Wednesday, October 27, 2010

Mesyuarat Penyediaan Blueprint Pendidikan 2011-2020


11 orang pengetua negeri Johor telah terlibat dalam Jawatankuasa Penyediaan Blueprint Pendidikan Johor 2011-2020 yang bertanggungjawab menyediakan Blueprint berkenaan untuk tempoh 10 tahun. Mesyuarat pertama telah diadakan pada 26-28 Oktober 2010 di Kukup Golf Resort, Pontian.Tuan Haji Sufaat bin Tumin, Pengarah Pelajaran Johor turut hadir dalam mesyuarat berkenaan. Dalam ucapannya beliau menyatakan bahawa Perancangan Strategik jabatan pelajaran Johor semasa akan berakhir pada tahun 2011. Sehubungan itu adalah menjadi satu keperluan kepada Jabatan Pelajaran Johor untuk memikirkan perancangan jangka panjang berkaitan pembangunan pendidikan negeri ini untuk tempoh 10 tahun akan datang dengan mengambilkira cabaran-cabaran dalam abad ke-21. Melalui perancangan jangka panjang ini diharapkan pendidikan negeri Johor dapat dipacu mengikut landasan yang betul oleh pemimpin pendidikan kini dan akan datang. Rujuk Ucapan Pengarah Pelajaran Johor.

Pengetua daripada MPSM Johor yang terlibat ialah Tuan Haji Ayob bin Jantan, En. Azman bin Adnan, En. Shamsudin bin Haron, Haji Abd Rahman bin Md Noor, Haji Mohamad bin Mahadi, En Yeoh Kok Leh, En. Choa Song Choy, Pn. Sallina Hussain haji Kassim bin Mahadi, Hjh Saliha bt Kahar dan En. Abdullah bin Abd Hamid.

Friday, October 22, 2010

Selamat Bersara KPPM


MPSM Cawangan Johor mengucapkan selamat bersara kepada Yang Berbahagia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia yang akan bersara pada 4 November akan datang. Seluruh ahli MPSMJ merakamkan ucapan terima kasih yang Tan Sri atas khidmat bakti yang telah dicurahkan untuk membangunkan pendidikan di negara ini.

Daripada Yang Dipertua, ahli jawatankuasa dan ahli-ahli MPPSMJ

Petikan akhbar Utusan Malaysia : 21 Oktober 2010

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang akan bersara bulan depan berkata beliau bersyukur dan bangga menjadi seorang pendidik selama 34 tahun.

“Saya tidak pernah bermimpi untuk menjadi Ketua Pengarah Pelajaran apabila menjadi guru mulai 1976 tetapi guru adalah kerjaya pilihan saya,” katanya ketika berucap pada majlis anugerah perkhidmatan cemerlang Jabatan Pendidikan Perlis di sini hari ini,

Alimuddin, yang menjadi Ketua Pengarah Pelajaran sejak Ogos 2007 berkata, apa yang penting bagi setiap guru ialah melaksanakan tugas yang diamanahkan dan tidak merungut dengan beban tugas yang menjadi sebahagian daripada tanggugnjawab mereka.

Katanya, terdapat guru yang mengadu kepada akhbar bahawa mereka telah dibebani dengan tugas dan beliau hairan kerana wujudnya sikap seperti itu.

Beliau berkata, sepatutnya mereka tidak merungut umpamanya dalam hal-hal berkaitan dengan pertukaran.

"Saya dan 15 kali bertukar sekolah dan lima kali bertukar tempat bertugas semasa berada di jabatan dan kementerian,” Alimuddin yang berasal dari Ayer Tawar, Perak. – Bernama

Wednesday, October 20, 2010

Jurnal dan BuletinTerbitan MPSMJ



Untuk makluman semua ahli, MPSMJ telah menerbitkan Jurnal Pendidikan Edisi 2010, Jurnal Kajian Tindakan Edisi 2010 dan Buletin MPSM Tahun 2010. Setiap sekolah telah dibekalkan dengan 5 naskah Jurnal Pendidikan, 5 naskah Jurnal Kajian Tindakan dan 5 naskah Buletin MPSM Johor yang telah diedarkan kepada semua pengetua/wakil melalui MPSM daerah masing-masing semasa Persidangan Pengurusan Pendidikan Kali Ke-49 di Hotel Selesa Johor Bahru beserta inbois bayaran. Bayaran bagi kedua-dua jurnal dan buletin berkenaan hendaklah dijelaskan kepada syarikat pencetak iaitu Bintang Printing Sdn Bhd mengikut jumlah yang telah ditetapkan. Harap maklum.

