Thursday, May 6, 2010

Perutusan Hari Guru 2010 - KPPM

Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd. Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatu, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan pelajar yang dikasihi sekelian.

1. Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, sekali lagi pada tarikh ini, 16 Mei 2010, kita dapat menyambut hari paling istimewa bagi para pendidik iaitu Hari Guru. Tanggal 16 Mei setiap tahun sejak 1972 disambut untuk kita semua memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion keguruan selain mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara.

2. Tahun ini, sekali lagi tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ dipilih kerana ia menepati aspirasi kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang baik dan berkesan. Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik agar setiap kita dapat mengembangkan potensi dan bakat secara optimum. Sekolah perlu menjadi acuan dan landasan yang mampu melahirkan golongan pelapis generasi muda yang bergerak seiring aspirasi negara dengan mengetepikan perbezaan yang berdasarkan kepada bangsa dan agama. Oleh itu, semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbir profesional kelas pertama.

3. Standard Guru Malaysia menetapkan tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan datang. Para guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan. Guru harus bijak membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard serta mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri dalam usaha mencapai kecemerlangan tugas sebagai pendidik dan pembina negara bangsa.

4. Falsafah Pendidikan Guru menekankan kriteria seorang guru haruslah berperkerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Setiap guru juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka supaya generasi pelapis akan mampu mengorak langkah kearah kecemerlangan diri, bangsa dan negara.

5. Warga pendidik harus menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan menbentuk akhlak serta jati diri anak didik. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak dan kepakaran pedagogi. Guru harus dan mesti boleh mengimplementasikan kaedah pendidikan yang tepat di mana strategi pengajaran dan pembelajaran yang beliau lakukan memperhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang, sehingga nilai-nilai murni dapat di tanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik. Saya penuh yakin dengan kewibawaan para guru di Malaysia dalam mempersiapkan diri anak didik agar menjadi insan yang cekal dan berupaya mengharungi tuntutan dan perubahan arus globalisasi.

Warga pendidik dan pelajar sekelian,

6. Matlamat dan dasar yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membina Negara Bangsa adalah untuk memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu. Kementerian Pelajaran menyediakan pendidikan yang dapat menyemai nilai-nilai ini bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi.

7. Bagi merealisasikan hasrat ini agen perubahan yang utama adalah guru dan institusi pendidikan.Guru harus memainkan peranan untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan. Peranan guru adalah memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Aspirasi negara terhadap guru sebagai pembina negara bangsa menuntut komitmen yang tinggi daripada semua warga pendidik. Guru harus menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT, berkemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan negara.

8. Konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri menekankan kesejahteraan rakyat dan keberhasilan yang dapat dinikmati seperti yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia “Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Bagi mencapai kesejahteraan, warga pendidik harus menghayati dan berkongsi bersama falsafah dan objektif ‘collegiality’ yang membawa maksud “the cooperative relationship with colleagues” (keserakanan). Kita harus faham bahawa prinsip keserakanan yang positif boleh mempercepatkan proses pencapaian kecemerlangan secara bersama. Prinsip keserakanan harus wujud dalam diri setiap pendidik supaya aspirasi negara dapat diterjemahkan dalam satu kefahaman bersama.

9. Saya dengan ini menyeru kepada semua warga pendidik supaya membulatkan tekad dan menguatkan azam untuk sama-sama bekerja bagi memartabatkan organisasi pendidikan kita. Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah dengan semangat keserakanan bagi memartabatkan profesion keguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia yang menekankan ideologi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Penerapan konsep 1Malaysia harus dipupuk di peringkat sekolah kerana pembentukan sahsiah dan karakter remaja adalah ketika di alam persekolahan. Sama-samalah kita berdoa agar apa yang direncana akan terlaksana mengikut rangka kerja dan perancangan.
10. Penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah mula dilaksanakan pada tahun 2010 meliputi semua agensi kerajaan. Sistem pengukuran prestasi menggunakan KPI di sekolah adalah penting dan perlu dilaksanakan. Tuntutan terhadap sekolah dalam kecemerlangan akademik, kokurikulum, disiplin yang baik, amalan-amalan pengurusan, kepimpinan, kompetensi guru yang tinggi dan lain-lain memerlukan sekolah menggunakan strategi serta amalan yang berasaskan prestasi. Penggunaan KPI dan sasaran prestasi boleh digunakan dalam setiap aspek pengurusan sekolah di mana prestasi boleh diukur dari segi proses yang disampaikan dan output yang dihasilkan di sekolah. Sasaran prestasi perlu mengambil kira perkara-perkara seperti keupayaan proses yang meliputi aliran kerja, keperluan sumber manusia, kewangan, peralatan, infrastruktur yang sesuai serta kepuasan dan kehendak pelanggan.

