Thursday, June 30, 2011

Hari Bertemu Pelanggan 2011-IOI Mall Kulaijaya

KPM akan mengadakan Hari Bertemu Pelanggan di IOI Mall Kulaijaya pada 9-10 JULAI 2011. Kepada ahli-ahli MPSMJ, ambillah kesempatan ini untuk berkunjung ke booth bahagian/unit di KPM untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan.

Tuesday, June 14, 2011

Surat Jemputan dan Senarai Nama Peserta Persidangan Kebangsaan MPSM 2011

Bersama-sama ini disertakan surat panggilan menghadiri Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia Kali ke-50 pada 21-23 JUN 2011 bertempat di Hotel Grand Dorset,  Subang Jaya Selangor.

Friday, June 3, 2011

Majlis Persaraan KS SPA JPNJ

AJK MPSM telah menghadiri Majlis Jamuan Persaraan Tuan Haji Ramli bin Abd Samat, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Akademik, JPNJ pada 3 JUN 2011 jam 8.45 malam bertempat di Hotel Tropicall Inn Johor Bahru. AJK mewakili MPSM ialah Tuan Haji Ayob Jantan, Haji Samian Sawiyo, Haji Idris Ahmad, En. Azman Adnan dan Pn. Sallina Hussein. MPSM mengucapkan selamat bersara kepada Tuan Haji Ramli.



Wednesday, June 1, 2011

Prinsip Kerja X-PLUS KPPM

Setiap pasukan profesional pendidik dan pegawai pendidikan perlu menerapkan budaya prestasi tinggi berasaskan PRINSIP KERJA X-PLUS.  Inilah prinsip kerja kaum profesional era GTP(Pelan Transformasi Kerajaan) dan ETP (Pelan Transformasi Ekonomi); memaksimumkan impak penyampaian perkhidmatan dalam bentuk keberhasilan kerja aras cemerlang (excellence) berteraskan pengetahuan, latihan, usaha dan semangat sepasukan.
 
Prinsip Pertama : CEMERLANG (EXCELLENCE)
Inilah kayu ukur kerhasilan kerja setiap individu.  Cemerlang atau excellence berbeza dengan kualiti.  Kualiti bermaksud memenuhi kehendak pelanggan, yakni menepati ketetapan kerja, mematuhi tuntutan perkhidmatan, mengikuti sepenuhnya perencanaan dan strategi, menyempurnakan tugasan pegawai atasan dan mencapai sasaran kerja tahunan.  Cemerlang bermaksud ‘go beyond’, yakni memenuhi kehendak yang tidak terungkap oleh pelanggan, menangani cabaran yang belum tiba dan melepasi rekod sedia ada.  Cemerlang bermaksud melepasi aras kualiti, melepasi pencapaian terbaik sebelum ini, mewujudkan aras pencapaian baharu untuk dikejar oleh pesaing.

Prinsip Kedua : PENGETAHUAN
Dalam era ini, faktor utama produktiviti bukan lagi bilangan pekerja, teknologi dan peruntukan yang banyak, faktor utama produktiviti ialah maklumat dan pengetahuan.  Oleh itu, pemimpin dan pengurus  tidak lagi semata-mata mentadbir tetapi memudah cara, menyelaras dan mempertalikan setiap pasukan kerja dalam organisasi.  Pemimpin dan pengurus sewajarnya memiliki spektrum pengetahuan yang luas, berkemahiran menatarkan maklumat yang dijana oleh setiap pasukan kerja dan berkemahiran sebagai mediator dan moderator.  Pekerjaan mendidik, melatih, mengasuh, membimbing, mengajar dan menilai mestilah berdasarkan pengetahuan, bukan berdasarkan kebiasaan atau rutin.  Pengetahuan itu pula sewajarnya adalah yang terkini, teruji dan mantap.

Prinsip Ketiga  : LATIHAN
Latihan bermaksud belajar sepanjang hayat untuk mempertajamkan keupayaan melaksanakan tanggungjawab semasa dan mempersiap keupayaan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dan mencabar.  Latihan bermakna bina upaya yang berterusan, bukan sekadar memenuhi ketetapan perkhidmatan.  Latihan bererti bersedia untuk berubah, bersedia untuk melaksanakan idea baharu, bersedia untuk menggunakan cara gaya baharu dalam menyempurnakan tanggungjawab, bersedia menjayakan transformasi.  Ringkasnya hanya latihan yang bersistematik dan berterusan yang berupaya melestarikan profesionalisme jentera pendidikan negara.  Latihan yang berterusan bermakna pembelajaran berterusan.  Pembelajaran berterusan menjana perubahan.  Perubahan menjana pembaharuan, renewal.