Monday, October 18, 2010

Terima Kasih


MPSMJ mengucapkan terima kasih kepada semua ahli yang telah memberikan kerjasama yang amat baik dalam menjayakan Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Negeri Johor Kali Ke-40 pada 13-14 Oktober 2010 yang lalu di Hotel Selesa Johor Bahru.

Terima kasih juga kepada Pengarah Pelajaran Johor yang sudi memberikan ucapan dan seterusnya menyempurnakan perasmian penutup persidangan ini pada hari kedua persidangan di samping penghargaan kepada semua pembentang kertas kerja serta jawatankuasa pengelola yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam menjayakan persidangan ini.

HAJI AYOB BIN JANTAN
Yang Dipertua
MPSM Cawangan Johor

Pengetua Bersara 2010


MPSMJ mengucapkan selamat bersara kepada 29 orang pengetua negeri Johor yang telah dan akan bersara sepanjang tahun 2010. MPSM juga mengucapkan penghargaan terima kasih dan tahniah atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada pembangunan pendidikan di negeri Johor dan komitmen yang tinggi dalam program-program yang dianjurkan oleh MPSM negeri dan daerah.

Sebagai tanda penghargaan MPSMJ telah mengadakan majlis makan malam meraikan semua pesara dan bakal pesara pada 13 Oktober 2010 lalu di Hotel Selesa sempena Persidangan Pengurusan Pendidikan Kali Ke-49. Pengarah Pelajaran Johor, Tuan Haji Sufaat bin Tumin hadir sebagai tetamu kehormat. Turut hadir Dato' Azam Md Atan , YDP MPSM Kebangsaan, En. Md Hasidin Hj Zaini, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, En. Md Nor bin Ghani, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Akademik dan Tuan Haji Ayob bin Jantan YDP MPSM Johor.

SELAMAT BERSARA.

Kunjungan MPSMJ



MPSMJ yang diketuai oleh Haji Ayob bin Jantan telah mengunjungi Puan Hjh Inshah bin Mansor, Pengetua SMK Tuanku Abdul Rahman Putra di Jabatan Pelajaran Negeri Johor pada 11 Oktober 2010 yang lalu sebagai sokongan MPSMJ terhadap ahlinya. Semoga kunjungan ini akan memberikan sokongan moral kepada Pn Hjh Inshah untuk terus memberi sumbangan bakti kepada pembangunan pendidikan di sekolah yang dipimpinnya.

Perhimpunan Guru 1 Malaysia Bersama PM



Pada 16 Okt 2010 (Sabtu) 3 orang wakil MPSMJ - En. Azman bin Adnan (Pengetua SMK Bandar Putra, Haji Abdul Rahman Mohd Nor (Pengetua SMK Bandar T6) dan En. Mastura Aladin bin Masro (Pengetua SMK Air Baloi) berpeluang menghadiri Perhimpunan Guru 1 Malaysia bersama YAB Perdana Menteri yang diadakan di Stadium Bukit Jalil. Seramai 14,000 orang guru dari seluruh negara telah menghadiri perhimpunan ini. Berikut intipati ucapan oleh YAB PM dan YAM TPM @ Menteri Pelajaran. Terima kasih atas keprihatinan kerajaan kepada golongan pendidik. Walaupun tidak dapat apa yang dihasratkan, keupayaan kerajaan memberi kemudahan yang diumumkan paling tidak menyuntik semangat guru untuk terus memainkan peranannya menjana modal insan negara ini.

UCAPAN YAB PERDANA MENTERI

"Jika ikutkan hati, memang saya mahu berikan bonus sebulan gaji kepada 1.2 juta penjawat awam pada pembentangan Bajet 2011 tetapi sebagai Menteri Kewangan bertanggungjawab, saya tak boleh berbelanja lebih daripada pendapatan, Sebab itu, sehabis-habis baik ialah dapat memberi Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada kakitangan awam Gred 54 ke bawah".

kerajaan memberikan ganjaran lain yang memberi faedah kepada penjawat awam seperti cuti bersalin tidak melebihi 90 hari.

PM mahu empat perkara diberi perhatian dalam pelaksanaan sistem pendidikan negara, termasuk melahirkan masyarakat yang fasih dan mahir dalam dwibahasa, kerana setiap rakyat wajib dapat bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik dan juga perlu fasih dan mahir dalam bahasa Inggeris.