11. Saya yakin sistem pengukuran KPI sebagai kayu pengukur kepada kecemerlangan perkhidmatan pendidikan akan dapat meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan untuk rakyat Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan kualiti sistem pendidikan negara kekal dan bertaraf dunia.

12. Akhir kata, sempena dengan sambutan Hari Guru tahun ini, saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di Malaysia dan berharap tahun 2010 ini akan membawa kecemerlangan kepada institusi pendidikan negara dengan melahirkan modal insan yang harmonis dan seimbang yang akan menjadi tonggak kekuatan negara bangsa.

TERIMA KASIH CIKGU! …“SELAMAT HARI GURU”.

Tuesday, May 4, 2010

Semakan Tawaran Kemasukan Ke Tingkatan 6 2010

Sukacita dimaklumkan Semakan Tawaran Kemasukan ke Tingkatan Enam Bawah Sesi 2010 boleh disemak melalui laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia mulai 3 Mei 2010 hingga 1 Jun 2010.

Sumber : Portal KPM

Friday, April 23, 2010

Respon Cadangan Pendidikan Kesihatan Reproduktif Sebagai Satu Subjek Di Sekolah

Petikan daripada Portal Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan isu pendidikan seks perlu diajar di sekolah-sekolah.

Untuk membaca lebih lanjut klik laman berikut http://www.moe.gov.my/?id=168&aid=880

Sunday, April 18, 2010

Jurnal Pendidikan PKPSMJ 2010


Kepada Semua Pengerusi PKPSM daerah dan ahli PKPSM Johor,

PKPSM Johor akan menerbitkan Jurnal PKPSM Johor edisi 2010 sempena Persidangan PKPSM Johor tahun 2010. Sehubungan itu semua ahli dipelawa untuk menyumbang artikel untuk dimuatkan dalam jurnal berkenaan. Berikut disertakan maklumat dan syarat-syarat penulisan artikel jurnal berkenaan. Tarikh tutup penghantaran artikel ialah sebelum atau pada 25 MEI 2010. Terima kasih.

Urusetia Jurnal Pendidikan PKPSMJ.

--------------------------------------------------------

MAKLUMAT UNTUK PENYUMBANG-PENYUMBANG
ARTIKEL JURNAL PKPSM JOHOR EDISI 2010

1. Sumbangan

Tiap-tiap sumbangan boleh diberikan dalam mana-mana bentuk berikut :
(a) Artikel/rencana
(b) Laporan kajian/tinjauan
Bahan-bahan tersebut mestilah yang belum pernah diterbitkan atau sedang dipertimbangkan untuk diterbitkan dalam mana-mana penerbitan. Sila hantar satu salinan bercetak (hardcopy) berserta dengan salinan dalam disket/CD (softcopy) kepada urus setia Jurnal.


2. Manusksrip

Setiap sumbangan hendaklah ditulis dalam Bahasa Melayu dan hendaklah tidak melebihi 4,000 patah perkataan. Manuskrip juga hendaklah ditaip dalam langkau 1 baris menggunakan bentuk huruf arial (11 point) dan ruangan tepi 1 ½ inci pada semua halaman kertas.


3. Abstrak

Setiap manuskrip hendaklah disertakan dengan satu abstrak yang panjangnya tidak melebihi 100 patah perkataan dan hendaklah ditaip dalam halaman yang berasingan.