Prinsip Keempat : USAHA
Usaha berbeza dengan kerja.  Usaha bermaksud berikhtiar seupaya mungkin dengan menggunakan pelbagai sudut pemikiran, sumber, kreativiti dan inovasi demi menyempurnakan misi dan mencapai objektif.  Usaha bermaksud ‘go extra mile’.  Sedangkan ‘kerja’ bermaksud melaksanakan tugas sebagaimana yang ditetapkan atau diarahkan.  Kerja mengutamakan kepatuhan kepada arahan.  Usaha mengutamakan matlamat dan objektif.  Ukuran kerja ialah kecekapan dan ukuran usaha ialah keberkesanan. Usaha menuntut pendidik dan pegawai pendidikan berfikir.  Dengan kecukupan usaha, dengan kesungguhan berikhtiar, daya fikir akan berkembang, imaginasi menjadi terang dan kreativiti akan bertandang – matlamat dan objektif menjadi kenyataan.

Prinsip Kelima  :  SEPASUKAN
Dalam era transformasi dan menghadapi cabaran-cabaran besar globalisasi, anggota profesional jentera pendidikan negara wajib berusaha sebagai satu pasukan.  Sepasukan bermaksud komited kepada nilai, visi, misi dan matlamat organisasi dan mengenepikan kepentingan diri dan perasaan peribadi.  Bekerja sepasukan menuntut aplikasi kepimpinan pada setiap tindakan.  Ciri kepimpinan wajib sentiasa terpamer dan dipraktikkan oleh setiap orang.  Bekerja sepasukan menuntut kehadiran altruisme dalam pengurusan, pentadbiran dan pelaksanaan operasi.  

Altruisme menjamin keakraban anggota pasukan kepada misi organisasi dan organisasi pula mampu menjana kesejahteraan kepada setiap anggota kumpulan.  Justeru itu, pemimpin sekolah bertanggungjawab menjadikan sekolah sebagai satu pasukan profesional yang utuh dengan menyemarakkan rasa kepunyaan.  Tanggungjawab pemimpin sekolah adalah untuk mencegah fenomena ‘alienated labor’, pemencilan guru dan pemencilan pekerja sekolah daripada visi, misi dan objektif kewujudan sekolah sebagai institusi pembelajaran.  Pengetua dan guru besar adalah ketua platun.  Pasukan pekerja profesional memerlukan kehadiran pemimpin dan pengurus yang berperanan sebagai mentor dan fasilitator.  
Mentor dan fasilitator tidak menguasai dan mengawal pekerja, sebaliknya membebaskan mereka dan memberi ruang kepada mereka untuk mengimaginasi, menginvensi dan menginovasi.  Mentor dan fasilitator mewujudkan persekitaran kerja yang menggalakkan perkembangan diri profesionalnya dan menggalakkan mereka meneroka dan mencuba idea baharu.

TELADAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA DARI RASULLULLAH SAW

Sebuah buku dan kupasannya yang sesuai untuk dikongsi bersama rakan-rakan Pengetua. Dipetik daripada Blog Kementerian Pelajaran Malaysia.

Penyelaras Blog MPSMJ.

Buku setebal 292 halaman ini cuba mengkaji sifat-sifat kepimpinan Rasullulah SAW dalam membangunkan sumber manusia sehingga Islam bukan sahaja berkembang dengan pesat, malah berupaya mengukuhkan hubungan setiap manusia yang bernaung di bawahnya. Sebagai pemimpin ulong sepanjang sejarah peradaban manusia, Rasullullah SAW telah menunjukkan teladan terbaik dalam pengurusan sehingga diletakkan sebagai manusia yang paling berpengaruh dan menduduki tangga teratas sebagai manusia yang paling berpengaruh.

Dengan menggali pelbagai dimensi kehidupan, Baginda bukan sahaja dilihat sebagai seorang rasul, juga seorang pemimpin malah sebagai seorang pengurus yang paling berkesan dalam sejarah manusia hingga kini. Dalam pengurusan sumber manusia, Baginda berjaya membangunkan kumpulan yang sanggup melakukan apa sahaja demi memperkembangkan dakwah Islam, melalui kekuatan visi dan kejelasan misi.