Sistem pendidikan juga perlu mampu membangunkan keintelektualan generasi muda, iaitu tahu berfikir secara kreatif serta inovatif dan bukan menghafal serta memberi jawapan dalam peperiksaan.


UCAPAN YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI @ MENTERI PELAJARAN

Matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 amat bergantung kepada keupayaan warga pendidik menyedia dan menyampaikan pendidikan berkualiti.

Pembentukan insan secara holistik hanya dapat dicapai melalui pembangunan daya inovasi dan kreativiti pelajar semasa proses pembelajaran dan pengajaran yang akan menghasilkan modal insan berilmu, kreatif, inovatif, berketrampilan serta berupaya memacu ekonomi berteraskan pengetahuan dan mencipta kekayaan baru bagi negara.

Guru perlu melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh, jujur dan ikhlas dalam mendidik anak bangsa supaya menjadi insan sempurna peribadi.

Guru sebagai ejen pelaksana dan ejen perubahan perlu memainkan peranan pada semua peringkat demi mencapai dan merealisasikan hasrat kerajaan untuk membina negara bangsa sesuai dengan semangat 1Malaysia.

Guru perlu mempunyai nilai kepemimpinan yang tinggi, kekuatan minda yang profesional, ketangkasan daya fikir dan daya cipta serta kemantapan idealisme yang harus dibangunkan untuk melahirkan persekitaran pendidikan yang cemerlang berlandaskan kepada nilai dan etos ‘learning society’.

Thursday, September 30, 2010

Persidangan Pengurusan Pendidikan MPSMJ Ke-49




JADUAL PERSIDANGAN
PENGURUSAN PENDIDIKAN PENGETUA NEGERI JOHOR KALI KE-49



13/10/2010 (Rabu)

8.30 pagi
Ketibaan peserta dan pendaftaran

9.30 pagi
Taklimat Pengurusan Persidangan MPSM

10.00 pagi
Pembentangan Kertas Kerja 1 :
Perkongsian Program JSLC
Pn Sallina Hussain
Pengetua SMK Dato’ Abdul Rahman Yassin, Johor Bahru

10.30 pagi
Pembentangan Kertas Kerja 2 :
“Laluan Kerjaya Pengetua dan Prospek Masa Depan”
oleh Puan Khadijah bt Kassim,
Timbalan Setiausaha Bahagian
Cawangan Naik Pangkat
Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPM

12.00 t/hari
Pendaftaran masuk hotel dan makan tengahari

2.30 petang
Pembentangan Kertas Kerja 3 :
“Kepimpinan Pengetua : Satu Refleksi"
Encik Md Hasidin bin Haji Zaini
Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah
Jabatan Pelajaran Negeri Johor

4.00 petang
Mesyuarat Agung MPSM kali ke-49 tahun 2010

8.00 malam
Majlis “Malam Anyaman Budi Sulaman Kasih”


14/10/2010 (Khamis)

8.00 pagi
Pembentangan Kertas Kerja 4 :
“Membangun Kompetensi Pemimpin Di Sekolah”
Dr. Mohd Anuar bin Abdul Rahman
Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan UTM

10.00 pagi
Kudapan

10.30 pagi
Pembentangan Kertas Kerja 5
“MPSM : Peranan dan Isu-Isu Semasa Kepengetuaan”
Dato' Haji Azam bin Haji Md Atan
Yang Dipertua MPSM Kebangsaan

12.00 t/hari

Majlis Perasmian Penutup:

- Doa
- Ucapan Alu-Aluan YDP MPSM Johor
- Ucapan Perasmian Penutup Oleh :
Tuan Hj. Sufaat bin Tumin
Pengarah Pelajaran Johor
- Membaca Resolusi
- Penyerahan Resolusi
- Penyampaian Cenderamata

01.30 petang

Makan tengahari dan bersurai


** Tertakluk kepada pindaan.



ATUR CARA MAJLIS “MALAM ANYAMAN BUDI SULAMAN KASIH”



7.45 malam : Peserta persidangan mengambil tempat

8.00 malam : Ketibaan tetamu jemputan

8.10 malam : Ketibaan Pengarah Pelajaran Johor

: Doa

: Jamuan dan Persembahan Iringan

: Ucapan Alu-Aluan Yang Dipertua MPSM Johor

: Ucapan Wakil Pengetua Bersara

: Penyampaian Sijil

: Penyampaian Cenderamata

: Bersurai

Saturday, August 14, 2010

Selamat Menyambut Ramadan

PKPSM Johor mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh ahli PKPSM Johor yang beragama Islam. Mudah-mudahan kehadiran Ramadan pada tahun ini memberikan seribu kerahmatan kita semua, Insyallah.