4. Penilaian dan Pemilihan Sumbangan

Dalam pemilihan sumbangan, keutamaan akan diberikan kepada penulisan yang berkaitan pengurusan dan kepimpinan pendidikan dan mengandungi ciri-ciri yang boleh diperkayakan, membantu serta memperkukuhkan lagi profesionalisme para pentadbir pendidikan dan guru-guru.


5. Pengenalan Penulis

Sumbangan penulisan hanya dibuka kepada Pengetua sekolah menengah negeri Johor sahaja. Sila sertakan pengenalan penulis atau biodata penulis berserta sekeping gambar berukuran passport bagi setiap sumbangan anda. Sila gunakan halaman berasingan.


6. Petikan-Petikan

Petikan-petikan dari sebarang karya perlu dibuat di dalam tanda petikan tunggal. Rujukan yang dipetik hendaklah merangkumi nama akhir penulis, tahun cetak serta muka surat. Contohnya, (Richards, 1999:219)


7. Rujukan

Bibliografi yang lengkap mestilah ditaip di bawah tajuk “Rujukan” dan disusun mengikut urutan huruf nama penulis.


8. Polisi Editorial

Pihak editorial berhak untuk meringkaskan atau mengedit manuskrip yang diterima untuk kesesuaian penjelasan dan gaya. Pihak pengarang juga berhak menolak mana-mana manuskrip yang difikirkan tidak sesuai. Manuskrip yang dihantar kepada pengarang tidak akan dikembalikan.


9. Tema Jurnal dan Tarikh Tutup
(a) Tema jurnal edisi 2010 ialah
Guru Pembina Negara Bangsa
(b) Tarikh tutup penerimaan pada : 25 MEI 2010


10. Sila alamatkan sumbangan artikel anda iaitu

(a) Sesalinan artikel bercetak

(b) Soft copy yang mengandungi artikel dan biodata penulis beserta gambar ukuran passport kepada :

Urus setia Jurnal PKPSM
d/a SMK Bandar Putra
Jalan Nuri 9, Bandar Putra
81000 Kulaijaya

Atau


Email (b) kepada pkpsmjohor@gmail.com sebelum atau pada 25 MEI 2010.

Hanya artikel yang bersesuaian dan lengkap sahaja akan dipertimbangkan untuk disiarkan oleh panel jurnal.

Friday, April 9, 2010

Program Pengantarabangsaan dan Misi Kemanusiaan JPNJ Ke Sumatera Barat

Seramai 20 orang pengetua sekolah menengah negeri Johor mewakili PKPSM turut serta dalam Program Pengantarabangsaan Sekolah dan Misi Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Johor ke Padang, Sumatera barat, Indonesia pada 3 hingga 6 April 2010.

Lawatan ini diketua oleh Tuan Haji Sufaat bin Tumin, Pengarah Pelajaran Johor dan disertai oleh 54 ahli rombongan termasuk Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Ketua Sektor, pegawai JPNJ, pegawai PPD negeri Johor, pengetua sekolah menengah dan guru besar sekolah kebangsaan.

Melalui program pengantarabangsaan 5 buah sekolah telah dirangkaikan dengan 5 buah sekolah di negeri Padang iaitu SM Sains Muar dengan SM Negeri 1 Padang Panjang, SMK Bandar Putra Kulaijaya dengan SM Negeri 1 Lubuk Alui, Padang Pariaman, SMK Dato Hj Haassan Yunus Rengam dengan SMP Batang Anai, SMK Mount Austin Johor Bahru dengan SMP 2X11 Enam Lingkung dan SK Ledang dengan TK-SD Limpato di daerah Padang Pariaman.

Semua pengetua dan Guru Besar terlibat turut menandatangani sijil persefahaman pengantarabangsaaan bersama Kepala Sekolah sekolah berkenaan dengan disaksikan oleh Pengarah Pelajaran Johor dan Kepala Dinas padang Panjang dan Kepala Dinas padang Pariaman.

