Thursday, November 3, 2011

Kenyataan MPSM Johor Berkaitan Isu PPSMI


KENYATAAN RASMI MPSM JOHOR
BERKAITAN ISU PIHAK TERTENTU YANG MAHU KERAJAAN
MEMBERI PILIHAN PPSMI DI SEKOLAH KEBANGSAAN 
DAN SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN

Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Cawangan Johor membantah keras cadangan, pandangan dan tuntutan pihak-pihak tertentu  kebelakangan ini yang mahukan kerajaan melaksanakan semula atau memberi pilihan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Ingeris (PPSMI)  di semua sekolah rendah dan menengah di Malaysia.

MPSM Cawangan Johor dan MPSM daerah-daerah negeri Johor konsisten menyokong penuh keputusan kerajaan memansuhkan pelaksanaan PPSMI secara soft landing berdasarkan pelbagai pandangan dan dapatan kajian menyeluruh berkaitan impak dan keberkesanan PPSMI sebelum ini. 
Kerajaan juga hendaklah sentiasa  tegas dan tekal dengan keputusan pemansuhan ini demi kebaikan pendidikan di Malaysia keseluruhannya dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak yang mahu PPSMI ini kembali dilaksanakan di sekolah-sekolah.

Semua pihak seharusnya menerima keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI ini dan memberi kerjasama untuk menyokong tumpuan guru-guru terhadap meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran termasuk dalam subjek sains, matematik dan bahasa Inggeris tanpa sebarang ganguan. Sebarang perubahan yang sentiasa berlaku terhadap pelaksanaan dasar pendidikan di negara ini tanpa mengambil kira kepentingan jangka panjang hanya akan menyukarkan anak-anak didik di sekolah. Fenomena ini juga seolah-olah membelakangkan guru sebagai penjawat awam yang  menjadi pelaksana di peringkat operasional  malah membelakangkan  hak majoriti murid dan ibu bapa di kawasan bandar dan luar bandar semata-mata untuk memenuhi tuntutan segelintir golongan yang mahu pelaksanaannya dikekalkan.

MPSM Johor juga menyeru agar isu ini tidak terus dipolitikkan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu  sahaja  termasuk desakan meminta kerajaan menyediakan opsyen di sekolah yang kesannya akan menjejaskan tumpuan murid, ibu bapa dan guru dalam meningkatkan kemajuan dan kecemerlangan murid-murid di semua sekolah.

Sehubungan itu MPSM Johor dan MPSM daerah-daerah negeri Johor  menyokong penuh usaha kerajaan dan Kementerian Pelajaran Malaysia melalui   pelaksanaan  dasar Memartabatkan bahasa Melayu dan  Memperkukuhkan  Bahasa Inggeris (MBMMBI) sebagai  ganti kepada PPSMI yang  diharapkan dapat memacu kualiti pendidikan di negara ini ke tahap lebih gemilang.

HAJI IDRIS BIN AHMAD
Yang Dipertua
MPSM Cawangan Johor
3 NOVEMBER 2011.