Pindaan Tarikh Peperiksaan Percubaan SPM Setara Negeri Johor 2010

Pengetua
Sekolah-Sekolah Menengah
Negeri Johor

Tuan,

PINDAAN TARIKH PEPERIKSAAN PERCUBAAN PERDAGANGAN SPM SETARA NEGERI JOHOR 2010.

Dengan hormatnya perkara di atas dirujuk.

2. Untuk makluman tuan, tarikh Jadual Waktu Peperiksaan Percubaan Perdagangan SPM setara terpaksa dipinda dari 25 Ogos, 2010 (kertas 1 - 08.00 hingga 09.15 pagi dan kertas 2 - 10.30 pagi hingga 12.30 ptg.) kepada 12 Ogos, 2010 (kertas 1-08.00 hingga 09.15 pagi dan kertas 2- 10.30 pagi hingga 12.30 ptg.) kerana berlakunya pertembungan jadual waktu (Matematik Tambahan dan Perdagangangan) di beberapa buah sekolah menengah di negeri Johor. Bersama ini di sertakan Jadual Waktu Peperiksaan Percubaan SPM setara terkini berkuatkuasa 29 Julai, 2010.

3. Sehubungan itu, kerjasama tuan dipohon untuk mematuhi pindaan tarikh jadual waktu berkenaan. Jika terdapat sebarang pertanyaan sila hubungi Haji Aminuddin bin Mohd Sani, Wakil PKPSM di talian 019-7551426. Sila Klik di sini untuk Muat Turun jadual terbaru.

Sekian, terima kasih.


“ BERKHIDMAT UNTUK NEGARA ”


Saya yang menurut perintah,

(HAJI MARKOM BIN GIRAN)
Timbalan Pengarah Pelajaran Johor.


s.k. Pengarah Pelajaran Johor

tandatangan tidak diperlukan kerana cetakan komputer)

PRINSIP PENGISIAN JAWATAN PENGETUA

Terdapat 2 siaran daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berkaitan prinsip-prinsip dalam pengisian jawatan Pengetua di sekolah menengah. Untuk membacanya sila download :

1. Prinsip-Prinsip Baru Pengisian Jawatan Pengetua
di Sekolah Menengah Malaysia
- Surat Siaran KPM 2009
2. Pindaan Prinsip-Prinsip Baru Pengisian Jawatan Pengetua
di Sekolah Menengah Malaysia
- Surat Siaran KPM 2010

Thursday, May 6, 2010

Perutusan Hari Guru 2010 - KPPM

Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd. Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatu, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan pelajar yang dikasihi sekelian.

1. Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, sekali lagi pada tarikh ini, 16 Mei 2010, kita dapat menyambut hari paling istimewa bagi para pendidik iaitu Hari Guru. Tanggal 16 Mei setiap tahun sejak 1972 disambut untuk kita semua memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion keguruan selain mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara.

2. Tahun ini, sekali lagi tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ dipilih kerana ia menepati aspirasi kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang baik dan berkesan. Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik agar setiap kita dapat mengembangkan potensi dan bakat secara optimum. Sekolah perlu menjadi acuan dan landasan yang mampu melahirkan golongan pelapis generasi muda yang bergerak seiring aspirasi negara dengan mengetepikan perbezaan yang berdasarkan kepada bangsa dan agama. Oleh itu, semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbir profesional kelas pertama.

3. Standard Guru Malaysia menetapkan tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan datang. Para guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan. Guru harus bijak membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard serta mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri dalam usaha mencapai kecemerlangan tugas sebagai pendidik dan pembina negara bangsa.

4. Falsafah Pendidikan Guru menekankan kriteria seorang guru haruslah berperkerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Setiap guru juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka supaya generasi pelapis akan mampu mengorak langkah kearah kecemerlangan diri, bangsa dan negara.

5. Warga pendidik harus menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan menbentuk akhlak serta jati diri anak didik. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak dan kepakaran pedagogi. Guru harus dan mesti boleh mengimplementasikan kaedah pendidikan yang tepat di mana strategi pengajaran dan pembelajaran yang beliau lakukan memperhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang, sehingga nilai-nilai murni dapat di tanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik. Saya penuh yakin dengan kewibawaan para guru di Malaysia dalam mempersiapkan diri anak didik agar menjadi insan yang cekal dan berupaya mengharungi tuntutan dan perubahan arus globalisasi.

