektor, pegawai-pegawai dari Jabatan Pelajaran Johor, Pejabat Pelajaran Daerah, pengetua dan guru besar negeri Johor. MPSM diwakili oleh Tuan haji Ayob bin Jantan selaku Yang Dipertua dan 50 ahli MPSM dari seluruh daerah negeri Johor.

    SELAMAT BERSARA TUAN HAJI MARKOM BIN GIRAN.









     










    Tuesday, April 19, 2011

    PENULISAN ARTIKEL JURNAL PENDIDIKAN DAN KAJIAN TINDAKAN EDISI 2011


    SUMBANGAN ARTIKEL JURNAL PENDIDIKAN MPSM JOHOR EDISI 2011
    DAN JURNAL KAJIAN TINDAKAN EDISI 2011


    Perkara di atas adalah dirujuk.

    2. Adalah dengan hormatnya dimaklumkan bahawa Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Cawangan Johor akan menerbitkan 2 jurnal seperti disebut di atas sempena Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Negeri Johor Kali Ke-50 pada tahun ini.

    2. Sehubungan itu MPSM Cawangan Johor mempelawa semua ahli MPSM Johor untuk menyumbangkan artikel untuk dimuatkan dalam jurnal berkenaan. Semua Yang Dipertua MPSM daerah dipohon untuk memanjangkan maklumat ini kepada semua ahli di daerah masing-masing dan tarikh tutup penghantaran artikel sebelum atau pada 25 MEI 2011.

    3. Bersama-sama ini disertakan lampiran berkaitan maklumat artikel jurnal berkenaan untuk perhatian dan tindakan pihak tuan, terima kasih.

                                   MAKLUMAT UNTUK PENYUMBANG-PENYUMBANG
                                ARTIKEL JURNAL PENDIDIKAN MPSM JOHOR EDISI 2011


    1. Sumbangan
    Tiap-tiap sumbangan boleh diberikan dalam mana-mana bentuk berikut :
    (a) Artikel/rencana
    (b) Laporan kajian/tinjauan
    Bahan-bahan tersebut mestilah yang belum pernah diterbitkan atau sedang dipertimbangkan untuk diterbitkan dalam mana-mana penerbitan. Sila hantar satu salinan bercetak (hardcopy) berserta dengan salinan dalam disket/CD (softcopy) kepada urus setia Jurnal.

    2. Manusksrip
    Setiap sumbangan hendaklah ditulis dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dan hendaklah tidak melebihi 4,000 patah perkataan. Manuskrip juga hendaklah ditaip dalam langkau 1 baris menggunakan bentuk huruf arial (10 point) dan ruangan tepi 1 ½ inci pada semua halaman kertas.

    3. Abstrak
    Setiap manuskrip hendaklah disertakan dengan satu abstrak yang panjangnya tidak melebihi 100 patah perkataan dan hendaklah ditaip dalam halaman yang berasingan.

    4. Penilaian dan Pemilihan Sumbangan
    Dalam pemilihan sumbangan, keutamaan akan diberikan kepada penulisan yang berkaitan pengurusan dan kepimpinan pendidikan dan mengandungi ciri-ciri yang boleh diperkayakan, membantu serta memperkukuhkan lagi profesionalisme para pentadbir pendidikan dan guru-guru.

    5. Pengenalan Penulis
    Sumbangan penulisan hanya dibuka kepada Pengetua sekolah menengah negeri Johor sahaja. Sila sertakan pengenalan penulis atau biodata penulis berserta sekeping gambar berukuran passport bagi setiap sumbangan anda. Sila gunakan halaman berasingan.

    6. Petikan-Petikan
    Rujukan yang dipetik dari sebarang karya hendaklah merangkumi nama akhir penulis, tahun cetak serta muka surat. Contohnya, (Richards, 1999:219)

    7. Rujukan
    Bibliografi yang lengkap mestilah ditaip di bawah tajuk “Rujukan” dan disusun mengikut urutan huruf nama penulis.