Antara matlamat pengantarabangsaan ini adalah untuk memberi peluang kepada sekolah-sekolah berkenaan mewujudkan school linkages dengan sekolah di luar negara untuk memperoleh manfaat global di samping memanfaatkan apa juga kelebihan dan kekuatan pendidikan untuk dikongsi bersama.

Sepanjang tempoh lawatan ahli rombongan juga turut melaksanakan misi kemanusiaan iaitu memberikan sumbangan kepada pihak tertentu yang terlibat dengan gempa bumi padang pada bulan November 2009 yang lalu. Antara bantuan yang disampaikan melalui sumbangan warga pendidikan negeri Johor ialah mendirikan perpustakaan di sebuah pesantren moden, membina rumah guru di samping sumbangan kepada sekolah-sekolah rangkaian.


















Wednesday, March 31, 2010

Pertukaran Guru Antara Negeri, Dalam Negeri dan Dalam Daerah 2010

Petikan Portal Jabatan Pelajaran Johor

PERTUKARAN GURU ANTARA NEGERI, DALAM NEGERI
DAN ANTARA DAERAH 2010

Sukacita dimaklumkan bahawa Permohonan Pertukaran Guru Antara Negeri dan Dalam Negeri (Antara Daerah dan Dalam Daerah) akan menggunakan sepenuhnya sistem on-line e-G Tukar mulai Pertukaran Guru Jun 2010. [Sila rujuk Surat Siaran Permohonan Pertukaran Guru Terlatih Antara Negeri, Antara Daerah dan Dalam Daerah Secara Atas talian (e-GTukar) KP/KPPM/5(11)].

Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa Permohonan Pertukaran Guru Antara Negeri, Antara Daerah dan Dalam Daerah bagi Pertukaran Jun 2010 melalui Sistem e-GTukar akan dibuka mulai 1 hingga 25 April 2010. Pemohon boleh mengakses aplikasi e-GTukar ini melalui laman web KPM seperti berikut:

i. http://www.moe.gov.my/ atau
ii. http://apps.emoe.gov.my/epgo

Permohonan secara on-line ini dibuka kepada guru Gred DGA29, DG41, DGA32(KUP), dan DG44(KUP) sahaja serta mematuhi garis panduan pertukaran guru seperti yang dinyatakan dalam surat siaran.

Manakala guru Gred DGA32, DGA34, DG44 dan DG48 hakiki perlu memohon secara manual dengan menggunakan borang manual (berasaskan perisian excel) yang boleh diperoleh dari laman web e-GTukar dan dihantar melalui sekolah ke JPN untuk dihantar ke Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, KPM.

Permohonan pertukaran bagi Jun 2010 juga hanya dibuka untuk kes-kes Permohonan Pertukaran seperti berikut:

i. Mengikut suami / isteri yang telah berada di negeri yang dipohon
ii. Ancaman Keselamatan (disertakan laporan polis)
iii. Kes kesihatan kronik bagi pemohon (disertakan laporan kesihatan daripada doktor pakar kerajaan)

Kelulusan pertukaran adalah tertakluk kepada kekosongan jawatan dan opsyen di tempat yang dipohon.

Oleh sebab permohonan pertukaran guru antara negeri, antara daerah dan dalam daerah mulai Jun 2010 adalah sepenuhnya secara on-line, kerjasama Guru Maklumat / Data Sekolah dipohon untuk sentiasa mengemaskini maklumat guru, manakala kerjasama dan akuntabiliti Pengetua / Guru Besar / Pentadbir Sekolah sebagai pengesah sangat diharapkan bagi memastikan setiap maklumat yang diberikan oleh pemohon pada borang permohonan adalah betul dan tepat. Pengesah juga dipohon mengesahkan setiap permohonan pertukaran guru dengan kadar segera supaya tindakan seterusnya oleh penyemak di PPD/JPN/Bahagian dapat dilaksanakan.

Sekian, terima kasih.

Pindaan Cuti Umum Negeri Johor

Semua Pengetua
Sekolah-Sekolah Negeri Johor

Pindaan cuti umum negeri Johor adalah seperti berikut :

Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Johor dipinda dari 8 April kepada 22 November.