Warga pendidik dan pelajar sekelian,

6. Matlamat dan dasar yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membina Negara Bangsa adalah untuk memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu. Kementerian Pelajaran menyediakan pendidikan yang dapat menyemai nilai-nilai ini bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi.

7. Bagi merealisasikan hasrat ini agen perubahan yang utama adalah guru dan institusi pendidikan.Guru harus memainkan peranan untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan. Peranan guru adalah memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Aspirasi negara terhadap guru sebagai pembina negara bangsa menuntut komitmen yang tinggi daripada semua warga pendidik. Guru harus menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT, berkemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan negara.

8. Konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri menekankan kesejahteraan rakyat dan keberhasilan yang dapat dinikmati seperti yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia “Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Bagi mencapai kesejahteraan, warga pendidik harus menghayati dan berkongsi bersama falsafah dan objektif ‘collegiality’ yang membawa maksud “the cooperative relationship with colleagues” (keserakanan). Kita harus faham bahawa prinsip keserakanan yang positif boleh mempercepatkan proses pencapaian kecemerlangan secara bersama. Prinsip keserakanan harus wujud dalam diri setiap pendidik supaya aspirasi negara dapat diterjemahkan dalam satu kefahaman bersama.

9. Saya dengan ini menyeru kepada semua warga pendidik supaya membulatkan tekad dan menguatkan azam untuk sama-sama bekerja bagi memartabatkan organisasi pendidikan kita. Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah dengan semangat keserakanan bagi memartabatkan profesion keguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia yang menekankan ideologi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Penerapan konsep 1Malaysia harus dipupuk di peringkat sekolah kerana pembentukan sahsiah dan karakter remaja adalah ketika di alam persekolahan. Sama-samalah kita berdoa agar apa yang direncana akan terlaksana mengikut rangka kerja dan perancangan.
10. Penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah mula dilaksanakan pada tahun 2010 meliputi semua agensi kerajaan. Sistem pengukuran prestasi menggunakan KPI di sekolah adalah penting dan perlu dilaksanakan. Tuntutan terhadap sekolah dalam kecemerlangan akademik, kokurikulum, disiplin yang baik, amalan-amalan pengurusan, kepimpinan, kompetensi guru yang tinggi dan lain-lain memerlukan sekolah menggunakan strategi serta amalan yang berasaskan prestasi. Penggunaan KPI dan sasaran prestasi boleh digunakan dalam setiap aspek pengurusan sekolah di mana prestasi boleh diukur dari segi proses yang disampaikan dan output yang dihasilkan di sekolah. Sasaran prestasi perlu mengambil kira perkara-perkara seperti keupayaan proses yang meliputi aliran kerja, keperluan sumber manusia, kewangan, peralatan, infrastruktur yang sesuai serta kepuasan dan kehendak pelanggan.

11. Saya yakin sistem pengukuran KPI sebagai kayu pengukur kepada kecemerlangan perkhidmatan pendidikan akan dapat meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan untuk rakyat Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan kualiti sistem pendidikan negara kekal dan bertaraf dunia.

12. Akhir kata, sempena dengan sambutan Hari Guru tahun ini, saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di Malaysia dan berharap tahun 2010 ini akan membawa kecemerlangan kepada institusi pendidikan negara dengan melahirkan modal insan yang harmonis dan seimbang yang akan menjadi tonggak kekuatan negara bangsa.

TERIMA KASIH CIKGU! …“SELAMAT HARI GURU”.

Tuesday, May 4, 2010

Semakan Tawaran Kemasukan Ke Tingkatan 6 2010

Sukacita dimaklumkan Semakan Tawaran Kemasukan ke Tingkatan Enam Bawah Sesi 2010 boleh disemak melalui laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia mulai 3 Mei 2010 hingga 1 Jun 2010.

Sumber : Portal KPM

Friday, April 23, 2010

Respon Cadangan Pendidikan Kesihatan Reproduktif Sebagai Satu Subjek Di Sekolah

Petikan daripada Portal Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan isu pendidikan seks perlu diajar di sekolah-sekolah.

Untuk membaca lebih lanjut klik laman berikut http://www.moe.gov.my/?id=168&aid=880