Monday, October 18, 2010

Perhimpunan Guru 1 Malaysia Bersama PM



Pada 16 Okt 2010 (Sabtu) 3 orang wakil MPSMJ - En. Azman bin Adnan (Pengetua SMK Bandar Putra, Haji Abdul Rahman Mohd Nor (Pengetua SMK Bandar T6) dan En. Mastura Aladin bin Masro (Pengetua SMK Air Baloi) berpeluang menghadiri Perhimpunan Guru 1 Malaysia bersama YAB Perdana Menteri yang diadakan di Stadium Bukit Jalil. Seramai 14,000 orang guru dari seluruh negara telah menghadiri perhimpunan ini. Berikut intipati ucapan oleh YAB PM dan YAM TPM @ Menteri Pelajaran. Terima kasih atas keprihatinan kerajaan kepada golongan pendidik. Walaupun tidak dapat apa yang dihasratkan, keupayaan kerajaan memberi kemudahan yang diumumkan paling tidak menyuntik semangat guru untuk terus memainkan peranannya menjana modal insan negara ini.

UCAPAN YAB PERDANA MENTERI

"Jika ikutkan hati, memang saya mahu berikan bonus sebulan gaji kepada 1.2 juta penjawat awam pada pembentangan Bajet 2011 tetapi sebagai Menteri Kewangan bertanggungjawab, saya tak boleh berbelanja lebih daripada pendapatan, Sebab itu, sehabis-habis baik ialah dapat memberi Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada kakitangan awam Gred 54 ke bawah".

kerajaan memberikan ganjaran lain yang memberi faedah kepada penjawat awam seperti cuti bersalin tidak melebihi 90 hari.

PM mahu empat perkara diberi perhatian dalam pelaksanaan sistem pendidikan negara, termasuk melahirkan masyarakat yang fasih dan mahir dalam dwibahasa, kerana setiap rakyat wajib dapat bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik dan juga perlu fasih dan mahir dalam bahasa Inggeris.

Sistem pendidikan juga perlu mampu membangunkan keintelektualan generasi muda, iaitu tahu berfikir secara kreatif serta inovatif dan bukan menghafal serta memberi jawapan dalam peperiksaan.


UCAPAN YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI @ MENTERI PELAJARAN

Matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 amat bergantung kepada keupayaan warga pendidik menyedia dan menyampaikan pendidikan berkualiti.

Pembentukan insan secara holistik hanya dapat dicapai melalui pembangunan daya inovasi dan kreativiti pelajar semasa proses pembelajaran dan pengajaran yang akan menghasilkan modal insan berilmu, kreatif, inovatif, berketrampilan serta berupaya memacu ekonomi berteraskan pengetahuan dan mencipta kekayaan baru bagi negara.

Guru perlu melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh, jujur dan ikhlas dalam mendidik anak bangsa supaya menjadi insan sempurna peribadi.

Guru sebagai ejen pelaksana dan ejen perubahan perlu memainkan peranan pada semua peringkat demi mencapai dan merealisasikan hasrat kerajaan untuk membina negara bangsa sesuai dengan semangat 1Malaysia.

Guru perlu mempunyai nilai kepemimpinan yang tinggi, kekuatan minda yang profesional, ketangkasan daya fikir dan daya cipta serta kemantapan idealisme yang harus dibangunkan untuk melahirkan persekitaran pendidikan yang cemerlang berlandaskan kepada nilai dan etos ‘learning society’.