Friday, April 9, 2010

Program Pengantarabangsaan dan Misi Kemanusiaan JPNJ Ke Sumatera Barat

Seramai 20 orang pengetua sekolah menengah negeri Johor mewakili PKPSM turut serta dalam Program Pengantarabangsaan Sekolah dan Misi Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Johor ke Padang, Sumatera barat, Indonesia pada 3 hingga 6 April 2010.

Lawatan ini diketua oleh Tuan Haji Sufaat bin Tumin, Pengarah Pelajaran Johor dan disertai oleh 54 ahli rombongan termasuk Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Ketua Sektor, pegawai JPNJ, pegawai PPD negeri Johor, pengetua sekolah menengah dan guru besar sekolah kebangsaan.

Melalui program pengantarabangsaan 5 buah sekolah telah dirangkaikan dengan 5 buah sekolah di negeri Padang iaitu SM Sains Muar dengan SM Negeri 1 Padang Panjang, SMK Bandar Putra Kulaijaya dengan SM Negeri 1 Lubuk Alui, Padang Pariaman, SMK Dato Hj Haassan Yunus Rengam dengan SMP Batang Anai, SMK Mount Austin Johor Bahru dengan SMP 2X11 Enam Lingkung dan SK Ledang dengan TK-SD Limpato di daerah Padang Pariaman.

Semua pengetua dan Guru Besar terlibat turut menandatangani sijil persefahaman pengantarabangsaaan bersama Kepala Sekolah sekolah berkenaan dengan disaksikan oleh Pengarah Pelajaran Johor dan Kepala Dinas padang Panjang dan Kepala Dinas padang Pariaman.

Antara matlamat pengantarabangsaan ini adalah untuk memberi peluang kepada sekolah-sekolah berkenaan mewujudkan school linkages dengan sekolah di luar negara untuk memperoleh manfaat global di samping memanfaatkan apa juga kelebihan dan kekuatan pendidikan untuk dikongsi bersama.

Sepanjang tempoh lawatan ahli rombongan juga turut melaksanakan misi kemanusiaan iaitu memberikan sumbangan kepada pihak tertentu yang terlibat dengan gempa bumi padang pada bulan November 2009 yang lalu. Antara bantuan yang disampaikan melalui sumbangan warga pendidikan negeri Johor ialah mendirikan perpustakaan di sebuah pesantren moden, membina rumah guru di samping sumbangan kepada sekolah-sekolah rangkaian.