Prinsip pengurusan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW adalah berasaskan prinsip ketuhanan, kesejagatan, kemanusiaan, kebenaran, keharmonian, adil, mudah, dan dinamik. Prinsip ketuhanan diterapkan sepanjang masa dan setiap tindakan sehingga setiap orang merasakan apa yang dilakukan itu sebagai satu ibadah. Prinsip inilah yang cuba diterapkan secara mendalam dalam pengurusan Islam, tetapi sayangnya sebahagian besar pemimpin yang mengetuai organisasi moden Malaysia melupakan hakikat tersebut. Sebaliknya, semakin ramai pengurus sumber manusia di Malaysia menjadi terlalu mudah melafazkan fahaman pengurusan barat melalui petikan kata-kata pelopor utama dan pendiri falsafah pengurusan sama ada berasaskan behaviorisme ataupun transaksional.

Kekuatan prinsip ini tidak dijelmakan dalam semua bentuk tindakan kecuailah pada permulaannya sahaja, iaitu sekadar berdoa dan memberikan salam. Dalam setiap perancangan, atas dasar falsafah pengurusan barat yang menekankan nilai materialistik, para pengurus lebih mematlamatkan pengurusan kepada kesan yang boleh diukur, misalnya pulangan pelaburan, hasil yang dikeluarkan dan sebagainya.

Hasilnya menyebabkan pekerja hanya dianggap sebagai alat pengeluaran melalui prinsip hubungan manusia-mesin-modal-kaedah-output. Islam menetapkan prinsip pengurusan berdasarkan keyakinan terhadap keredaaan Allah SWT, dan dengan itu setiap pekerja menghayati secara mendalam prinsip ketakwaan, kalimat tauhid, pemurnian akidah, penyerahan dan penyempurnaan amanah.

Prinsip pengurusan universal (nilai-nilai kesejagatan) boleh diterapkan pada bila-bila masa, tanpa mengehadkan kepada orang-orang tertentu sahaja. Prinsip ini amat berbeza dengan nilai pengurusan barat yang lebih memilih dan mengehadkan tanggungjawab seseorang. Seorang pekerja bawahan tidak digalakkan bergaul dengan pihak atasan, mereka dipisahkan oleh kuasa membuat keputusan. Sumbangan pekerja bawahan ialah mengeluarkan hasil, manakala pekerja atasan menguruskan hasil seperti pemasaran, penentuan harga dan sebagainya. Dalam hal ini, ada kecenderungan pekerja tidak boleh memiliki barangan yang mereka keluarkan, sama ada sebagai pengguna ataupun pembeli. Ini disebabkan harga yang terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar walaupun dengan mengumpul semua jumlah upah tahunan.

Prinsip kemanusiaan yang diterapkan dalam pengurusan Rasulullah SAW ialah melalui usaha memahami semua sikap, manakala teladan yang menghasilkan perilaku prestasi menelurkan teladan setiap orang. Ini amat berbeza dengan prinsip pengurusan barat yang meletakkan kedudukan pemimpin atasan sebagai elit kuasa yang tidak boleh disentuh oleh pekerja bawahan. Prinsip “ketua sentiasa betul” menjadi amalan sehingga menjadikan pekerja bawahan tidak ubah seperti alat-alat yang lain, boleh dibuang atau disingkirkan tanpa pertimbangan kemanusiaan. Takut menerima ugutan dipecat, pekerja terpaksa akur walaupun arahan yang diberikan ternyata salah dan terkeluar daripada prinsip dan norma kemanusiaan.

Dengan mengetepikan kebenaran, prinsip pengurusan barat sanggup meletakkan tipu daya sebagai strategi pengurusan sumber manusia. Di sinilah lahirnya pelobi, pembodek yang membelenggu organisasi sehingga menyebabkan mereka yang kurang sifat-sifat itu tidak mendapat tempat yang baik. Mereka yang pandai bercakap, petah menyusun kata-kata dinilai sebagai kekuatan manakala yang mahir dan berketampilan hanyalah sebagai batu loncatan. Prinsip keadilan berdasarkan ruang tugas, hak, kewajiban, kompetensi dan integriti hanyalah mainan kata-kata, tindakan pemimpin atasan tidak mencerminkan arah tersebut. Maka dengan itulah lahirnya pemimpin yang korup, salah guna kuasa, kronisme dan nepotisme dalam organisasi.

Prinsip pengurusan Rasulullah SAW mengaplikasikan prinsip mudah, iaitu sederhana. Prinsip ini akhir-akhir ini cuba dikembangkan oleh Edward de Bono melalui konsep simpilicity, agar setiap orang dalam organisasi memahami tanggungjawabnya. Rasullullah SAW tidak memperkenalkan jargon pengurusan yang berbelit-belit sepertimana prinsip pengurusan moden yang diperkenalkan melalui pelbagai teori hasil penyelidikan psikologi terhad. Kaedah penarafan tertentu juga menyebabkan pekerja lebih banyak menghabiskan masa untuk memahami perkara-perkara teknikal berbanding dengan hakikat organisasi itu sendiri.