Hari Hol Almarhum di pinda dari 6 Rejab 1431 (19 Jun 2010) kepada 6 Safar 1432.

Sehubungan dengan itu tarikh 8 April 2010 dan 19 Jun 2010 bukan lagi Cuti Umum.

Sumber : Portal Rasmi Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim

Lampiran:
Surat Siaran dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor

Tuesday, March 30, 2010

Taklimat 1Malaysia


Semua pengetua sekolah menengah negeri Johor telah menghadiri Majlis Penjelasan 1Malaysia : Perspektif Perdana Menteri pada 30 Mac 2010 jam 2.00 - 6.00 petang bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

Majlis yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Johor dan Jabatan Penerangan Negeri Johor telah dirasmikan oleh YAB Dato' Haji Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor manakala penceramah utamanya ialah Y.Bhg. Dato' Shahlan Ismail, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri.

Menerusi majlis berkenaan para peserta telah didedahkan secara terperinci berkaitan konsep gagasan 1Malaysia, aspek-aspek utama, keperluan dan isu-isu berkaitan dengannya melalui ceramah dan sesi dialog.

Maklumat lanjut berkaitan 1Malaysia boleh klik laman berikut:

http://www.1malaysia.com.my


Ebook 1Malaysia


Klinik 1Malaysia
Amanah Saham 1Malaysia
Liberalisasi Sektor Perkhidmatan
Liberalisasi Sektor Kewangan





Sunday, March 28, 2010

PTK DG48 SESI 1 TAHUN 2010


Kepada pengetua-pengetua yang telah mendaftar PTK Sesi 1 bagi tahun 2010 boleh mendapatkan maklumat berkaitan tajuk tugasan dan tarikh penilaian di laman web Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi, Kementerian Pelajaran Malaysia atau klik di bawah. Tarikh penilaian pemahaman bagi PTK berkenaan ialah pada 17 APRIL 2010.

Status Permohonan Penilaian Pemahaman PTK Sesi 1/2010
dan Tajuk Tugasan Individu


Garis Panduan Peperiksaan PTK
Panduan Peperiksaan PTK Sesi Jun 2010
Peraturan Peperiksaan Bertulis PTK
Peraturan Peperiksaan Bertulis PTK

Sumber : Portal BPPK KPM


Wednesday, March 24, 2010

Takziah kepada keluarga Allahyarham Tuan Haji Abd Rahman bin Juli

Diucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tuan Haji Abd Rahman bin Juli, Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan, Jabatan Pelajaran Negeri Johor yang telah kembali ke Rahmatullah pada 24 Mac 2010.

Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

AlFatihah.

Download Bahan Seminar Kajian Tindakan 2010


Bahan-bahan pembentangan Seminar Kajian Tindakan Pengetua 2010 boleh diperolehi dengan memuat turunnya melalui ruangan `download' atau seperti di bawah.

1. Bahan pembentang Kajian Tindakan 01
2. Bahan pembentang Kajian Tindakan 02
3. Bahan pembentang Kajian Tindakan 03
4. Bahan pembentang Kajian Tindakan 04
5. Bahan pembentang Kajian Tindakan 05
6. Bahan pembentang Kajian Tindakan 06
7. Bahan pembentang Kajian Tindakan 08
8. Bahan Talking Point Pengarah Pelajaran Johor

Terima kasih kepada PKPSM Kota Tinggi yang telah memuat naik bahan-bahan berkenaan.

Friday, March 19, 2010

Petikan Akhbar

Sedia kaedah terbaik bantu pelajar gagal SPM

PUTRAJAYA 19 Mac – Kementerian Pelajaran dan Kementerian Sumber Manusia akan berbincang untuk menyediakan kaedah terbaik membantu para pelajar yang kurang berjaya dan gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran bersama agensi berkaitan akan memikirkan inisiatif untuk membantu mereka menguasai kemahiran sesuai supaya mampu meningkatkan bidang pelajaran dan kerjaya.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut kaedah inisiatif berkenaan.

