Wednesday, December 1, 2010

Roadshow Pengarah Pelajaran Johor




Kulaijaya - Tuan Haji Markom bin Giran, Pengarah Pelajaran Johor telah memulakan siri roadshownya bertemu semua pemimpin pendidikan negeri Johor khususnya Pengetua dan Guru Besar di semua daerah negeri Johor. Daerah Kulaijaya adalah daerah pertama siri roadshow beliau yang telah diadakan pada 29 Disember 2010 lalu bertempat di Dewan Makan Asrama SMK Tuanku Abdul Rahman Putra.

Dengan tema ucap utama "Sederap Memperkasa Pendidikan Johor", beliau menyeru seluruh pemimpin pendidikan negeri johor untuk bersama beliau bangkit memacu, memaju dan merealisasikan impian menjadikan 'Johor Top 5' selaras dengan visi dan misi jabatan Pelajaran Negeri Johor.

Menurut beliau, "4 cabaran yang sedang kita hadapi ialah meningkatkan profesionalisme dan jati diri guru, menjelaskan program dan dasar-dasar kerajaan kepada guru, membangunkan guru sebagai agen perubahan dan meningkatkan sokongan guru kepada dasar-dasar dan pendekatan kerajaan dalam membangunkan modal insan melalui mekanisme pendidikan untuk mempercepatkan pencapaian matlamat wawasan 2020".

Sehubungan itu beliau melihat faktor pemimpin pendidikan, warga pendidikan, PIBG dan komuniti sebagai satu lagi strategi tambahan selain 5 strategi sedia ada JPN Johor iaitu kepimpinan, sumber manusia, sistem pengurusan, kemudahan pendidikan, penilaian dan pentaksiran dan insan berkualiti untuk memastikan impian 'Johor Top 5' menjadi realiti.

Beliau turut menggariskan 6 Prinsip Kerja Pengarah Pelajaran Johor yang perlu dijadikan panduan kepada semua pengurus pendidikan negeri Johor iaitu patuh kepada kepimpinan, berfokus dalam melaksanakan dasar, bijaksana dalam tindakan, bersungguh walaupun berseloroh, turun padang dan bekerja dengan niat yang betul.

Beliau juga telah memperkenalkan program "B-GUN (Bangkit Guru Untuk Negara)" sebagai satu strategi untuk memastikan warga guru dibugarkan dan seterusnya dapat memainkan peranan untuk membantu menjadikan negara ini negara maju dan selaras dengan matlamat PIPP iaitu melahirkan guru berkualiti, memastikan guru kekal dalam sistem dan guru kekal berkualiti sepanjang tempoh perkhidmatannya.

"Sekiranya kita dapat membangunkan kualiti guru, pastinya akan memberikan impak besar kepada kemajuan pendidikan di negeri Johor dan di negara ini," tegas beliau.

Melalui prgram B-Gun, usaha yang perlu dilakukan ialah untuk membangkitkan patriotisme dan jati diri guru dan menjadikan guru sebagai agen perubahan. Guru pula perlu sentiasa memartabatkan profesion keguruan sebagai profesion yang mulia, sentiasa berusaha meningkatkat tahap profesionalisme guru, menjadikan guru sebagai sumber rujukan utama dan menjadikan guru sebagai insan yang terus dihormati dalam masyarakat. Semua usaha ini dibuat untuk menjaga dan mengekalkan perpaduan dalam masyarakat dan seterusnya guru dapat berfungsi sebagai tulang belakang dalam mendepani survival bangsa dan negara.

Muat Turun Ucapan PPJ