Kerana terlalu banyak perkara teknikal, kadangkala menyebabkan pengurusan menjadi terlalu sesak dan penuh kepalsuan etika. Setiap hari ada perubahan nilai, yang mana nilai-nilai tersebut semakin melebarkan jarak antara seorang pekerja dengan pekerja yang lain. Jajaran pekerjaan menjadi terlalu khusus dan antaranya tidak mempunyai interaksi emosi secara dinamik.

Keunggulan pengurusan Rasullullah SAW dapat dilihat melalui peribadi yang komunikatif (tabligh), melalui amalan qaulan ma’rufan (perkataan yang baik dan istilah yang lemah lembut), qaulan sadiidin (perkataan yang benar, tidak berbohong dan berbelit-belit), qaulan balighan (fasih, jelas maknanya, terang dan tepat pengungkapannya), qaulan maisuran (tidak melecehkan), qaulan layyinan (perkataan yang lemah lembut) dan qaulan tsaqilan (perkataan yang tepat dan berkesan, boleh menjernihkan perasaan pendengar).

Berbanding dengan pengurusan barat, seorang ketua adakalanya menggunakan kata-kata kesat kepada pekerja bawahan. Apabila pemikiran pekerja bawahan tidak selaras dengan pemikiran atau aspirasinya, maka pekerja tersebut dianggap sebagai bermasalah. Sikap mendidik dan memberikan contoh teladan yang baik tidak pernah ditunjukkan, dan kerana itulah pekerja dilanyak tanpa memikirkan perasaan dan nilai-nilai kemanusiaan. Hakikat kepimpinan seperti inilah yang banyak dilahirkan melalui prinsisp pengurusan barat sehingga menimbulkan pertembungan dan permusuhan.

Pekerja bawahan menjadi terlalu takut untuk menemui pemimpin atasan kerana setiap kali interaksi berlaku, berada dalam suasana memendam rasa, takut, gelisah dan tidak harmoni. Pemimpin atasan bersifat mengarah dan melecehkan setiap pendapat yang berbeza, walhal pekerja bawahanlah sebenarnya banyak menyumbang kepada kelangsungan organisasi. Apabila organisasi menghadapi masalah, pemimpin atasan seringkali menganjurkan perubahan. Keperluan kepada perubahan sikap dan tindakan hanya terhad kepada pekerja bawahan, manakala pekerja atasan masih mengamalkan tabiat lama, menyalahkan orang lain di atas kegagalan organisasi yang dipimpinnya.

Prinsip pengurusan sumber manusia yang diamalkan oleh Rasulullah SAW telah berupaya meletakkan Islam sebagai perseimbangan hakikat diri manusia sebagai hamba Allah SWT dan ahli kumpulan masyarakat (umat) yang besar. Inilah sumber daya pengurusan yang seharusnya diaplikasikan dalam pengurusan manusia, jika inginkan organisasi cemerlang, gemilang dan terbilang. Dengan meminggirkan prinsip keteladanan, pengurusan organisasi bukan sahaja bermasalah, tetapi lenyap akhirnya.

Buku ini memberikan pengetahuan asas mengenai prinsip pengurusan yang diamalkan oleh Rasullullah SAW dan perlu dipraktikan oleh setiap orang, kerana kita memimpin. Kita perlu mempunyai kekuatan bagi dicontohi oleh orang yang kita pimpin. Kekuatan kepimpinan kita bukan terletak kepada kebolehan kita melecehkan orang lain, ia bergantung kepada kekuatan interaksi dengan orang lain, termasuk menghargai mereka dan meletakkan prinsip tauhid dalam setiap bentuk tindakan dan keputusan.

Judul Buku : Rasulullah, Way of Managing People
Penulis : Haryanto
Penerbit : Khalifa (Pustaka Al-Kautsar Group), 2008

Taklimat Urusan Pemangkuan Pengetua Cemerlang DG52 dan DG54

Pengetua-pengetua sekolah negeri Johor yang layak telah menghadiri taklimat Urusan Pemangkuan Pengetua Cemerlang DG52 dan DG54 yang diadakan pada 30 MEI 2011 jam 2.00 petang bertempat di Bilik Mesyuarat, Jabatan Pelajaran Negeri Johor. Pengarah Pelajaran Johor, En. Mohd Nor bin A Ghani hadir memberikan ucapan dan taklimat disampaikan oleh Ketua Unit Menengah, Jaatan Pelajaran Negeri Johor.