Wednesday, December 8, 2010
Majlis Kunjung Hormat MPSM dan MGB Bersama PPJ dan TPPJ
MPSMJ dan MGB Johor telah mengadakan Majlis Kunjung Hormat Bersama Pengarah Pelajaran Johor dan Timbalan Pengarah Pelajaran Johor pada 8 November 2010 bertempat di Restoran Singgah Selalu, Jalan Skudai Johor Bahru. Seramai 20 ahli jawatankuasa MPSM Johor dan 35 orang ahli jawatankuasa hadir dalam majlis berkenaan. Turut hadir ialah isteri Pengarah Pelajaran Johor, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor dan Tuan Haji Jasni Omar, Timbalan Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Johor.
Majlis kunjung hormat ini diadakan bertujuan untuk merapatkan hubungan antara pimpinan MPSM dan MGB negeri Johor dengan kepimpinan baru JPN Johor. Tuan Haji Markom bin Giran telah dilantik sebagai Pengarah Pelajaran Johor menggantikan Tuan Haji Sufa'at bin Tumin yang bertukat ke Lembaga Peperiksaan Malaysia sebagai Pengarah dan En. Md Noor bin A Ghani dilantik mengisi kekosongan jawatan Timbalan Pengarah Pelajaran Johor.
Dalam ucapannya Tuan Haji Markom mengharapkan MPSMJ dan MGBJ dapat bergerak sederap untuk membangunkan pendidikan Johor dalam usaha merealisasikan Johor Top 5 dan memartabatkan profesion perguruan di negeri ini.
"Melalui program B-Gun yang sedangkan kita canangkan juga saya mengharapkan semua pemimpin pendidikan di sekolah dapat memanjangkan hasrat pimpinan negara kepada semua guru dan kakitangan pendidikan di semua peringkat tentang peranan warga pendidikan untuk bersama membangunkan negara kita," katanya.
Beliau juga menyeru semua pimpinan pendidikan khususnya ahli-ahli MPSM dan MGB agar mempraktikkan amalan "turun padang" semasa menjalankan tugas dalam organisasi masing-masing bagi menjadikan matlamat B-Gun ini menjadi realiti.
"Guru juga seharusnya menjadi suara kerajaan untuk menyalurkan maklumat dan menjadi rujukan masyarakat. Guru perlu dilihat sebagai "agen perubahan" yang mampu memartabatkan profesion pendidikan di negara ini ke tahap dunia," tambah beliau.