‘‘Kementerian Pelajaran juga tidak akan meminggirkan sekolah yang peroleh pencapaian yang rendah.

‘‘Kita akan terus berusaha untuk merapatkan jurang pencapaian gred purata sekolah terutamanya antara sekolah luar bandar dan sekolah bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2009 di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2009 pada 11 Mac lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, seramai 7,987 calon SPM 2009 memperoleh gred cemerlang (A+,A dan/atau A-) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

Bagaimanapun, kata beliau, seramai 364,046 daripada 465,853 calon SPM 2009 yang mendaftar layak mendapat sijil dan daripada jumlah itu, 199,155 calon lulus semua mata pelajaran.

Pada majlis pagi ini, Muhyiddin menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 sekolah pencapaian cemerlang SPM 2009, 10 pelajar cemerlang serta empat pelajar istimewa dan dua pelajar sekolah sukan cemerlang.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pemilihan 10 sekolah cemerlang berkenaan adalah berdasarkan gred purata mata pelajaran yang diambil di sekolah terbabit.

‘‘Pada tahun ini, kementerian telah mengkategorikan sekolah kepada cemerlang, baik, memuaskan dan berpotensi berdasarkan gred purata sekolah masing-masing.

‘‘Tujuannya ialah supaya pengetua tahu kedudukan sekolah dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan gred purata sekolah,” katanya.

Beliau turut memuji pencapaian pelajar istimewa yang meskipun kekurangan dari segi fizikal tetapi tetap berusaha gigih untuk mendapatkan keputusan cemerlang.

‘‘Demikian juga dengan pelajar sekolah sukan yang meskipun menghabiskan sebahagian besar masa (dengan bersukan) tetapi masih dapat keputusan terbaik.

‘‘Ini membuktikan penglibatan dalam bidang sukan bukan halangan untuk mencapai kecemerlangan akademik,” kata beliau.

Sumber : Utusan Malaysia 19/3/2010

Wednesday, March 17, 2010

Seminar Kajian Tindakan Pengetua



Seminar Kajian Tindakan Pengetua Sekolah Menengah Negeri Johor buat julung kalinya telah dianjurkan oleh PKPSM Johor pada 16 MAC 2010 bertempat di Hotel The Zon Regency, Johor Bahru dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Seramai 243 orang peserta dari kalangan pengetua sekolah menengah negeri Johor telah menyertainya manakala perasmian penutupnya telah disempurnakan oleh Tuan Haji Sufa’at bin Tumin, Pengarah Pelajaran Johor.

Lapan orang pengetua sekolah telah membentangkan 8 kajian tindakan dalam seminar berkenaan iaitu Hj Fauzan Sukimi (Serampang Dua Mata), Hjh Zalaha Md Said (Sistem E-Merit Demerit), En. Borhanudin Mansor (Buku Teks Gedung Ilmu), Pn. Sallina Hussain (Team Teaching), Hjh Zaliha Ismail (Cakna Guru Muda), Hjh Ruhmaniah Mohd Rafiee (ME Mapping), Hjh Maznah Othman (Solehateen Camp) dan Haji Mohamad Mahadi (AVADDS).

Tuan Haji Sufa’at dalam ucapannya memuji langkah PKPSM menganjurkan program ini buat pertama kalinya yang dapat mengetengahkan kajian-kajian yang dilakukan oleh pengetua sendiri di peringkat sekolah dalam usaha menyelesaikan masalah dan memperbaiki amalan yang ada di sekolah. Ini adalah bersesuaian dengan 1 Guru 1 Kajian untuk merealisasikan Johor Top 5.

Turut serta dalam seminar berkenaan ialah Tuan Haji Markom bin Giran, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, En. Md Hasidin bin Haji Zaini, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, En. Md Nor bin A Ghani, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Tuan Haji Kassin Md Noah, Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Tuan Haji Ayob bin Jantan, Yang Dipertua PKPSM dan Tuan Haji Aminudin Adam, Pegawai Pelajaran Daerah Johor Bahru.