    8. Polisi Editorial
    Pihak editorial berhak untuk meringkaskan atau mengedit manuskrip yang diterima untuk kesesuaian penjelasan dan gaya. Pihak pengarang juga berhak menolak mana-mana manuskrip yang difikirkan tidak sesuai. Manuskrip yang dihantar kepada pengarang tidak akan dikembalikan.


    9. Tema Jurnal dan Tarikh Tutup
    (a) Tema jurnal edisi 2011 ialah “Pengetua Berkualiti Penjana Transformasi
    Pendidikan Negara”
    (b) Tarikh tutup penerimaan pada : 25 MEI 2011

    10. Sila alamatkan sumbangan artikel anda iaitu
    (a) Sesalinan artikel bercetak
    (b) Soft copy yang mengandungi artikel dan biodata penulis beserta gambar
    ukuran passport kepada :
    Urus setia Jurnal PKPSM
    d/a SMK Bandar Putra
    Jalan Nuri 9, Bandar Putra, 81000 Kulaijaya
    Atau
    Email (b) kepada pkpsmjohor@gmail.com atau azifa2020@yahoo.com


    MAKLUMAT UNTUK PENYUMBANG-PENYUMBANG
    ARTIKEL JURNAL KAJIAN TINDAKAN MPSM JOHOR EDISI 2011



    1. Tiap-tiap sumbangan adalah dalam bentuk laporan kajian tindakan. Bahan-bahan tersebut mestilah yang belum pernah diterbitkan atau sedang dipertimbangkan untuk diterbitkan dalam mana-mana penerbitan. Sila hantar satu salinan bercetak (hardcopy) berserta dengan salinan dalam disket/CD (softcopy) kepada urus setia Jurnal. Artikel berkaitan hendaklah sekurang-kurang mengandungi maklumat di bawah :
    (a) Abstrak
    (b) Refleksi Situasi Lalu
    (c) Fokus Kajian
    (d) Objektif Kajian
    (e) Kumpulan Sasaran
    (f) Pelaksanaan Tindakan
    - Tinjauan Masalah
    - Analisis Tinjauan Masalah
    - Tindakan yang dijalankan
    - Pelaksanaan Tindakan dan Pemerhatian / Penilaian
    - Refleksi Kajian
    (g) Cadangan Kajian Seterusnya
    (h) Bibliografi

    2. Setiap sumbangan hendaklah ditulis dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dan ditaip dalam langkau 1 baris menggunakan bentuk huruf arial (10 point) dan ruangan tepi 1 ½ inci pada semua halaman kertas.

    3. Setiap manuskrip hendaklah disertakan dengan satu abstrak yang panjangnya tidak melebihi 100 patah perkataan dan hendaklah ditaip dalam halaman yang berasingan.

    4. Sumbangan penulisan hanya dibuka kepada Pengetua sekolah menengah negeri Johor sahaja. Sila sertakan pengenalan penulis atau biodata penulis berserta sekeping gambar berukuran passport bagi setiap sumbangan anda. Sila gunakan halaman berasingan.

    5. Bibliografi yang lengkap mestilah ditaip di bawah tajuk “Bibliografi” dan disusun mengikut urutan huruf nama penulis.

    6. Pihak editorial berhak untuk meringkaskan atau mengedit manuskrip yang diterima untuk kesesuaian penjelasan dan gaya. Pihak pengarang juga berhak menolak mana-mana manuskrip yang difikirkan tidak sesuai. Manuskrip yang dihantar kepada pengarang tidak akan dikembalikan.

    7. Tarikh tutup penerimaan pada : 25 MEI 2011

    8. Sila alamatkan sumbangan artikel anda iaitu
    (a) Sesalinan artikel bercetak
    (b) Soft copy yang mengandungi artikel dan biodata penulis beserta gambar ukuran passport kepada :

    Urus setia Jurnal Kajian Tindakan MPSM Johor
    d/a SMK Tanjung Datuk
    Pengerang, Johor

    Atau

    Email (b) kepada mohamadmahadi_08@yahoo.com sebelum atau pada 25 MEI 2011.